Make your own free website on Tripod.com

 

BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM

7 SEPTEMBER 1998
 



 
 Abim ketuai gerakan reformasi

        KAJANG, Ahad - Empat pertubuhan Islam hari ini membentuk apa yang mereka namakan
        'Pergerakan Reformasi', bertujuan membangkitkan kesedaran umum mengenai 'ketidakadilan'
        terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Pergerakan yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu, disertai Jemaah Islah Malaysia
        (Jim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains Islam Malaysia
        (Asasi).

        Walaupun Anwar tidak hadir di majlis pelancaran pergerakan itu hari ini, pita rakaman ucapannya
        selama 10 minit, dimainkan kepada hadirin.

        Presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman, berkata pergerakan itu bagaimanapun tidak akan
        menggunakan kekerasan dalam mencapai matlamatnya untuk mengubah pemikiran rakyat.

        "Rakyat perlu sedar bahawa penggunaan fitnah sebagai senjata politik untuk menjatuhkan pemimpin
        adalah bertentangan dengan Islam dan kemanusiaan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan
        Abim di Sungai Ramal Dalam, di sini.

        Hadir sama ialah Presiden Jim, Saari Sungib; Presiden PKPIM, Amidi Abdul Manan; Presiden
        Asasi, Prof Tengku Shaharir Mohamad Zain dan Timbalan Presiden Abim, Mokhtar Ridzwan.

        Ahmad Azam berkata, lebih banyak badan bukan kerajaan dijangka menyertai secara langsung
        pergerakan itu sebaik sahaja ia memulakan program memberi penjelasan mengenai isu itu, ke seluruh
        negara.

        Beliau turut menafikan ahli Abim terbabit dalam kekecohan dan perbuatan biadap sewaktu
        mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn Khamis lalu.

        Sambil menyifatkan tuduhan itu adalah taktik untuk mencemarkan Abim dan usahanya menuntut
        keadilan, beliau berkata mana-mana ahli Abim yang didapati terbabit dalam keganasan atau
        bertindak bercanggah dengan Islam, akan disingkir.



 
MB nasihati pelajar jangan campuri politik

        KUALA LUMPUR, Ahad - Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar meminta pelajar
        Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tajaan Yayasan Selangor agar tidak membabitkan diri dalam
        perjuangan politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Beliau berkata, mereka sepatutnya terus belajar dan tidak menimbulkan sebarang masalah yang
        boleh menjejaskan masa depan mereka, keluarga dan masyarakat.

        "Setakat ini saya masih belum menerima sebarang laporan daripada Yayasan Selangor mengenai
        pembabitan pelajar tajaannya.

        "Bagaimanapun, saya minta Yayasan Selangor mengkaji kemungkinan berlakunya perkara ini,"
        katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatam Al Quran dan Berkhatan
        Beramai-ramai di Sekolah Menengah Selayang Baru (2), Batu Caves dekat sini, hari ini.

        Turut hadir ialah isterinya, Datin Wan Noor Daud selaku Yang Dipertua Badan Amal Kanak-kanak
        Istimewa Selangor (Balkis), Ahli Dewan Undangan Negeri Selayang Baru, Datuk Ahmad Bhari
        Abdul Rahman dan Ketua Umno Bahagian Selayang, Datuk Saidin Thamby.

        Semalam, Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Yusof Nor, dilaporkan meminta pentadbiran pusat
        pengajian tinggi tidak membiarkan organisasi pelajar bersendirian dan perlu membawa mereka ke
        arah yang betul untuk mencari kebenaran.

        Dr Yusof berkata, pihaknya bimbang jika keadaan tidak dikawal, pelajar akan menjadi mangsa
        pihak tertentu seperti pernah berlaku di negara lain yang akhirnya merugikan negara.

        Dalam majlis anjuran empat pertubuhan sukarela iaitu Balkis, Hawa Daerah Gombak, Yayasan
        Ikhlas dan Gerakan Belia 4B Daerah Gombak itu, 68 kanak-kanak dikumpul untuk dikhatankan
        manakala 14 kanak-kanak lagi berkhatam al- Quran.

        Dalam ucapan perasmiannya, Abu Hassan berkata, langkah mengadakan majlis berkhatan dan
        berkhatam Al Quran secara beramai-ramai itu menjimatkan perbelanjaan keluarga terutama ketika
        kegawatan ekonomi.



 
Pemuda Kelantan minta Zahid berundur

        KOTA BHARU, Ahad - Pemuda Umno Kelantan meminta Ketua Pergerakan Pemuda Umno,
        Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri secara terhormat, berikutan kegagalannya
        menunjukan komitmen dan sokongan padu terhadap pucuk pimpinan dan Presiden parti, Datuk Seri
        Dr Mahathir Mohamad menangani isu pelucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas yang turut dihadiri sembilan Ketua Pemuda Umno
        bahagian iaitu Machang, Peringat, Gua Musang, Tanah Merah, Pengkalan Chepa, Kuala Krai, Jeli,
        Tumpat dan Rantau Panjang yang diadakan di Kuala Lumpur, malam tadi.

        Tindakan itu diambil berikutan Pemuda Umno Kelantan tidak puas hati dan mempertikaikan
        kewibawaan sikap Ahmad Zahid yang berdiam diri tanpa menujukkan komitmen jelas untuk
        memberi sokongan kepada pucuk pimpinan parti menyelesaikan isu berkenaan.

        Jurucakap Pemuda Umno Kelantan yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno
        negeri, Ahmad Jazlan Yaacob berkata, sikap berdiam diri Ahmad Zahid boleh menimbulkan
        kekeliruan nyata di kalangan ahli Pemuda peringkat akar umbi, terutama di Kelantan yang
        berhadapan dengan Pas.

        Menurutnya, Pas sentiasa menunggu sesuatu isu yang boleh dijadikan modal politik untuk mereka
        berkempen bagi mempengaruhi pemikiran rakyat termasuk mengambil kesempatan isu pelucutan
        jawatan Anwar.

        Katanya, bagi Pemuda Umno Kelantan perkara itu amat serius dan sewajarnya pucuk pimpinan
        pergerakan itu menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Presiden parti kerana Pemuda
        selama ini disifatkan sebagai sayap kanan Umno.

        "Adalah perlu bagi Pergerakan Pemuda Umno pimpinan Ahmad Zahid bersama barisan Exconya
        membuat ketetapan dan pendirian terbuka serta jelas menyokong penuh pucuk pimpinan dan
        Presiden parti untuk menyelesaikan isu itu.

        "Sekiranya Ahmad Zahid tidak mampu untuk memikul tanggungjawab itu, adalah dinasihatkan
        supaya beliau secara terhormat mengundurkan diri daripada jawatan Ketua Pergerakan Pemuda
        Umno demi kebaikan dan perpaduan Pemuda dengan pucuk pimpinan parti," katanya dalam satu
        kenyataan, di sini hari ini.



 
Jangan bakar sentimen: Hamid

        KOTA TINGGI, Ahad - Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri
        Anwar Ibrahim diingatkan tidak terus membakar perasaan rakyat dan mengambil tindakan yang
        tidak berasaskan kebenaran.

        Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar, ketika memberi peringatan itu, berkata
        tindakan Anwar termasuk menggunakan agama untuk menafikan dakwaan yang dibuat terhadapnya
        serta mempersoalkan sistem keadilan yang pernah didukungnya dalam kerajaan, hanya akan
        mengelirukan rakyat.

        Sambil menyifatkan tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai 'tidak sayang kepada
        negara dan parti', beliau berkata, Anwar sepatutnya meletakkan kepentingan negara di depan dan
        membuktikan dengan hujah mencukupi di mahkamah untuk menangkis dakwaan terhadapnya.

        Menurutnya, pemecatan Anwar bukan perkara baru, malah sebelum ini, beberapa pemimpin
        termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah disingkir daripada parti.

        "Bila dia ambil tindakan itu...buat ucapan, apakah dia tidak sayang kepada negara dia dan Umno,
        parti yang telah mengambil dan meletakkan dia di suatu tempat yang begitu tinggi.

        "Anwar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dulu pun banyak mengambil tindakan termasuk
        menyingkir dan menggantung keahlian seseorang, tetapi apabila orang itu membuat rayuan, ada yang
        Majlis Tertinggi masukkan balik.

        "Ini masanya dia pula kena. Jadi dia kena tenang dan rela serta minta Tuhan berikan taufik dan
        hidayah supaya dia dapat melihat kepada perkara dan kedudukan yang ada sekarang.

        "Dia kena terima bahawa dia juga adalah seorang yang telah melaksanakan hukum dan keadilan,"
        katanya.

        Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat anjuran Biro
        Penerangan Umno Bahagian Kota Tinggi di Felda Air Tawar II di sini, hari ini.

        Mengulas lanjut tindakan kerajaan memecat Anwar, Syed Hamid yang juga Menteri Pertahanan,
        berkata tindakan itu dibuat berdasarkan fakta yang mencukupi.

        Menurutnya, soal penganiayaan tidak berbangkit kerana fakta yang ada bukan tersembunyi malah
        diketahui oleh umum.

        "Ia mempunyai implikasi dan kesan negatif kepada kesejahteraan kerajaan dan parti.

        "Sebab itu, kita kena mengambil tindakan cepat dan pantas untuk menentukan negara dan parti
        selamat bagi membolehkan kita melaksanakan dasar ekonomi yang dapat mengeluarkan kita
        daripada keadaan kegawatan ekonomi ini," katanya.

        "Kalau kita ada dua masalah, kegawatan ekonomi dan krisis keyakinan terhadap salah seorang
        pemimpin tertinggi negara, ia akan mempunyai kesan yang akan memudaratkan negara dan parti
        kita.

        "Bagaimana kita hendak jelaskan apabila kita menghadapi pilihanraya. Orang akan mempunyai
        kesangsian," katanya.



 
3 lagi Exco Pemuda bidas Zahid

        KUALA LUMPUR, Ahad - Tiga lagi anggota Exco Pemuda Umno menyatakan rasa kecewa
        terhadap ketua pergerakan itu, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan menyokong gerakan
        reformasi bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Mereka - Zulkifli Alwi, yang juga Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Zein Isma Ismail dan
        Mohd Supardi Md Noor - turut menyokong kenyataan beberapa ketua Pemuda negeri yang
        kecewa kerana Zahid belum memanggil mesyuarat Exco pergerakan itu untuk menetapkan pendirian
        berhubung pemecatan Anwar.

        "Kami kecewa dengan pembabitan Zahid, yang juga Pengerusi Pemuda BN dengan gerakan
        reformasi itu walaupun beliau telah menyatakan pendirian mewakili Pemuda BN untuk taat kepada
        kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam menangani masalah politik dan ekonomi
        negara," kata Zulkifli pada sidang akhbar yang turut dihadiri Zein Isma dan Supardi.

        Tiga anggota Exco itu menggesa Zahid meletak jawatan dan keluar daripada parti jika mahu
        membabitkan diri dalam gerakan reformasi itu.

        Mereka juga meminta Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Dr Rahim Ghouse dan Ketua Pemuda
        Umno Negeri Sembilan, Ruslan Kassim menyatakan pendirian mereka selepas dilaporkan turut
        berada bersama-sama Zahid serta penyokong Anwar.

        Zein Isma pula berkata, tindakan Zahid untuk terus menyokong Anwar menimbulkan tanda tanya
        kerana beliau turut menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang sebulat suara membuat
        keputusan memecat Anwar.

        Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Zaiyadi Awang Noh berkata, Pemuda Umno negeri
        menghormati keputusan MT memecat Anwar.

        "Kami berdiri teguh dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Dr Mahathir, yang juga
        Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan demi memastikan kestabilan parti, bagi menghadapi
        pilihan raya akan datang," katanya yang juga Exco Pemuda Umno, dalam satu kenyataan.

        Menurutnya, pendirian itu diputuskan dalam perjumpaan Ketua-ketua Pemuda Umno bahagian
        Kelantan selepas mereka menghadiri taklimat Umno Kelantan dengan Dr Mahathir di ibu negara
        semalam.

        Di ALOR STAR, Pemuda Umno Kedah kesal dengan tindak tanduk Ahmad Zahid dalam
        menangani isu pemecatan Anwar.

        Mesyuarat khas Pemuda Umno hari ini berpendapat, sejak Anwar dilucutkan jawatan Rabu lalu,
        Zahid gagal mengambil pendirian yang tetap bagi Pergerakan Pemuda Umno.

        Sehubungan itu, Pemuda Umno Kedah meminta Pergerakan Pemuda Umno mengadakan mesyuarat
        segera bagi mengelakkan Pemuda Umno negeri terkapai-kapai tanpa haluan.

        Resolusi itu diputuskan sebulat suara. Semua ketua bahagian hadir kecuali Ketua Pemuda Umno
        Sik, Hamlan Din.

        Keputusan itu dibacakan Naib Ketua Pemuda negeri yang juga Ketua Pemuda Bahagian Baling,
        Wahab Din, disaksikan Ketua Pemuda Umno negeri, Abdul Halim Said dan semua Ketua Pemuda
        Bahagian lain.



 
Kesalahan bekas TPM mungkin terlalu serius

        KOTA BHARU, Ahad - Badan Perhubungan Umno Kelantan menyifatkan pemecatan bekas
        Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno mungkin beliau ada
        melakukan sesuatu kesalahan yang amat serius.

        Timbalan Pengerusinya, Datuk Annuar Musa berkata, berdasarkan dakwaan terhadap beliau
        (Anwar), parti perlu membuat pertimbangan sewajarnya bagi menjaga keutuhan parti selain mengikut
        prosedur undang-undang dan keputusan yang ditentukan mahkamah.

        "Dalam soal ini (dakwaan terhadap Anwar) adalah sesuatu yang amat serius sehingga menyebabkan
        parti terpaksa mengambil tindakan memecatnya daripada parti.

        "Majlis Tertinggi (MT) sebagai badan tertinggi parti membuat keputusan itu sudah pasti mempunyai
        alasan yang kukuh," katanya selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN)
        Parlimen Peringat yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin, di Kem
        Pusat Ukhuwah Tarbiah dan Riadah Rakyat (Putra), di Kampung Chengal, dekat sini hari ini.

        Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemecatan Anwar daripada Umno dan
        kedudukannya dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        Selain pemecatan itu, satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa
        Anwar melakukan hubungan seks dengan wanita pelbagai bangsa dan cuba memikat isteri orang.

        Selain itu, beliau juga didakwa menerima RM60 juta daripada Pengarah Eksekutif Perhubungan
        Awam Magnum Corporation Berhad, Datuk Nallakaruppan Solaimalai, ketika pilihan raya umum
        1995.

        Anwar dipecat daripada Umno menerusi keputusan sebulat suara MT Umno, dalam satu mesyuarat
        khas malam Sabtu lalu.

        Annuar berkata, Umno Kelantan menyokong keputusan MT sebagai badan tertinggi parti dan tetap
        berdiri teguh di belakang Presiden parti, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam menangani isu
        berkenaan.

        Menurutnya, seluruh ahli Umno di Kelantan harus menerima kenyataan ini dengan tenang dan
        matang.

        "Ahli Umno Kelantan pasti menaruh keyakinan penuh terhadap keputusan yang dibuat MT dan
        berdiri teguh di belakang Presiden parti.

        "Apa yang penting kita (ahli Umno) tidak boleh utamakan kepentingan peribadi tetapi keutuhan parti
        agar terus kukuh," katanya.

        Sementara itu, berucap pada majlis itu, beliau berkata, Umno sudah melalui pelbagai liku perjuangan
        pahit manis termasuk pernah kehilangan Presiden parti, Naib Presiden dan Ketua Pemuda kerana
        pelbagai sebab termasuk mereka yang mengikut haluan sendiri membabitkan rasa tidak puas hati.

        Katanya, pada masa sama juga sejarah turut membuktikan Umno sebuah parti yang sentiasa
        mendokong dan menegakkan keadilan demi keutuhan parti yang menjadi payung perjuangan orang
        Melayu di negara ini.
 



 
Megat Junid hurai surat Anwar

        IPOH, Ahad - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob, berkata
        beliau tidak akan mengambil tindakan mahkamah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk
        Seri Anwar Ibrahim kerana membabitkan namanya dalam konspirasi politik seperti yang tersiar
        dalam Internet.

        Menurutnya, beliau sudah bertemu dan mengadakan perbincangan terperinci dengan Anwar
        berhubung perkara itu, malah Anwar di dalam suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad juga memaklumkan penafiannya.

        "Malah Anwar dalam suratnya kepada Perdana Menteri turut menyatakan bahawa saya sudah
        menafikan dakwaan itu, dan surat itu turut dikepilkan bersama surat Anwar kepada Perdana
        Menteri.

        "Dia (Anwar) kata saya tidak terbabit," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
        merasmikan penutupan Konvensyen Pemimpin Jualan Langsung (Bumiputera) Malaysia di sini, hari
        ini.

        Beliau ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar kerana
        menyiarkan suratnya kepada Dr Mahathir dalam Internet yang mengaitkan namanya dan Menteri
        Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin dan Setiausaha Politik Dr Mahathir, Datuk Aziz
        Shamsuddin, kerana didakwa terbabit dalam konspirasi menjatuhkan Anwar.

        Ketika diajukan soalan itu kepadanya beliau berkata, "Tak ada, saya tak sebusuk itu,".

        Anwar dalam dua surat rahsia dan peribadinya bertarikh 25 dan 28 Ogos kepada Dr Mahathir
        mengaitkan nama Megat Junid, Daim dan Aziz dalam konspirasi itu.

        Dakwaan itu turut tersiar dalam Internet yang dipetik dari akhbar Harian Kompas bertarikh 3
        September yang memetik seorang Ketua Pemuda Umno di Kelantan yang turut mengaitkan nama
        Megat Junid dan Daim dalam konspirasi itu.

        Ditanya mengapa Anwar terus bertindak demikian walaupun penafian dibuat, Megat Junid berkata:

        "Itu adalah sejarah (berdasarkan kisah lama), itu saja. Saya tidak mempunyai komen apa-apa,"
        katanya.



 
Pemuda PP pertahan Zahid

        BUTTERWORTH, Ahad - Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang menyifatkan saranan yang
        dibuat oleh Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan supaya Ketua Pemuda Umno, Datuk
        Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri daripada arena politik, sebagai perbuatan yang tidak
        bertanggungjawab dan melanggar etika parti.

        Ketuanya, Dr Abdul Rahim Ghouse, berkata Zahid sepatutnya diberi peluang untuk memberi
        penjelasan berhubung isu itu terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil.

        "Dalam suasana kegawatan ekonomi dan politik sekarang dengan bekas Timbalan Perdana Menteri,
        Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiyai, kita semua perlu berfikir secara rasional supaya keadaan tidak
        bertambah buruk.

        "Dari segi itu, Zahid mungkin memerlukan maklumat yang lebih terperinci sebelum mengambil
        sebarang ketetapan dan kita perlu memberikan beliau peluang berbuat demikian," katanya ketika
        dihubungi di sini, hari ini.

        Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Abdul
        Azim Mohd Zabidi supaya Zahid mengundurkan diri kerana gagal menetapkan pendirian berhubung
        tindakan kerajaan memecat Anwar.

        Keputusan itu dicapai sebulat suara pada satu mesyuarat yang dihadiri oleh semua ketua Pemuda
        bahagian Wilayah persekutuan.

        Menurut Azim, tindak-tanduk dan sikap Zahid meragukan serta tidak menunjukkan pendirian yang
        tegas sejak Anwar dilucutkan semua jawatan di dalam kerajaan dan parti.

        Sehubungan itu, Pemuda Umno Pulau Pinang mendesak agar tugas serta jawatan Anwar dalam parti
        dan kerajaan dikembalikan padanya.

        "Beliau kini masih belum didakwa dan memang wajarlah agar jawatan dalam kerajaan dan parti
        dikembalikan padanya," katanya.

        Beliau juga memberi jaminan Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang menyokong penuh
        kepimpinan Zahid dan tidak akan tunduk dengan desakan dari mana-mana pihak supaya beliau
        mengundurkan diri.
 



 
Pas sedia terima Anwar

        PASIR MAS, Ahad - Pas sedia menerima mana-mana pihak yang ingin menyertai parti itu bagi
        meneruskan cita-cita reformasi menerusi dasar perjuangan Islam, kata Mursyidul Am Pas, Datuk
        Nik Abdul Aziz Nik Mat.

        Beliau berkata, pada umumnya Pas tidak menyekat sesiapa saja termasuk bekas Timbalan Perdana
        Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim, jika berhasrat menyertai parti itu.

        Malah, katanya, Pas sudah lama mengamalkan dasar pintu terbuka kepada sesiapa mahu bersama
        meneruskan perjuangan, asalkan mengikut prosedur parti.

        "Alhamdulillah, kalau ada orang nak masuk. Kita dah lama buka kedai... Selama ini orang tak nak
        beli.

        "Sekarang dah nampak barang yang kita jual ini barang asli, bukan barang tipu, menyebabkan ramai
        pelanggan baru," katanya selepas mendengar taklimat pembangunan Jajahan Pasir Mas di Bilik
        Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan itu, di sini hari ini.

        Taklimat sempena lawatan beliau sehari ke jajahan itu disampaikan Ketua Jajahan, Abdul Halim
        Ahmad.

        Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan sentiasa mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin bersama
        dalam gerakannya.

        Bagaimanapun, beliau mengingatkan mereka terbabit supaya tidak meniru tindak tanduk bekas
        pemimpin Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang pernah berpecah dengan Pas selepas
        bersekongkol dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

        Ditanya mengenai kenyataan Anwar yang mengajak parti pembangkang menyertainya menubuhkan
        sebuah organisasi bagi melancarkan gerakan reformasi di negara ini, Nik Abdul Aziz berkata:

        "Gerakan reformasi tidak perlu wujud di negara ini kerana gerakan Islam yang diamalkan parti itu
        sendiri adalah suatu bentuk reformasi.

        "Usaha meninggalkan fahaman jahiliah dan kembali kepada ajaran Islam sebenar adalah suatu
        bentuk reformasi yang dituntut oleh agama," katanya.

        Menurutnya, Pas sudah membentuk reformasinya sendiri sejak awal lagi, tanpa perlu kepada
        gerakan reformasi baru yang dianjurkan pihak lain di negara ini.

        "Di Malaysia, Pas sendiri sebagai pemimpin gerakan reformasi. Kalau ada orang lain nak buat
        reformasi baru, terserahlah kepada mereka," katanya.



 
Wanita gesa ahli Umno tidak gawatkan keadaan

        KUANTAN, Ahad - Pergerakan Wanita Umno menggesa ahli parti tidak melakukan sesuatu yang
        boleh mendatangkan masalah kepada Umno berhubung pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
        daripada kerajaan dan Umno.

        Ketuanya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, berkata mereka perlu memahami bahawa kestabilan
        politik negara ini berasaskan kepada kestabilan parti itu.

        Oleh itu, beliau berkata, Wanita Umno bertekad untuk terus memberi perkhidmatan demi
        kepentingan parti.

        "Kita juga tetap dengan pendirian menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MT) memecat Datuk Seri
        Anwar Ibrahim daripada Umno," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta larian baton
        Kuala Lumpur `98 di Sekolah Menengah Paya Besar, di sini, hari ini.

        Mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Abdul Azim Mohd Zabidi yang
        meminta Datuk Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno, Zaharah
        berkata, perkara terbabit adalah hal ehwal Pemuda.

        Abdul Azim juga kesal kerana Zahid gagal menunjukkan pendirian yang tegas dalam isu pemecatan
        Anwar.

        Zaharah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, meminta Anwar memikirkan semula hasratnya
        untuk menjelajah seluruh negara bagi memberi penjelasan berhubung kesnya.

        Katanya, ini kerana tindakan itu boleh memberi peluang kepada gejala tidak sihat untuk menganggu
        kestabilan dan keselamatan negara.

        "Saya merasakan tidak patut diadakan kerana semua orang perlu mengutamakan kepentingan
        negara," katanya.

        Beliau berkata, usaha menambahkan kekeruhan kepada keadaan sekarang sepatutnya dihentikan.


BALIK