Make your own free website on Tripod.com

 

BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM

5 SEPTEMBER 1998
 


Nalla kekal di lokap Bukit Aman

        KUALA LUMPUR, Jumaat - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan peguam
        Pengarah Eksekutif Perhubungan Awam Magnum Corporation Berhad, Datuk Nallakaruppan a/l
        Solaimalai yang didakwa memiliki 125 peluru hidup, bagi memindahkannya semula dari lokap polis
        Bukit Aman ke Penjara Sungai Buloh.

        Hakim Abdul Wahab Patail, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam bela Manjeet
        Singh Dhillon dan Balwant Singh Sidhu serta Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mohamad.

        Menurut Abdul Wahab, penahanan Nallakaruppan di lokap polis Bukit Aman adalah munasabah
        kerana siasatan terhadapnya yang membabitkan keselamatan negara masih dijalankan.

        Selain itu, Abdul Wahab berkata, perintah yang dikeluarkan Ketua Pengarah Penjara mengikut
        Seksyen 31 (1) (a) Akta Penjara 1995 dengan membenarkan tertuduh dipindahkan dari Penjara
        Sungai Buloh adalah sah.

        Katanya, sebelum ini, beliau sudah membuat keputusan permohonan pemindahan Nallakaruppan
        dari lokap Bukit Aman ke Penjara Sungai Buloh adalah sah.

        "Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, saya berpendapat tiada sebab mengapa saya perlu
        menukar keputusan awal saya," katanya.

        Beliau membuat keputusan itu selepas Nallakaruppan membuat permohonan mencabar kesahihan
        perintah pemindahan tertuduh dari Penjara Sungai Buloh ke lokap Bukit Aman.

        Nallakaruppan menamakan tiga responden dalam afidavitnya iaitu Ketua Pengarah Penjara, Ketua
        Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

        Nallakaruppan didakwa pada 12 Ogos lalu atas kesalahan memiliki 125 butir peluru hidup Fiocchi
        6.35mm tanpa kebenaran sah di rumahnya di nombor 1-1, Selekoh Tunku, Bukit Tunku di sini, jam
        8 malam, 31 Julai lalu.

        Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 57 (1) (b) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (semakan
        1972) yang membawa hukuman mati mandatori.

        Sebelum itu, Balwant Sidhu, berhujah bahawa perintah Ketua Pengarah Penjara adalah tidak
        munasabah, tidak wajar dan tidak sah kerana ia tidak menyatakan berapa lama Nallakaruppan akan
        ditahan di lokap Bukit Aman.

        "Kegagalan Ketua Pengarah Penjara menyatakan tempoh penahanan dalam perintah itu bermakna
        dia telah memberi lesen yang menyeluruh kepada polis untuk menahan Nallakaruppan seberapa lama
        yang dikehendaki atau sehingga mereka mendapat apa yang mereka kehendaki daripadanya," kata
        beliau.

        Azahar berhujah bahawa Ketua Pengarah Penjara, dalam perintahnya, telah menetapkan tempoh
        penahanan Nallakaruppan di lokap Bukit Aman dengan menyatakan 'sehingga siasatan selesai'.

        Beliau berkata, perkara itu menyentuh keselamatan negara kerana ia membabitkan bekas seorang
        pembesar negara.

        Manjeet Singh kemudian memberitahu bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan
        mahkamah itu esok.


Hanya boleh mohon selepas tiga tahun

        KUALA LUMPUR, Jumaat - Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya boleh memohon menyertai Umno
        semula selepas tiga tahun daripada tarikh beliau dipecat, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk
        Sabbaruddin Chik.

        Bercakap selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno awal pagi ini, Sabaruddin berkata,
        seseorang yang dipecat memerlukan tempoh minimum tiga tahun sebelum boleh merayu semula
        untuk menjadi ahli.

        Menurutnya, peraturan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno yang
        dipengerusikan Anwar sendiri sebelum ini.

        Dalam mesyuarat MT Umno selama hampir lima jam itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir
        Mohamad mencadangkan supaya Anwar daripada parti itu.

        Ditanya sama ada keputusan MT itu bermakna berakhirnya kerjaya politik Anwar, Sabbaruddin
        berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu boleh memohon semula untuk menyertai Umno
        selepas tiga tahun.

        "Dr Mahathir juga dipecat tetapi hari ini beliau menjadi Presiden parti dan Perdana Menteri,"
        katanya.

        Ditanya mengenai alasan Anwar dipecat, Sabbruddin hanya berkata: "Beliau tidak sesuai sebagai ahli
        parti".

        Sementara itu, sebelum merasmikan Hotel Sun Inns di Bandar Sunway, Petaling Jaya hari ini,
        Sabbaruddin berkata semua pemimpin Umno dari peringkat atas hinggalah ke peringkat bahagian
        dan cawangan bertanggungjawab kepada semua ahli untuk menenangkan keadaan.

        "Tak mungkin semua faham tetapi yang pentingnya dalam mana-mana parti, seorang tidak dapat
        membentuk sebuah parti, tetapi semuanya," kata beliau.

        Sabbaruddin berkata, memang berlaku sedikit ketegangan di kalangan pimpinan parti, tetapi ia
        bukan satu masalah serius.

        "Secara keseluruhannya, saya rasa tidak ada masalah kerana mana ada parti tidak sedikitpun
        berkocak, kalau laut tenang, bukan laut namanya... mesti ada sikit goyang," katanya.
 


Anwar pertikai tindakan Peguam Negara

        KUALA LUMPUR, Jumaat -Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
        mempersoalkan tindakan Peguam Negara mengedarkan secara tergesa-gesa kepada media afidavit
        yang menggaitkannya dengan skandal seks.

        Beliau juga hairan tindakan Peguam Negara yang bertindak sebagai pendakwa raya, memberi izin
        kepada polis memfailkan afidavit yang kandungannya dianggap keterangan cakap dengar itu.

        "Adakah pendekatan yang diambil oleh Peguam Negara dan mahkamah ini menggambarkan kepada
        konsep keadilan dan saksama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

        Anwar berkata, siaran berita TV3 pada jam 1.30 tengah hari dan edisi khas The Malay Mail
        semalam menyiarkan afidavit itu.

        Menurutnya, walaupun peguam Pengarah Perhubungan Awam Magnum Corporation, Datuk S
        Nallakaruppan membantah penyiaran afidavit itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab
        Patail memutuskan ia adalah dokumen awam.

        Katanya, beliau mendapat nasihat undang-undang dan mendapati adalah luar biasa afidavit yang
        baru difailkan serta belum dibaca di mahkamah terbuka, diputuskan sebagai dokumen awam.

        Beliau berkata, keputusan mahkamah itu menunjukkan hakim berkenaan memberi izin supaya
        dakwaan ke atasnya, yang tidak terbabit dalam kes itu, disiarkan oleh media.

        "Prinsip "keadilan bukan saja dilaksanakan tetapi perlu dilihat dilaksanakan" perlu diberi perhatian
        supaya sistem pentadbiran keadilan mempunyai maruah di mata rakyat dan semua orang, " katanya.

        Mahkamah Tinggi semalam menerima pakai sepenuhnya empat afidavit jawapan daripada
        pendakwaan berhubung kes Nallakaruppan.

        Sebelum itu, Manjeet membuat permohonan supaya afidavit yang diikrarkan oleh Peguam Negara,
        Tan Sri Mohtar Abdullah, Ketua Pengarah Penjara Datuk Omar Mohamed Dan, Penolong
        Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner II Musa Hassan dan Asisten
        Komisioner V Ramasamy, dibuang sepenuhnya atau sebahagiannya kerana dikatakan mengandungi
        material yang tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah.

        Bagaimanapun, Abdul Wahab, ketika membuat keputusan itu berkata, beliau berpuas hati yang
        afidavit jawapan itu adalah berkaitan kepada isu yang berbangkit daripada permohonan
        Nallakaruppan.

        Sebelum itu, Azhar menafikan bahawa afidavit yang dikemukakan oleh pihaknya itu adalah dengar
        cakap atau tanpa sumber.

        Menurutnya, nama sumber yang memberi maklumat tidak dinyatakan dalam afidavit berkenaan
        kerana ianya soal keselamatan negara dan polis masih lagi meneruskan penyiasatannya.


Komponen BN hormati tindakan MT Umno

        KUALA LUMPUR, Jumaat - MCA, MIC dan Gerakan menghormati keputusan Majlis Tertinggi
        (MT) Umno memecat bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar
        Ibrahim, sebagai ahli parti itu malam tadi.

        Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, berkata Mesyuarat Majlis Presiden MCA yang
        membincangkan khusus isu pelucutan jawatan Anwar, berpendapat ia adalah masalah dalaman
        Umno.

        "Bagi perpaduan Barisan Nasional (BN) dan rakyat, MCA menyokong dan menghormati keputusan
        itu," katanya selepas mesyuarat berkenaan selama kira-kira 45 minit di sini, hari ini.

        Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Lim Ah Lek; Menteri Perumahan dan Kerajaan
        Tempatan, Datuk Dr Ting Chew Peh; Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng; Timbalan Menteri
        Dalam Negeri, Datuk Ong Ka Ting; dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wong See Wah.

        Ditanya adakah pelucutan Anwar itu memberi kesan kepada kestabilan politik negara, Dr Ling yang
        juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA mencadangkan parti komponen BN meletakkan soal itu
        di belakang bagi memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara.

        Menurutnya, MCA juga akan memberikan penjelasan mengenai isu pelucutan jawatan Anwar
        kepada semua ahlinya di seluruh negara, jika perlu.

        "Setakat ini media sudah memainkan tugas memberikan laporan yang begitu jelas. Umno perlu
        menjelaskan kepada semua ahlinya mengenai pelucutan jawatan Anwar.

        "Bagi MCA, jika perlu berbuat demikian, kami sedia melaksanakannya," katanya.

        Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata parti komponen BN tidak akan
        mencampuri keputusan parti komponen BN yang lain.

        "Kita tidak boleh menyoal keputusan yang dibuat Umno kerana ini menjadi prinsip parti komponen
        BN. Kalau saya buat keputusan untuk MIC, Umno juga tidak boleh mencampuri urusan itu,"
        katanya.

        Beliau berkata, prinsip itulah yang memberikan kekuatan kepada kerajaan dan hubungan rapat
        antara semua parti komponen.

        "Pemimpin datang dan pergi...tetapi kesatuan komponen BN tetap kukuh," katanya.

        Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata, semua projek yang diluluskan sebelum ini tetap
        dijalankan walaupun Anwar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        "Tidak ada kaitan di antara projek dan politik. Sesetengah projek yang diluluskan dan diserahkan
        kepada pihak tertentu akan dilaksanakan kerana politik dan projek adalah isu yang berbeza,"
        katanya.

        Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan
        yang bermesyuarat semalam memutuskan menyokong tindakan Perdana Menteri.

        Menurutnya, selain hak, Dr Mahathir sudah tentu mempunyai sebab kukuh untuk mengambil
        tindakan berkenaan.

        "Gerakan menyokong dan bersetuju dengan tindakan yang diambil Perdana Menteri. Walaupun (kes
        berhubung dakwaan terhadap Anwar) belum masuk ke mahkamah, apa yang kita tahu, Perdana
        Menteri lebih memahami tindakan atau sebab tindakan itu diambil," katanya.

        Beliau juga meminta rakyat tidak menimbulkan masalah hingga menjejaskan kestabilan politik yang
        akan menghalang kemasukan pelabur asing berikutan langkah itu.

        Sambil berharap semua pihak memberi sokongan padu kepada tindakan Datuk Seri Dr Mahathir
        Mohamad, beliau berkata, kestabilan politik adalah syarat utama menarik pelabur asing ke negara
        ini.

        "Kita harus memberi keyakinan kepada pelabur dengan memaklumkan modal yang dilabur di negara
        ini dan keuntungan yang diperolehi adalah selamat dan boleh dibawa keluar.

        "Untuk itu kita memerlukan kestabilan politik bagi menjelaskan kepada pelabur berpotensi yang
        masuk ke negara kita. Ia adalah sebab utama ramai pelabur asing ke negara kita dan itu adalah
        syarat yang tidak ada perbandingannya dengan negara jiran atau negara lain yang juga pesaing kita.

        "Jika kita membuat apa yang akan menghalang atau menjejaskan kestabilan politik, tentu ekonomi
        kita tidak pulih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Gerakan Johor di Johor
        Bahru, hari ini.

        "Kita harap ahli Umno dan parti komponen BN menyokong keputusan itu dan jangan jadikan huru
        hara sebab apabila Malaysia menghadapi kegawatan ekonomi, ada banyak yang perlu dibuat untuk
        menghadapi cabaran dari kegawatan ekonomi," katanya.


Rakyat perlu yakini keputusan

        KUALA LUMPUR, Jumaat - Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat
        menaruh kepercayaan kepada pucuk pimpinan Umno walaupun ia membuat keputusan
        memeranjatkan dengan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli parti.

        Bekas Naib Presiden Umno itu menyifatkan apa yang berlaku terhadap Anwar adalah satu masalah
        politik yang perlu diselesaikan secara politik.

        "Saya ingin merakamkan rasa sedih atas apa yang berlaku terhadap Anwar. Kejadian ini memanglah
        amat mendukacitakan. Sebagai seorang sahabat, saya turut berasa sedih.

        "Tetapi apa juga keputusan yang diambil pucuk pimpinan parti, dibuat selepas semua pertimbangan
        diambil kira. Kita sokong apa saja tindakan yang perlu atas nama kepentingan negara dan kita perlu
        bersama pucuk pimpinan dalam menghadapi isu ini.

        "Walaupun ia keputusan menyedihkan dan tidak diduga, sebagai orang Islam kita patut menerima
        keadaan ini sebagai takdir," katanya mengulas pelucutan Anwar daripada Kabinet dan
        pemecatannya sebagai ahli Umno.

        Muhyiddin turut menolak anggapan bahawa beliau adalah 'orang' Anwar, sebaliknya menegaskan,
        beliau serta ahli-ahli Umno Johor menyokong penuh kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir
        Mohamad.

        "Itu adalah gambaran yang dicipta (sebagai orang Anwar). Pada masa yang sama, selama ini saya
        adalah orang Dr Mahathir.

        "Masalahnya ialah orang selalu membuat andaian. Tetapi saya adalah sahabat (Anwar), tetapi
        sahabat ada dua jenis sahabat zaman senang dan zaman susah... ia biasa berlaku dalam politik,"
        katanya.

        Mengenai dakwaan Anwar wujud konspirasi politik peringkat tertinggi dalam usaha
        menjatuhkannya, Muhyiddin berkata bekas Timbalan Perdana Menteri itu boleh menggunakan
        saluran perundangan bagi menangani perkara itu.

        "Seperti yang disebut Perdana Menteri, beliau (Anwar) boleh membela diri melalui sistem
        undang-undang di negara ini, sekiranya berasakan berlaku ketidakadilan," katanya.
 


Kelab Ahli Parlimen sokong pemecatan Anwar

         KUALA LUMPUR, Jumaat - Kelab Ahli-Ahli Parlimen Umno hari ini menyokong keputusan
         Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno melucutkan
         jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

         Presiden kelab, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Jarjis berkata, keputusan untuk melantik dan melucut
         jawatan itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan yakin bahawa tindakan itu adalah demi
         kepentingan agama, bangsa dan negara.

         "Kami Ahli Parlimen Umno hari ini bersetuju sebulat suara dan percaya Perdana Menteri sudah
         memikir secara mendalam berdasarkan bukti yang ada sebelum membuat keputusan melucutkan
         jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat
         khas di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

         Seramai 21 daripada 52 ahli kelab Parlimen Umno hadir pada mesyuarat khas itu.

         Bagaimanapun, ahli yang tidak dapat hadir disebabkan tugas lain sudah dihubungi dan menyatakan
         sokongan masing-masing mengenai keputusan itu.

         Beliau yang juga ahli Parlimen Rompin, Pahang berkata, setakat ini beliau belum menerima
         sebarang keputusan tidak menyokong keputusan itu daripada mana-mana Ahli Parlimen yang
         dihubungi.

         Dr Jamaluddin berkata, antara asas yang menyokong keputusan kelab ialah, Perdana Menteri
         adalah pemimpin berfikiran jauh dan berpengalaman luas serta kedua-dua unsur itu digunakan
         sebaiknya dalam membuat keputusan itu.

         Menurutnya, beberapa tindakan Dr Mahathir sebelum ini terbukti betul dan berhasil walaupun ada
         keputusan serta tindakannya dipersoalkan tetapi akhirnya betul seperti tindakan spekulator
         memainkan mata wang dikecam dunia dan sekarang dunia akhirnya mengakui kebenaran
         tindakannya.

         Selain itu, pelantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Tugas-tugas Khas juga dipersoalkan
         tetapi terbukti beliau dapat membantu memulihkan ekonomi.


Soal akhlak punca Anwar dipecat

        KUALA LUMPUR, Jumaat - Soal akhlak yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah
        punca utama beliau dilucutkan daripada Kabinet dan dipecat sebagai ahli Umno, kata beberapa ahli
        Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

        Sehubungan itu, mereka akan mengadakan majlis penerangan ke seluruh negara bagi memberi
        gambaran sebenar isu berkenaan kepada rakyat dan ahli parti di peringkat akar umbi.

        Di KEMAMAN, Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berkata isu moral
        adalah punca utama membawa tindakan berkenaan.

        Bercakap kepada pemberita di sini pagi ini beliau berkata, keputusan Datuk Seri Dr Mahathir
        Mohamad itu adalah bersesuaian dan tepat demi menjaga moral serta keutuhan parti.

        "Oleh itu, MT meminta Anwar berundur buat sementara kerana kalau dipecat ia agak kurang baik.
        Namun demi menjaga kepentingan parti, MT terpaksa memecat Anwar," katanya.

        Di SETIU, Pergerakan Wanita Umno Malaysia berdiri teguh di belakang Perdana Menteri mengenai
        isu pemecatan Anwar.

        Ketuanya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, keputusan MT malam tadi adalah ikhlas dan dibuat
        sebulat suara demi kepentingan negara dan parti.

        Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Bina Negara Pergerakan Wanita Umno
        Negeri Terengganu, beliau berkata masalah individu walaupun pemimpin tertinggi, tidak sepatutnya
        mengheret sama parti.

        "Saya yakin keputusan yang diambil itu tidak akan membawa perpecahan dalam parti kerana
        pengalaman Umno sebelum ini memperlihatkan kematangan ahli dalam memilih di antara kepentingan
        negara, parti dan rakyat," katanya.

        Di KUANTAN, Menteri Besar, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob, berkata Umno Pahang akan
        mengadakan sesi penjelasan di seluruh negeri berhubung pelucutan jawatan Anwar dan
        pemecatannya daripada Umno, tidak lama lagi.

        Beliau berkata, langkah itu penting kerana ahli Umno peringkat akar umbi boleh mendapat gambaran
        sebenar mengenai isu itu.

        "Perpaduan ahli Umno di negeri ini tetap kukuh, malah mereka mengambil sikap bertenang,"
        katanya.

        Mohd Khalil berkata, keputusan memecat Anwar daripada Umno dibuat secara sebulat suara oleh
        MT.

        Di IPOH, Badan Perhubungan Umno Perak menerima secara terbuka keputusan MT Umno yang
        sebulat suara memecat Anwar daripada parti.

        Pengerusinya, Tan Sri Ramli Ngah Talib, berkata pihaknya menerima keputusan MT itu demi
        kepentingan parti.

        Menurutnya, tiada ahli MT yang menentang keputusan itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri
        dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

        Bagaimanapun, Ramli yang juga Menteri Besar Perak berkata, mungkin pada sebahagian ahli parti
        dan penyokong Anwar, keputusan itu mengejutkan.

        "Tetapi setiap keputusan penting seperti ini ada sebab penting, kukuh dan besar. Oleh itu, mereka
        perlu faham semua ini dan memberi keyakinan kepada kerajaan dan pentadbiran parti mengatasi
        perkara ini," katanya.

        Di PORT DICKSON, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa
        Abdul Samad, berkata pemecatan Anwar sebagai Timbalan Presiden dan ahli Umno dibuat sebulat
        suara.

        Katanya, MT Umno menimbangkan semua aspek sebelum membuat keputusan itu dan menjadikan
        kepentingan parti dan negara mengatasi kepentingan lain.

        Katanya, pemecatan Anwar terpaksa dilakukan kerana mungkin menimbulkan banyak masalah
        seperti dari segi imej.

        "Saya percaya masyarakat akan jelas. Pada peringkat awal, mungkin ada kekeliruan tetapi
        lama-kelamaan rakyat akan menerima keputusan itu," katanya di sini, hari ini.

        Di SEPANG, Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar, berkata pemecatan Anwar
        sebagai ahli Umno adalah wajar demi menjaga nama baik parti.

        Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, berkata pemecatan Anwar bukan
        suatu yang luar biasa kerana sudah menjadi tradisi Umno meminta mana-mana ahli yang bermasalah
        supaya menarik diri daripada menjadi ahli parti demi kebaikan parti.

        Menurutnya, keputusan itu tidak dibuat oleh Perdana Menteri seorang tetapi sebulat suara oleh ahli
        MT kerana majlis melihat masalah peribadi Anwar yang serius boleh menjejaskan kredibiliti Umno.

        Di MELAKA, Badan Perhubungan Umno Negeri menyokong penuh keputusan MT memecat
        Anwar sebagai ahli Umno demi kebaikan parti dan negara.

        Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata, dengan itu isu yang membabitkan
        Anwar tidak lagi membabitkan parti.

        "Umno Melaka yakin pemecatan ini tidak menjejaskan perpaduan dan keutuhan parti. Umno
        Melaka berdiri teguh di belakang kepemimpinan Presiden Umno dan akan berusaha mengukuhkan
        parti dan bekerja terus memulihkan ekonomi negara," katanya.


Pemuda akui ada ahli salah laku

        KUALA LUMPUR, Jumaat - Pergerakan Pemuda Umno mengaku sebilangan kecil anggotanya
        turut terbabit dalam perbuatan memalukan pemimpin parti yang menghadiri mesyuarat Majlis
        Tertinggi (MT), malam semalam.

        Sehubungan itu, perkara berkenaan akan diperpanjangkan kepada ketua pergerakan itu, Datuk
        Ahmad Zahid Hamidi, supaya satu mesyuarat khas diadakan segera bagi membincangkannya.

        Exco Pemuda Umno, Zulkifli Mohamed Alwi, berkata mesyuarat khas itu perlu kerana beliau tidak
        mahu perkara berkenaan berlarutan sehingga Pemuda Umno terheret ke satu kancah yang tidak
        wajar.

        "Kami tidak mahu isu ini ditafsirkan umum sebagai tindakan Pemuda Umno. Kami juga tidak mahu
        diperalatkan untuk kepentingan individu tertentu," katanya pada sidang akhbar bersama seorang lagi
        Exco Pemuda, Zein Isma Ismail, di sini petang ini.

        Malam semalam, pelajar dan ahli sebuah pertubuhan belia membentuk kumpulan yang dipercayai
        terbabit dalam perbuatan membaling objek, menghamburkan kata-kata kesat dan menjerit slogan
        yang diselang seli dengan nyanyian patriotik ketika ahli MT tiba untuk menghadiri mesyuarat dan
        selepasnya.

        Tindakan kumpulan itu dipercayai bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pelucutan jawatan
        Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        Sambil menyifatkan rasa dukacita dan kecewa dengan tindakan kumpulan itu, Zulkifli berkata,
        perbuatan itu bertentangan dengan nilai murni yang mahu diterapkan oleh generasi pelapis pimpinan
        negara.

        "Emosi dan tindakan terburu-buru hanya memburukkan keadaan dan menimbulkan imej negatif
        kepada pihak yang kononnya mahu dibela. Apatah lagi apabila tindakan itu diperbesar-besarkan
        media asing serta memburukkan imej negara di mata dunia," katanya.

        Beliau yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN), berkata semua anggota
        pemuda parti komponen akur denan mandat pucuk pimpinan dalam menangani masalah
        membabitkan politik dan ekonomi.

        "Kalau ada pihak tertentu yang berhajat mengganggu gugat pucuk pimpinan, kami mengambil
        kesempatan ini untuk menegaskan yang kami berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri
        Dr Mahathir Mohamad," katanya.

        Sementara itu, Zein berkata, generasi muda sekarang tidak seharusnya mengamalkan budaya kurang
        ajar dan ikut-ikutan serta menjadi ejen Barat dalam memalukan negara.

        Menurutnya, generasi muda, terutama pelajar tidak harus meniru tindakan reformasi seperti di
        Indonesia, sebaliknya perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran.

        "Lagipun, mereka sebenarnya belum matang dalam perjalanan arena politik negara kerana masih
        kurang pendedahan," katanya.


Pendirian Anwar dipertikai

        KUALA LUMPUR, Jumaat - Naib Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mempertikai
        pendirian bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sistem di negara ini
        yang dahulu didukungnya.

        Beliau berkata, tuduhan Anwar terhadap kewibawaan dan profesionalisme polis menjalankan
        siasatan, prasangka ke atas sistem pemerintahan negara dan dakwaan wujudnya konspirasi
        peringkat tertinggi, amat berat.

        "Sekiranya ada buruk sangka terhadap badan seperti itu, bermakna kita menyerang sistem yang
        pernah kita dukung dan pertahankan sewaktu berada dalam kerajaan.

        "Saya fikir adalah tidak wajar apabila tidak lagi berada dalam kerajaan, kita menolak segalanya
        serta membuat tuduhan yang amat berat. Kita harus berpegang bahawa inilah sistem yang wujud
        dalam negara ini dan ia berjalan serta berfungsi dengan baik.

        "Melainkan ada bukti nyata, kita yakin polis menjalankan tugas dengan adil serta saksama.
        Seseorang itu boleh mendapat keadilan melalui proses perundangan dan mahkamah di negara ini,"
        katanya.

        Najib yang juga Menteri Pendidikan memberitahu pemberita demikian selepas majlis penyerahan
        peralatan aeroangkasa Russia kepada Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

        Anwar yang dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kelmarin dan
        dipecat daripada Umno malam tadi, mendakwa ada pakatan peringkat tertinggi untuk menjatuhkan
        beliau.

        Anwar juga mendakwa, institusi kerajaan digunakan oleh mereka yang mengadakan pakatan
        terhadapnya, bagi mereka-reka dan mengada-adakan tuduhan.

        Dalam afidavit seorang pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes
        pemilikan peluru secara haram yang dihadapi Pengarah Hal Ehwal Awam Magnum, Datuk S
        Nallakaruppan semalam, Anwar didakwa melakukan perkara sumbang, mengancam keselamatan
        negara, membocor rahsia negara dan rasuah.

        Mengenai keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memecat Anwar daripada parti itu, Najib
        berkata keputusan MT itu tidak bermakna Anwar sudah didapati bersalah atas apa-apa tuduhan,
        kerana jika ia dianggap demikian, bermakna parti sudah mendahului keputusan mahkamah.

        Menurutnya, pelucutan daripada parti itu untuk membolehkan Anwar membersihkan dirinya dan ia
        tidak boleh dianggap sebagai tidak adil kerana ia memberi peluang untuk beliau menuntut keadilan
        melalui proses perundangan.

        Najib berkata, MT membuat keputusan setelah memikirkan Anwar perlu mengasingkan soal
        peribadi daripada dikaitkan dengan parti dan kedudukan parti keseluruhannya.

        "Kita fikir oleh kerana tuduhan itu sangat berat maka langkah wajar untuk diambil beliau ialah
        membersihkan dirinya sehingga dapat meyakinkan bahawa tuduhan itu tidak benar atau sebaliknya
        melalui proses yang boleh dilalui oleh seseorang dalam hal seperti ini.

        "MT berpendapat kalau Anwar masih menjadi Timbalan Presiden dan ahli Umno, parti akan terheret
        sama dalam kancah dan kemelut itu.

        "Jadi, pertama kita harap beliau berundur secara terhormat daripada kedudukannya dalam parti
        tetapi beliau enggan berbuat demikian. Maka MT membuat keputusan memecatnya," kata Najib.

        Mengenai keputusan Dr Mahathir mengosongkan jawatan Timbalan Presiden sehingga pemilihan
        parti tahun depan, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri kemungkinan besar tidak diisi,
        Najib berkata ia adalah kuasa mutlak Presiden parti dan Perdana Menteri.

        Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yakin MT mempunyai
        sebab yang jelas dan kukuh sebelum memutuskan memecat Anwar sebagai ahli parti.

        Menurutnya, keputusan itu diambil dalam satu musyawarah mengikut tradisi Umno dan semua ahli
        MT diberi peluang menyuarakan pandangan sebelum membuat keputusan sebulat suara.

        "Saya memang sudah terikat kepada keputusan itu kerana sebelum mesyuarat MT semalam, saya
        sudah menghantar surat kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa saya akan
        bersetuju dan patuh kepada sebarang keputusan yang diambil.

        "Dalam ingatan saya, ini adalah keputusan memecat seorang timbalan Perdana Menteri yang pertama
        kali berlaku dalam sejarah Umno," katanya kepada wartawan Malaysia di Durban, Afrika Selatan,
        hari ini.

        Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Puncak Pergerakan Berkecuali (NAM) berkata,
        ahli Umno perlu memahami keputusan itu dan menjadi tugas semua ahli MT untuk menjelaskan
        kepada mereka mengenai cara keputusan itu dibuat.

        Sementara itu, bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong penuh tindakan
        Dr Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, tindakan itu wajib diambil berdasarkan pertimbangan teliti Dr
        Mahathir untuk memelihara kepentingan rakyat serta menjamin keselamatan dan kestabilan negara.

        Sebagai ahli Umno, katanya, beliau juga menyokong keputusan sebulat suara MT memecat Anwar
        daripada parti.

        "Saya percaya keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan mendalam ahli MT demi memelihara
        imej dan menjamin nama baik Umno yang merupakan parti umat Islam terbesar dan tunggak
        perjuangan orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

        Tengku Razaleigh berkata, keputusan itu tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana ahli Umno,
        malah mereka hendaklah memberi sokongan penuh.

        Beliau percaya perkembangan sekarang tidak akan memberi apa-apa kesan kepada nama baik
        kerajaan dan Umno pimpinan Dr Mahathir.


Tindakan drastik untuk kebaikan parti

        KETIKA mengumumkan keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi (MT) Umno mengenai pemecatan
        Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada keanggotan Umno lewat awal pagi semalam, Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad ditanya siapakah yang akan menjawat jawatan Timbalan Presiden parti? Dr
        Mahathir yang juga Presiden Umno tidak memberi sebarang nama. Sememangnyalah demikian
        kerana Timbalan Presiden Umno, bukanlah jawatan yang dilantik. Ia adalah jawatan yang dipilih oleh
        perwakilan dalam perhimpunan agung parti, tiga tahun sekali.

        Bagaimanapun, sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai hak untuk melantik seorang Timbalan
        Perdana Menteri kerana jawatan yang disandang oleh Anwar itu, juga dilucutkan sehari sebelum itu.
        Meski pun keputusan terletak di tangannya, Dr Mahathir tidak juga berbuat demikian.

        Jika timbul persoalan sekali pun, ia mungkin dari aspek mengapa jawatan itu tidak diisi? Mengikut
        tradisi, salah seorang daripada tiga Naib Presiden Umno mempunyai kelebihan untuk menjawat
        jawatan Timbalan Perdana Menteri atau setidak-tidaknya Pemangku Timbalan Perdana Menteri.
        Disebabkan jawatan itu dikosongkan dalam suasana yang agak mengejutkan, bolehlah diandaikan
        setakat ini Dr Mahathir belum memikirkan calon yang difikirkan sesuai.

        Ini mungkin kerana sebelum ini beliau begitu yakin bahawa Anwar adalah satu-satunya pengganti
        beliau, sama ada dalam parti atau kerajaan. Dr Mahathir bukan mudah untuk mempercayai rakan
        dan tidak juga mudah terpengaruh dengan hasutan. Segala keputusannya dibuat dengan teliti. Anwar
        adalah antara anak didik yang dipercayainya selama ini.

        Berikutan perkembangan terbaru yang datang begitu mendadak, Dr Mahathir tidak sempat
        memikirkan calon yang akan mengisi kerusi nombor dua tertinggi dalam kerajaan itu. Jika pelucutan
        jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta pemecatan Anwar dari Umno
        adalah satu perancangan politik, sudah tentunya lah Dr Mahathir mempunyai calon pengganti
        jawatan itu.

        Dengan tidak membuat pelantikan itu, Dr Mahathir mungkin tidak mahu membelakangkan keputusan
        parti. Jika beliau melantik seorang Timbalan Perdana Menteri, tindakannya itu pasti akan
        mempengaruhi keputusan pemilihan pucuk pimpinan parti tahun depan. Siapa saja yang dilantik
        menjawat jawatan itu, akan mendapat laluan mudah dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno. Ini
        kerana pemegang jawatan Timbalan Presiden Umno, umumnya adalah Timbalan Perdana Menteri.

        Pelucutan jawatan Anwar daripada Kabinet dan pemecatan daripada parti tidak seharusnya menjadi
        isu yang boleh dipergunakan oleh musuh Umno. Pemecatan seseorang pemimpin bukanlah perkara
        luar biasa kerana ia pernah berlaku dalam Umno.

        Dr Mahathir sendiri pernah dipecat daripada Umno. Anwar memilih untuk dipecat sama ada
        jawatannya dalam kerajaan atau parti walaupun beliau boleh membuat pilihan meletakkan jawatan.
        Meskipun keputusan itu agak drastik, ia adalah untuk kebaikan parti. Jika Anwar dibenarkan terus
        menjadi ahli parti, kemungkinan besar ia akan menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam Umno.

        Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan kini menghadapi kegawatan ekonomi yang perlu
        dirawat segera, kerjasama antara pemimpin tertinggi untuk membuat keputusan segera, begitu
        mendesak. Jika Perdana Menteri dan timbalannya tidak dapat lagi duduk semeja bertukar pendapat,
        mereka tidak boleh lagi dianggap secocok dan sehaluan.

        Dalam menerajui kerajaan, banyak perkara yang harus dirunding dan diselesaikan bersama. Jika ini
        tidak lagi dapat dilakukan kerana curiga dan syak-wasangka, adalah lebih baik sesuatu perkara itu
        tidak dibincangkan. Kegagalan berterus terang antara satu dengan lain menimbulkan stigma tidak
        mempercayai antara satu dengan lain seterusnya menjejaskan hubungan tugas harian. Apakah kita
        mahu kerjasama yang tidak berkesan di kalangan pemimpin tertinggi negara sedangkan Dr Mahathir
        memperjuangan prinsip perkongsian bestari.

        Jika kebelakangan ini terlalu banyak timbul desas-desus hubungan tidak akrab Dr Mahathir-Anwar
        yang digembar-gemburkan oleh media asing, semuanya berpunca daripada perasaan tidak
        mempercayai antara satu dengan lain. Hubungan Dr Mahathir-Anwar tidak lagi sesuai sebagai rakan
        kerja berikutan bukti dakwaan yang diperolehinya mengenai perilaku Anwar yang tercemar.


Pemuda BN tentang percubaan gugat kestabilan

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pergerakan Pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional, termasuk Pemuda UMNO,
hari ini menegaskan bahawa ia akan menentang sebarang percubaan untuk menggugat kestabilan negara berikutan
pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet dan UMNO.

Setiausaha Pemuda BN dan anggota Exco Pemuda UMNO Zulkifli Mohamed Alwi hari ini berkata, kestabilan negara
amat penting dipertahankan agar negara tidak terdedah kepada sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

''Kalau ada pihak tertentu yang berhajat mengganggu gugat pucuk pimpinan, saya ingatkan bahawa kami semua berdiri
teguh di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya dalam barisan pucuk
pimpinan negara,'' katanya kepada pemberita hari ini.

Zulkifli berkata, majoriti aktivis di kalangan Pemuda sama ada dalam parti-parti komponen BN serta Pergerakan Pemuda
UMNO menerima dan menyokong usaha yang telah dilakukan oleh pucuk pimpinan negara khususnya Dr. Mahathir.

Beliau juga berkata, bahawa majoriti barisan Exco Pemuda UMNO berharap Ketua Pergerakan itu Datuk Ahmad Zahid
Hamidi akan mengadakan segera satu mesyuarat khas pergerakan itu bagi membincangkan perkembangan yang berlaku
sekarang dan mengambil tindakan perlu.

Beliau juga menjelaskan bahawa pergerakan itu tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan di ruang legar Menara
Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi yang kemudiannya menjadi agak kurang terkawal.

Perhimpunan itu diadakan ketika Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan
Anwar dalam parti itu, selepas dia dipecat daripada kabinet oleh Dr. Mahathir pada Rabu lepas.

''Kita risau kalau ada elemen Pemuda UMNO dalam perhimpunan itu, ini akan ditafsirkan sebagai pendirian rasmi
pergerakan itu.

''Pemuda UMNO tidak terbabit dengan perhimpunan itu dan kalau ada yang terlibat, ia adalah tindakan peribadi,''
katanya.

Sementara itu seorang lagi anggota Exco Pemuda UMNO Zein Isma Ismail, dukacita dan kecewa memandangkan
adanya pelajar universiti dan anggota pertubuhan bukan kerajaan yang sanggup diperalatkan dengan terbabit dalam
perhimpunan malam tadi. - Bernama.
 


Reformasi: Anwar tubuh organisasi

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada UMNO berkata, beliau tidak menolak
kemungkinan menubuhkan sebuah organisasi bagi melancarkan gerakan reformasi di negara ini yang akan turut
membabitkan parti-parti pembangkang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, buat masa ini beliau sedang menunggu reaksi pihak-pihak yang berminat
untuk merealisasikan idea tersebut.

Anwar, 51, tidak menjelaskan sama ada organisasi yang mahu ditubuhkan itu bersifat sebuah pertubuhan politik.

Katanya, gerakan reformasi sebenarnya sudahpun bermula dan untuk itu parti-parti pembangkang dan apa jua pertubuhan
yang berminat boleh ikut serta menjayakannya.

''Gerakan reformasi sudah bermula. Saya sendiri dapat merasakannya. Anda sendiri sudah dapat melihatnya,'' kata beliau
dengan penuh yakin.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selama 20 minit di kediamannya di Bukit Damansara di sini, petang ini.

Sidang akhbar itu diadakan selepas beliau menunaikan Sembahyang Jumaat di sebuah masjid berdekatan rumahnya.

Anwar berkata, usaha untuk merealisasikan gerakan reformasi itu bergantung kepada kerjasama rakyat secara
keseluruhan.

Menurutnya, beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk menerangkan kedudukan sebenar kepada rakyat.

''Saya akan menjelajah ke seluruh negara seberapa segera,'' ujarnya.

Semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang Bukit Aman, Penolong
Kanan Pesuruhjaya Polis II, Musa Hassan memfailkan satu afidavit yang membabitkan Anwar dengan perlakuan sumbang
dan anasir-anasir jahat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Pada sidang akhbar hari ini, Anwar berkata, setakat ini banyak pihak telah menghubunginya untuk mengetahui
perkembangan terkini dan apa yang beliau akan lakukan selepas ini.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang berikutan pemecatannya daripada UMNO, Anwar
berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO mempunyai hak mutlak untuk menyingkirkannya.

''Tetapi biasanya hanya ahli yang dituduh sahaja yang akan diminta keluar daripada parti. Sebenarnya saya belum
didakwa pun,'' kata beliau.

Anwar sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa tuduhan-tuduhan ke atasnya hanya rekaan semata-mata bertujuan
mahu menjatuhkannya.

Malam tadi MT UMNO yang bermesyuarat kira-kira empat jam sehingga pukul 1 pagi membuat keputusan memecat
Anwar daripada menjadi ahli parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Rabu lalu beliau juga dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada sidang akhbar yang sama berkata, beliau
masih percayakan suaminya yang menghadapi tuduhan yang amat berat.

''Saya sesungguhnya amat percaya kepadanya. Saya mengahwini seorang lelaki yang mempunyai pendirian,'' tegasnya.
 


Ahli Parlimen UMNO sokong keputusan MT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kesemua 52 ahli Parlimen UMNO termasuk dari Pulau Pinang yang tidak memegang
jawatan dalam kerajaan hari ini sebulat suara menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat
Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari parti.

Pengerusi Kelab Ahli-Ahli Parlimen UMNO (UMPG), Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, keputusan itu dicapai setelah
mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil ahli parlimen UMNO dari seluruh negara.

Katanya, kesemua ahli kelab tersebut juga telah sedia maklum tentang keputusan itu dan tiada bantahan mengenainya
diterima sehingga kini.

''Kami penuh yakin tindakan tersebut adalah untuk menjaga nama baik dan imej parti.

''Sebagai ahli Dewan Rakyat, kami meminta semua rakyat Malaysia supaya bertenang dan berdiri teguh di belakang
pucuk pimpinan negara dalam menghadapi keadaan sekarang,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada para pemberita di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Seramai 23 ahli Parlimen dari 12 negeri serta Wilayah Persekutuan turut hadir pada sidang akhbar tersebut.

Antara mereka ialah ahli Parlimen Parit Sulong, Ruhanie Ahmad, Seripah Norli (Sepang), Datuk Dr. Kamal Salleh
(Wangsa Maju), Badrul Hisham Abdul Aziz (Hulu Langat), Khaled Nordin (Johor Bahru) dan Datuk Shukri Mohd.
(Machang).

Anwar, 51, yang dipecat dari kesemua jawatan kabinetnya dua hari lalu disingkirkan sebulat suara daripada UMNO oleh
MT berkuatkuasa serta merta semalam.

Walaupun tindakan penyingkiran itu dilakukan namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad enggan
menjelaskan sebab-sebab tindakan tersebut atas alasan ia mengikut budi bicara ahli MT.

Dr. Jamaluddin menambah, terdapat beberapa asas kukuh yang telah dipertimbangkan sehingga membawa kepada
sokongan terhadap tindakan tersebut.

Empat daripadanya ialah:

* Perdana Menteri adalah pemimpin yang berfikiran jauh dan berpengalaman luas. Kedua-dua unsur ini tentulah telah
digunakan sebaiknya dalam membuat keputusan itu.

* Banyak tindakan Perdana Menteri selama ini terbukti betul dan berhasil. Walaupun ada keputusan/tindakannya
dicurigai/dipersoalkan, akhirnya betul, bernas dan tepat. Kesemua kebimbangan berkenaan akhirnya lupus.

* Tindakan spekulator memainkan matawang kita dikecam oleh dunia. Sekarang dunia akhirnya mengakui Perdana
Menteri adalah betul.

* Pelantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas juga dipersoalkan, tetapi sekarang terbukti beliau
dapat membantu ke arah memulihkan ekonomi.

Menurut Dr. Jamaluddin, ahli kelab tersebut turut percaya bahawa Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri telah
memikirkan dengan mendalam sebelum memutuskan pemecatan Timbalannya walaupun ia memang mempunyai kuasa
mutlak untuk berbuat demikian.

Katanya, ahli kelab itu juga yakin tindakan yang diambil itu adalah demi kepentingan agama, bangsa dan negara.


Pemimpin UMNO sambut baik pemecatan Anwar

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pemimpin-pemimpin UMNO hari ini menyambut baik keputusan pemecatan Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan menegaskan ia harus diterima demi menjamin kestabilan parti dan negara, tanpa didominasi
kepentingan individu-individu tertentu.

Kata mereka, dakwaan wujud konspirasi kepimpinan tertinggi parti untuk menjatuhkan kerjaya politik bekas Timbalan
Presiden itu adalah tidak berasas dan ahli UMNO perlu akur dengan keputusan yang dicapai Majlis Tertinggi (MT)
semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sabbaruddin Chik berkata, penyingkiran seorang pemimpin UMNO bukan perkara
baru dalam parti itu, malah pernah berlaku sebelum ini.

''Singkir dari parti bukan perkara yang tidak pernah dibuat. Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad) sendiri
pun pernah disingkir dari parti.

''Cuma bezanya Perdana Menteri semasa disingkir dia tak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya.

''Yang ini (Anwar), dia disingkir dan diberi peluang mempertahankan dirinya. Dia diberi peluang yang panjang untuk
bercakap,'' kata beliau ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam MT UMNO sebulat suara memecat Anwar sebagai ahli parti dan sekali gus menyebabkan beliau kehilangan
semua jawatan dalam organisasi berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar berkata, pemecatan Anwar akan mengelakkan imej parti terjejas
berikutan masalah peribadi sedang dihadapi bekas Timbalan Presiden parti itu.

''Demi menjaga kepentingan UMNO, MT memutuskan untuk memecat Anwar dari parti berkuat kuasa serta-merta,''
katanya.

Abu Hassan menegaskan, keputusan yang diambil oleh MT berdasarkan fakta-fakta dan dengan itu tidak benar sama
sekali kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bahawa wujud pakatan menjatuhkannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman meminta semua ahli UMNO bertenang dan
berfikir secara rasional dalam menghadapi isu pelucutan jawatan Anwar.

''Ahli UMNO perlu bijak menangani masalah ini. Ia tidak boleh diselesaikan mengikut emosi,'' katanya selepas satu majlis
di Bangi, Selangor.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah percaya tindakan memecat Anwar dibuat berdasarkan
pertimbangan teliti Presiden UMNO demi memelihara kepentingan rakyat serta menjamin keselamatan dan kestabilan
negara.

''Saya yakin keputusan ini dibuat demi memelihara imej dan menjamin nama baik UMNO yang merupakan parti umat
Islam terbesar dan tonggak perjuangan orang Melayu dan umat Islam negara ini,'' kata bekas Menteri Kewangan dalam
satu kenyataan.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ketika dihubungi meminta semua ahli parti
memberi sokongan penuh kepada Dr. Mahathir dan keputusan MT untuk memecat Anwar.

''Kita tidak ada pilihan lain. Hanya UMNO sahaja yang dapat membawa orang Melayu ke arah yang lebih gemilang.
Orang Melayu, khususnya ahli UMNO tetap berdiri teguh di belakang Dr. Mahathir,'' katanya.

Di Setiu, Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjelaskan keputusan MT memecat Anwar
dibuat sebulat suara, bukannya tindakan berbentuk 'kuku besi' oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, tidak ada timbul tindakan berbentuk 'kuku besi' kerana mesyuarat itu mendengar semua pandangan dan
keputusan dicapai sebulat suara.

''Tidak ada ahli yang berpura-pura ketika memberi pandangan sama ada di depan atau di belakang Presiden parti,
keputusan ikhlas ahli MT itu tetap sama,'' katanya.

Di Kuantan, Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob berkata, isu penyingkiran Anwar dari UMNO bukan
pertama kali berlaku dan ia telah diselesaikan dengan baik pada masa-masa lalu.

Kata beliau, tindakan ke atas Anwar tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Fauzi Abdul Rahman pula berkata: ''Saya akur
dengan keputusan yang dibuat itu kerana semua itu adalah hak Perdana Menteri yang tidak boleh dipertikaikan sama
sekali.''

Di Ipoh, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, UMNO negeri akan
mengadakan pertemuan khas dengan ketua-ketua bahagian dan wakil rakyat seluruh negeri khusus untuk menjelaskan isu
pemecatan Anwar.

''Mereka perlu faham bahawa setiap keputusan penting yang dibuat Presiden UMNO (Dr. Mahathir) mempunyai
sebab-sebab penting,'' katanya.

Di Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, UMNO tidak boleh
mementingkan individu semata-mata kerana keputusan MT semalam adalah berdasarkan pertimbangan yang diputuskan
sebulat suara.

''Mungkin peringkat awal keadaan akan menjadi gawat seketika tetapi saya percaya ahli UMNO akan lebih jelas apabila
kita menekankan kepentingan parti melebihi segala-galanya,'' katanya.

Di Kota Bharu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin mengingatkan ahli-ahli UMNO agar
mengutamakan tanggungjawab moral bagi mengekalkan maruah parti.

Beliau berkata, ahli-ahli parti termasuk pemimpin yang mengabaikan tanggungjawab moral perlu disingkirkan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kelantan, Datuk Annuar Musa berkata, UMNO negeri itu tidak mempunyai
masalah dan menganggap ia perkara biasa.

''Kita dapat memahami apabila dipecat daripada ahli parti bermakna juga Anwar melakukan sesuatu kesalahan yang
serius kalau tidak, ia tidak dipecat,'' ujarnya.

Di Melaka, Timbalan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, Dr. Mahathir mempunyai
sebab yang jelas untuk berbuat demikian.

''Tidak ada pakatan melainkan kewarasan di kalangan ahli MT,'' tegasnya.

Tokoh veteran UMNO negeri, Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata, UMNO kuat bukan bergantung kepada seseorang
pemimpin dan sejarah membuktikan bahawa UMNO terus berkembang setelah Datuk Onn Jaafar meninggalkan parti.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata: ''Saya berharap Anwar tidak
membuat tuduhan melulu bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau,'' katanya.
 


Pas dukacita Anwar dikaitkan dengan skandal

ALOR SETAR 4 Sept. - Pas dukacita dengan dakwaan yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan skandal
seks sehingga menyebabkan beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Presidennya, Datuk Fadzil Noor berkata, Anwar perlu diberi peluang untuk menjelaskan segala tuduhan yang bukan
sahaja telah merosakkan karier politiknya, tetapi juga memalukan keluarga beliau.

''Walaupun menjadi hak Perdana Menteri untuk menggugurkan menteri dan timbalannya tetapi yang mendukacitakan
adalah alasan yang dibuat, bagi saya ia sangat keterlaluan.

''Ia memberi gambaran yang sangat buruk kepada peribadi Anwar yang saya kenali sewaktu bersama-sama dalam
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),'' katanya kepada para pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Mengulas mengenai pemecatan Anwar daripada kedua-dua jawatan itu dan parti UMNO, beliau berkata, Anwar
bukanlah seperti yang digambarkan menerusi dakwaan tersebut.

''Walaupun saya berbeza wadah politik dengan Anwar tetapi saya tidak dapat menerima tuduhan sebegitu buruk terhadap
beliau,'' ujarnya.

Fadzil turut berada di kediaman Anwar semasa beliau mengadakan sidang akhbar semalam.


Datuk Nalla terus ditahan di lokap Bukit Aman

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Pengarah Hal Ehwal Korporat
Magnum Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri akan terus
ditempatkan di lokap Bukit Aman.

Hakim Abdul Wahab Patail semasa menolak permohonan Nallakaruppan untuk dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh
berkata:

''Terdapat alasan-alasan yang munasabah bahawa penyiasatan polis patut diteruskan dan diselesaikan secepat mungkin
kerana tuduhan terhadap Nallakaruppan membabitkan keselamatan negara.''

Menurut Abdul Wahab, beliau mendapati perintah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Penjara mengikut Seksyen 31
Akta Penjara 1995 adalah sah.

Dalam keputusannya juga, Abdul Wahab mengekalkan perintahnya yang dikeluarkan pada 19 Ogos lalu terhadap
Nallakaruppan supaya dia dibawa ke hadapan majistret setiap minggu untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, selepas menerima keputusan tersebut, para peguamnya, Manjeet Singh Dhillon dan Balwant Singh Sidhu
memberitahu pemberita, mereka akan mendapat arahan selanjutnya dari anak guaman untuk memfailkan rayuan di
Mahkamah Rayuan.

Nallakaruppan, 52, kini menghadapi tuduhan memiliki 125 peluru hidup jenis Fiocchi 6.35 milimeter kira-kira pukul 8
malam, 31 Julai lalu di rumahnya, No. 1-1, Selekoh Tunku, Bukit Tunku di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 57(1)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 (semakan 1972) yang membawa
hukuman mati mandatori.

Menurut kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah polis menjumpai 125 butir peluru hidup ketika rumahnya
digeledah berhubung siasatan kes buku, 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Selepas didakwa pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi itu memerintahkan Nallakaruppan ditahan di Penjara Sungai
Buloh.

Dua hari selepas itu, Nallakaruppan dipindahkan ke lokap Bukit Aman bagi tujuan penyiasatan yang melibatkan
keselamatan negara.

Berikutan itu, Nallakaruppan mengemukakan permohonan rasminya dengan melampirkan afidavit yang mengandungi
dakwaan bahawa penahanannya di lokap Bukit Aman secara berterusan adalah tidak sah.

Bagaimanapun menurut hujah balas Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, Ketua Pengarah Penjara
menimbangkan surat dari pihak polis bertarikh 13 Ogos 1998 untuk menjalankan penyiasatan terhadap Nallakaruppan di
lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau memberitahu bahawa penyiasatan dijalankan kerana terdapat beberapa dokumen di rumah Nallakaruppan yang
dialamatkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Tambah pendakwa raya lagi, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis II, Musa Hassan memfailkan afidavit jawapan bagi
pihak Ketua Polis Negara menjelaskan bahawa siasatan telah dijalankan dan sedang dijalankan mengikut peraturan dan
undang-undang.

Bagaimanapun, Manjeet ketika berhujah mengatakan bahawa pihak pembela tidak bersetuju dengan arahan yang
dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Penjara itu.

Beliau berkata, perintah untuk memindahkan Nallakaruppan ke Bukit Aman menyalahi peraturan lokap dan penjara.

Manjeet juga membangkitkan bahawa penahanan di Bukit Aman itu tidak pernah dinyatakan tempoh masa dan bilakah
akan diselesaikan.

Oleh: KAMARIAH AHMAD


Tuduhan Anwar berat -- Tak wajar persoal sistem pemerintahan dan kewibawaan polis - Najib

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai wujudnya konspirasi peringkat tertinggi
untuk menjatuhkannya adalah tuduhan yang sangat berat bagi seseorang yang pernah mendukung sistem kerajaan negara
ini.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak wajar bagi Anwar yang juga bekas Timbalan
Presiden UMNO mempersoalkan sistem pemerintahan negara, kewibawaan serta profesionalisme pihak polis.

''Adalah berat sungguh jika seseorang itu menyerang sistem yang pernah didukung apabila mereka tidak lagi berada dalam
kerajaan,'' kata Menteri Pendidikan itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan peralatan aeroangkasa Rusia kepada
Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar semalam yang mendakwa ada pakatan peringkat tertinggi untuk
menjatuhkannya.

Anwar juga mendakwa institusi kerajaan telah dipergunakan oleh mereka yang berpakat untuk mereka-reka dan
mengada-adakan tuduhan terhadapnya.

Menurut Najib, semua pihak harus berpegang kepada kenyataan bahawa inilah sistem yang selama ini berjalan dan
berfungsi dengan lancar di negara ini.

Kata beliau, keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang memecat Anwar sebagai ahli UMNO malam tadi bagaimanapun tidak
bermakna Anwar telah didapati bersalah terhadap apa-apa tuduhan.

''Sekiranya ia dianggap demikian bermakna parti sudah mendahului keputusan mahkamah,'' ujarnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan tengah malam tadi bahawa MT sebulat suara
memecat Anwar daripada parti.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar yang disifatkan Dr. Mahathir sebagai luar biasa kerana dihadiri oleh kesemua
anggota MT, dan ia menggambarkan keputusan pemecatan itu adalah secara musyawarah.

Anwar yang hadir di mesyuarat itu dibenarkan ''bercakap selama mana yang dia mahu untuk mempertahankan diri''.

Dr. Mahathir menambah ahli-ahli MT juga diberi peluang satu persatu menyuarakan pendapat masing-masing.

''Umumnya berpendapat Anwar harus menarik diri dari UMNO. Jika tidak ia akan dipecat keahlian UMNO,'' kata
presiden parti itu.

Menurut Najib, pelucutan jawatan Anwar daripada parti bertujuan membolehkan beliau membersihkan dirinya dan tidak
boleh dianggap sebagai tidak adil.

Keputusan itu juga, jelas beliau, memberi peluang kepada Anwar untuk menuntut keadilan melalui proses perundangan.

Najib berkata, MT membuat keputusan setelah memikirkan bahawa Anwar tidak perlu mengheret dan mengaitkan parti
dalam setiap tindakan untuk membersihkan namanya.

Katanya, MT berpendapat jika Anwar masih merupakan Timbalan Presiden dan anggota parti maka parti akan terheret
sama dalam kancah dan kemelut itu.

''Kita fikir oleh kerana tuduhan itu sangat berat maka wajar untuk Anwar membersihkan dirinya sehingga dapat
meyakinkan bahawa tuduhan itu tidak benar atau sebaliknya melalui proses perundangan,'' kata Najib.

Menurut beliau, MT pada mulanya berharap Anwar berundur secara terhormat, tetapi keengganan beliau berbuat
demikian menyebabkan MT membuat keputusan untuk memecatnya daripada menjadi ahli.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK


BALIK