Make your own free website on Tripod.com

 

BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM

1 dan 2 SEPTEMBER 1998
 


PM: Anwar boleh letak jawatan jika alasan kukuh

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menerima peletakan jawatan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika Anwar mengemukakan alasan yang kukuh untuk berbuat
demikian.

''Jika beliau (Anwar) memberi alasan yang kukuh mengapa beliau harus meletakkan jawatan, saya akan terima.

''Jika beliau bagi alasan kesihatan, beliau tak boleh laksanakan tugasnya lagi dan sebagainya, bagaimanalah hendak saya
kata supaya beliau teruskan juga tugasnya?

''Semuanya bergantung kepada sebab-sebab (yang dikemukakan oleh Anwar),'' kata Dr. Mahathir kepada pemberita
selepas program Wawancara Khas Bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung oleh Radio dan
Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya apakah beliau akan menerima peletakan jawatan Anwar jika Timbalan Perdana Menteri itu
mengemukakan surat peletakan jawatan.

Sebelum itu, Dr. Mahathir juga ditanya mengenai desas-desus Anwar meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Anwar telah tiga kali menafikan akan meletakkan jawatan termasuk yang terbaru semalam. Bagaimanapun terdapat
desas-desus yang menyatakan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan pada Jumaat lalu.

Ditanya lebih lanjut mengenai khabar angin itu, Dr. Mahathir berkata: ''Kalau beliau (Anwar) hendak meletak jawatan, itu
kena tanya beliau. Bagaimana pula saya harus mengetahui apa yang difikirkannya?

''Saya tak boleh nak komen. Apakah statusnya? Apakah dari segi kesihatan? Saya nampak beliau masih dapat berdiri
tegak.''

Ditanya sama ada Anwar menyokong langkah-langkah drastik mengawal spekulasi mata wang yang beliau umumkan hari
ini, Dr. Mahathir berkata: ''Ya.''

Menurutnya, Majlis Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang memutuskan langkah-langkah itu terdiri
daripada beliau sendiri sebagai pengerusi, Anwar, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Dr. Noordin Sopiee dan Tan Sri Ali Abol
Hassan dan dari semasa ke semasa, kerajaan turut memanggil orang lain.

Ditanya bagaimana beliau menyifatkan hubungannya dengan Anwar, Dr. Mahathir menjawab: ''Bagus.''

Mengenai sama ada beliau akan turut melakukan rombakan kabinet, Dr. Mahathir berkata, ''ia (desas-desus) tidak benar
sehingga kebenaran itu menjelma.''

Perdana Menteri juga disoal sama ada mesyuarat khas kabinet di Jabatan Perdana Menteri pada sebelah pagi ini turut
membincangkan peletakan jawatan Tan Sri Ahmad Mohamed Don sebagai Gabenor Bank Negara dan timbalannya,
Datuk Fong Weng Phak Jumaat lalu.

Beliau menjawab: ''Buat masa sekarang, Dr. Zeti Akhtar Aziz bertindak selaku Pemangku Gabenor. Jika saya katakan
beliau terus memegang jawatan itu, awak (pemberita) kata beliau akan kekal di situ.''

Beliau menambah dalam nada berseloroh: ''Awak tak boleh tanya saya soalan itu. Sangat susah untuk saya
menjawabnya.''

Menjawab pertanyaan sama ada beliau telah meminta Ahmad dan Fong meletakkan jawatan, Perdana Menteri berkata:
''Saya tidak memintanya''.

''Kita tidak pernah kata Bank Negara berfungsi bebas. Di Britain, mereka telah memutuskan untuk menjadikan bank
pusatnya sebuah institusi bebas. Dan ketika Gabenor baru membuat keputusan untuk menaikkan kadar faedah, kerajaan
negara itu telah meraung.

''Jadi Bank Negara adalah sebuah instrumen kepada ekonomi sesebuah negara, ia tidak boleh dibenarkan berfungsi tanpa
mengambil kira penggubalan dasar ekonomi sesebuah negara termasuk dasar kerajaan.''

Dengan merujuk kepada Pemangku Gabenor Bank Negara sekarang, Dr. Mahathir menegaskan: ''Dr. Zeti adalah bebas
dalam erti kata melaksanakan tugasnya tetapi dia tidak bebas untuk melemahkan ekonomi negara.

''Sesiapa yang melemahkan ekonomi, mereka harus meletakkan jawatan.''

Ditanya desas-desus bahawa Presiden Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Merican akan dilantik sebagai pengganti Ahmad
Mohamed Don, Dr. Mahathir berkata, ''jawatan itu boleh diisi oleh sesiapa termasuk para wartawan jika mereka
berminat''.

Menjawab satu soalan, Dr. Mahathir berkata, mereka (Ahmad dan Fong) telah tidak selari dengan kerajaan dan oleh
kerana mereka bertentangan dengan dasar kerajaan dan Bank Negara adalah institusi kerajaan, mereka harus
mematuhinya atau meletakkan jawatan.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM
 


Kali ketiga Anwar nafi letak jawatan

BUKIT MERTAJAM 31 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menafikan khabar
angin kononnya beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatannya.

Anwar berkata, khabar angin bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan Jumaat lalu adalah tidak benar
dan menyifatkannya sebagai agenda ''tukang karut''.

Ini adalah kali ketiga beliau menafikan meletakkan jawatan dalam tempoh setahun.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan ahli jawatankuasa bahagian, Pemuda dan
Wanita UMNO Permatang Pauh di sini, beliau berkata: ''Saya pun dengar banyak kali (khabar angin) tapi itu tak betul.''

Timbalan Perdana Menteri sebaliknya memberitahu, beliau akan menjalankan tugasnya seperti biasa dan tidak akan
melayani khabar-khabar angin yang tidak bertanggungjawab itu.

''Saya tidak fikir saya patut melayani khabar-khabar angin oleh tukang karut yang tidak benar itu,'' katanya.

Ketibaan beliau di pekarangan bangunan UMNO Permatang Pauh disambut dengan laungan bersemangat barisan
Pemuda sambil merentangkan sepanduk yang meminta Anwar supaya tidak berundur.

Katanya, pertemuan dengan ahli-ahli Pemuda UMNO dan Wanita UMNO hari ini diadakan kerana mereka memintanya
memberi penjelasan mengenai khabar-khabar angin itu.

Kali terakhir Anwar membuat penafian itu ialah pada 19 Ogos lalu apabila beliau berkata: ''Saya tidak faham mengapa
orang asyik bertanya tentang peletakan jawatan saya.''

Sebelum itu pada 7 Ogos Anwar menegaskan bahawa beliau masih bertanggungjawab penuh di Kementerian Kewangan
dan menyangkal khabar angin mengenai peletakan jawatannya sebagai Menteri Kewangan.

Kali pertama beliau membuat penafian seumpama itu ialah setahun lalu iaitu pada 31 Ogos apabila Anwar yang ditemui
pemberita di Bukit Mertajam berkata, beliau telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagi
membincangkan mengenai khabar angin yang menyebut beliau telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Dalam perbincangan itu, beliau dan Dr. Mahathir sepakat bahawa khabar angin itu merupakan satu lagi usaha fitnah yang
ditimbulkan untuk tujuan motif politik yang jahat.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Dr. Abdul Rahim Ghouse yang ditemui di majlis itu meminta
kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyebar khabar angin dan penyebaran buku 50 Dalil Mengapa Anwar
Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri.

Menurutnya, tindakan itu perlu kerana ia dilakukan oleh mereka kumpulan yang tidak bertanggungjawab untuk
menjatuhkan kerjaya politik Anwar.

''Penyebaran buku 50 Dalil ini masih berlaku terutama di masjid yang jelas bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Anwar
dalam politik.

''Penyebaran fitnah itu juga perlu ditangkap kerana mereka-reka dan bersifat fitnah,'' ujarnya.

Sehubungan itu, jelas Dr. Abdul Rahim, pihaknya tetap berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 


PM nafi Anwar letak jawatan

        KUALA LUMPUR, Selasa - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan
        khabar angin mengenai peletakan jawatan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Perdana Menteri berkata, Anwar mesti mempunyai alasan munasabah seperti faktor kesihatan,
        sekiranya mahu meletak jawatan.

        "Jika beliau memberi alasan yang amat baik mengapa harus letak jawatan, saya akan menerimanya...
        seperti masalah kesihatan.

        "Kita tidak boleh kawal perkara ini," katanya.

        Mengenai khabar angin kononnya mesyuarat khas Kabinet pagi ini turut membincangkan peletakan
        jawatan Anwar, Perdana Menteri berkata: "Tiada kebenaran (khabar angin)."

        Dr Mahathir berkata, mesyuarat khas itu diadakan untuk menjelaskan anggota Kabinet mengenai
        langkah terbaru kerajaan memulihkan ekonomi negara.

        Pada sidang akhbar selepas program Bersama Perdana Menteri di Angkasapuri petang ini, Dr
        Mahathir menegaskan hubungannya dengan Anwar juga baik.

        Dr Mahathir berkata, khabar angin itu sudah lama wujud, tetapi ia tidak berlaku.

        "(Perkara itu) tidak berlaku... bagi saya ini (langkah mengawal RM) lebih mengejutkan.

        "Saya tidak tahu sama ada ia tidak cukup drastik bagi anda," katanya.

        Mengenai kemungkinan Anwar akan meletak jawatan, Perdana Menteri berkata: "Itu anda kena
        tanya dia. Jika dia mahu meletakkan jawatan, bagaimana saya boleh tahu apa yang dia fikirkan."

        Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Anwar menyokong semua keputusan yang dibuat Majlis
        Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan menghadiri semua mesyuarat eksekutif badan berkenaan.

        "Ya, beliau terbabit dalam semua keputusan pada setiap masa.

        "Jawatankuasa eksekutif MTEN dianggotai saya sendiri selaku pengerusi, Timbalan Perdana
        Menteri (Anwar), Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Dr Nordin Sopiee dan Tan Sri Ali Abul Hassan, dan
        jika diperlukan kita akan memanggil orang lain," katanya.
 


BALIK