Make your own free website on Tripod.com

Berita Harian
Selasa 8 September 1998  17 Jamadilawal 1419

Najib minta polis, IPTA awasi pelajar

KUALA TERENGGANU, Isnin - Kementerian Pendidikan hari ini meminta polis dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) supaya memantau sebarang perkembangan pelajar, sama ada di dalam atau luar kampus.

 Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata pelajar tidak seharusnya melakukan sesuatu yang boleh mengancam kestabilan politik negara.

 Menurutnya, mereka tidak seharusnya melanggar undang-undang negara termasuk Akta Kolej dan Universiti.

Beliau mengulas laporan segelintir pelajar IPTA mengedarkan risalah berhubung pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan Umno.

 Najib berkata, pelajar seharusnya sentiasa menunjukkan tata susila yang sopan dalam apa jua keadaan serta berhati-hati daripada digunakan pihak tertentu sehingga boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram.

 Malaysia, katanya, tidak boleh disamakan dengan Indonesia dan negara lain kerana keadaan negara ini amat stabil serta mempunyai kerajaan yang komited terhadap pembangunan.

 Sehingga ini, beliau berpuas hati kerana tidak ada kejadian yang diingini berlaku di dalam dan luar kampus yang boleh menimbulkan keadaan yang tidak stabil.

 Beliau berkata, walaupun pelajar boleh berbincang soal pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka tidak seharsunya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan dasar negara.

 "Kita tidak bermaksud mengongkong pelajar daripada mengikuti perkembangan politik tetapi tindakan akan menjadi salah jika mereka membuat sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara dan Akta Kolej dan Universiti.

 "Tindakan mengadakan perhimpunan tidak mendapat kebenaran, tunjuk perasaan, melakukan agihan dokumen dan risalah yang boleh dikaitkan dengan Akta Kolej dan Universiti adalah tidak dibenarkan," katanya.

 Najib berkata, kementerian akan bekerjasama dengan polis bagi mengawasi kegiatan pelajar di luar kampus.

 Mengenai pelajar Malaysia di luar negara yang melanggar undang-undang berkenaan, beliau berkata ia bergantung kepada undang-undang di negara berkenaan dan penaja mereka.


Zahid diminta nyata pendirian

                Ketua Pemuda Sabah, Jema Khan Abdul Majid, bersama barisan exconya di
                sidang akhbar semalam.

        KUALA LUMPUR, Isnin - Pelbagai lapisan pemimpin Umno hari ini mendesak Ketua Pergerakan
        Pemuda, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pendiriannya berhubung pemecatan Datuk Seri
        Anwar Ibrahim bagi mengelak kekeliruan di kalangan ahli parti.

        Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Abu Hassan Omar, meminta Zahid menjelaskan
        pendiriannya bagi membolehkan Pemuda Umno negeri menentukan pendirian masing-masing.

        Beliau berkata, Zahid perlu menjelaskan pendiriannya bagi menggelak kekeliruan di kalangan
        Pemuda Umno negeri yang sekarang mempertikaikan sikapnya.

        Di Melaka, ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Mohd Ali Rustam, berkata parti perlu mengambil
        tindakan disiplin terhadap Zahid yang terus menghadiri majlis Anwar.

        Menurutnya, tindakan Zahid yang terus menemui Anwar dan bercakap mengenai gerakan reformasi
        bertentangan dengan kehendak parti.

        "Selaku Ketua Pemuda dan juga Naib Presiden Umno, perbuatan Zahid seolah-olah
        membelakangkan keputusan MT yang sebulat suara memecat Anwar daripada Umno.

        "Zahid sepatutnya tidak menghadiri majlis Anwar walaupun kehadirannya adalah dasar peribadi,"
        katanya selepas taklimat mengenai isu pemecatan Anwar oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar
        Isnin.

        Sementara itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Nazari Adzim, berkata pihaknya menyerahkan kepada
        budi bicara Zahid sama ada mahu melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda
        Umno ataupun tidak.

        "Pemimpin sentiasa silih berganti tetapi apa yang lebih diutamakan ialah perjuangan parti untuk
        membela agama, bangsa dan negara akan dapat diteruskan," katanya.

        Di Kota Kinabalu, Pemuda Umno Sabah menggesa pemimpin Umno yang tidak mahu
        mempertahankan keputusan MT berhubung Anwar, agar meletak jawatan.

        Pergerakan itu juga memohon Ahmad Zahid mengundurkan diri sebagai Ketua Pemuda Umno
        secara terhormat.

        Ketuanya, Jema Khan Abdul Majid, berkata pergerakan itu juga berpendapat pemimpin Umno yang
        dilihat masih kelihatan bersama Anwar harus dikenakan tindakan disiplin kerana ia umpama tidak
        mengiktiraf keputusan MT.

        Di Kuala Lipis, Ahmad Zahid diminta segera memanggil mesyuarat Exco bagi memperjelaskan
        pendiriannya berhubung kes pemecatan Anwar.

        Ketua Pemuda Umno bahagian Lipis, Abdul Fattah Abdullah, berkata ini kerana beberapa Ketua
        Pemuda Umno negeri kini mula membangkitkan keraguan mengenai pendirian Ahmad Zahid.

        "Tindakannya berdiam diri boleh menimbulkan salah faham di kalangan Pemuda sehingga boleh
        mengakibatkan berlaku perpecahan yang serius," katanya.

        Ketua Pemuda Umno Bahagian Cheras, Mahadi Shukor, mendesak Ketua Pemuda Negeri
        Sembilan, Ruslan Kassim dan Ketua Pemuda Pulau Pinang, Abdul Rahim Ghouse segera berundur
        dari Umno jika masih mahu memperjuangkan gerakan reformasi di negara ini.

        Beliau berkata, Pemuda Cheras memandang berat kenyataan dan pembabitan dua pemimpin itu
        bersama-sama Anwar yang kini giat merencanakan gerakan reformasi ke seluruh negara.

        "Hakikatnya sekarang, Anwar bukan lagi ahli Umno dan bagi Ruslan serta Rahim, mereka melanggar
        etika parti dengan menyokong gerakan yang diketuai orang luar," katanya dalam satu kenyataan di
        sini.

        Di Kota Bharu, desakan supaya Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya kerana didakwa gagal
        menunjukkan pendirian tegas berhubung isu pemecatan Anwar adalah tidak adil dan drastik.

        Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, Zaiyadi Awang Noh, berkata tindakan sesetengah
        pemimpin Pemuda di peringkat negeri mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu adalah
        keterlaluan.

        Menurutnya, sebagai pemimpin politik yang dipilih oleh ahli parti, beliau (Zahid) tidak sepatutnya
        meletakkan jawatan atas desakan pihak tertentu dalam parti.

        "Mereka hanya boleh meminta supaya Ketua Pemuda itu membuat kenyataan supaya menyatakan
        pendirian sebenar Pemuda dalam isu itu," katanya di sini, hari ini.


Zahid tiada hasrat letak jawatan

        KUALA LUMPUR, Isnin - Ketua Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang didesak oleh
        sebahagian besar pemimpin pergerakan itu menyatakan pendiriannya ekoran pemecatan Datuk Seri
        Anwar Ibrahim, mengulangi kenyataannya sebelum ini.

        Dalam kenyataan petang ini, Zahid berkata: "Saya ingin mengulangi pendirian Pemuda Umno seperti
        yang dipersetujui pada mesyuarat Pemuda Barisan Nasional BN) pada 2 September lalu bahawa
        kita tetap berdiri teguh di belakang kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai
        Perdana Menteri dan Presiden Umno.

        Zahid berkata, beliau belum berhasrat meletakkan jawatan kerana tidak mempunyai sebab kukuh
        berbuat demikian.

        "Jawatan itu dipilih padsa Perhimpunan Perwakilan Agung Tahunan Pemuda Umno pada 9 Oktober
        1996.

        "Hanya perwakilan yang akan menentukan kedudukan saya yang dipilih secara demokratik,"
        katanya.

        Menurutnya, beliau amat memahami dan menghargai pandangan kalangan kepemimpinan Pemuda
        Umno jika mereka berasa keliru selama ini.

        Mengenai kehadirannya di rumah Anwar, Zahid berkata ia adalah sebagai tanda simpati terhadap
        keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.

        "Ia tidak harus dilihat dari sudut lain kerana pendirian Pemuda sudah jelas seperti yang dicapai pada
        mesyuarat Pemuda BN itu," katanya.


Risalah bukan penyelesaian

        KUALA TERENGGANU, Isnin - Penyebaran risalah bagi membela seseorang bukan satu
        penyelesaian bahkan merugikan semua pihak dan menjatuhkan imej Islam sendiri.

        Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Dr Yusof Nor, berkata, agama bukan digunakan sebagai
        saluran menyatakan rasa tidak puas hati seseorang tetapi sebagai tempat membentuk perdamaian,
        membina kejayaan dan membela maruah.

        Mengulas mengenai penggunaan masjid oleh pihak tertentu untuk membela bekas Timbalan Perdana
        Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, kalau pihak terbabit dibiar menggunakan masjid
        atau surau mungkin esok institusi awam lain seperti sekolah dan universiti digunakan.

        "Berdasarkan perkembangan yang berlaku dalam negara beberapa hari ini saya bimbang ada pihak
        ketiga, terutama pihak asing mengambil peluang menimbulkan keadaan kurang senang dalam negara.

        "Keadaan negara yang menghadapi KL '98 akan dijadikan sasaran bagi menimbulkan huru-hara
        dalam negara supaya ditonton oleh tetamu dari negara peserta dan pelawat," katanya.

        Beliau berkata, negara tidak rela pihak ketiga mengambil kesempatan dengan penyebaran maklumat
        dan surat kepada orang ramai yang boleh menimbulkan keadaan kurang sedang dalam negara.

        Katanya, rakyat perlu membina perpaduan dan semangat kerjasama untuk berhadapan dengan
        masalah ekonomi dan politik yang sedang melanda negara sekarang.

        "Ini adalah ujian dan cabaran besar kepada seluruh rakyat Malaysia yang sepatutnya terus bersama
        kerajaan untuk menenangkan keadaan dan tidak memainkan emosi ketika negara menghadapi
        pelbagai masalah," katanya.


Menteri, MB sokong pelantikan Mustapa

        KUALA TERENGGANU, Isnin - Pelantikan Datuk Mustapa Mohamed sebagai Menteri
        Kewangan Kedua adalah langkah tepat dalam usaha membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad, untuk memulihkan ekonomi negara.

        Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata, dengan pengalamannya yang luas dalam
        bidang ekonomi, beliau diharap dapat memainkan fungsinya dengan baik.

        Menurutnya, pelantikan itu juga menunjukkan keseriusan Dr Mahathir menangani kegawatan
        ekonomi dan beliau amat memerlukan sokongan padu daripada tokoh berwibawa seperi Mustapa.

        Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Kementerian Pendidikan dan Exco Pendidikan
        Negeri di sini, beliau yakin Mustapa dapat memainkan peranan aktif dalam usaha itu.

        Dr Mahathir hari ini mengumumkan pelantikan Mustapa sebagai Menteri Kewangan Kedua,
        manakala beliau sendiri akan memikul tanggungjawab Menteri Kewangan Pertama berkuatkuasa
        serta-merta.

        Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata, beliau menyokong
        pelantikan itu dan menganggapnya hak Perdana Menteri.

        Beliau percaya Dr Mahathir mempunyai kayu ukur yang jelas dalam membuat pelantikan itu dan
        percaya Mustapa mampu memikul beban tanggungjawab berkenaan.

        "Perdana Menteri mempunyai alasan wajar dalam soal pelantikan Mustapa dan saya percaya
        kerjasama antara mereka, pemimpin lain dan rakyat akan membuahkan hasil dalam menangani
        kemelut ekonomi negara sekarang," katanya.

        Di IPOH, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, yakin Mustapa mampu menjalankan
        tugasnya dengan berkesan berdasarkan latar belakang dan pengalamannya luas dalam bidang
        ekonomi.

        "Beliau memang mempunyai latar belakang dalam bidang ekonomi dan pernah menjadi Timbalan
        Menteri Kewangan.

        "Oleh itu, saya yakin beliau mampu menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan," katanya.

        Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob, berkata pengwujudan dua
        jawatan Menteri Kewangan itu bersesuaian dengan keadaan semasa.

        Menurut Mohd Khalid, langkah itu juga bersesuaian dengan tokoh yang diamanahkan menduduki
        jawatan berkenaan kerana beliau seorang yang sangat teliti dalam pengendalian urusan kerjanya.

        Dengan mengambil kira Mustapa pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan, katanya, beliau
        boleh menjadi aset penting dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan II.

        Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar, berkata pelantikan itu tidak
        mengejutkan kerana sebelum ini Mustapa pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan.

        "Saya ucapkan tahniah kepada Mustapa dan kerajaan Selangor akan memberi kerjasama penuh
        dalam segala usaha untuk pembangunan negeri dan negara," katanya selepas merasmikan pameran
        Imajan Sukan sempena Festival Kebudayaan Kuala Lumpur'`98 -Sukan Komanwel XVI di Galeri
        Shah Alam, di sini hari ini.

        Abu Hassan berkata, pelantikan ini adalah pendekatan bijak.

        "Ini kerana Perdana Menteri masih mengekalkan jawatannya di Kementerian Kewangan apabila
        menjadi Menteri Kewangan I.

        "Saya percaya langkah Perdana Menteri ini selain memulihkan ekonomi negara juga untuk
        mengambil tahu masalah di kementerian itu," katanya.

        Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Mohd Ali Rustam, menyifatkan pelantikan Mustapa sebagai
        tepat berdasarkan pengalamannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan sebelum ini.


Johor desak Zahid serah tugas kepada Hishamuddin

        BATU PAHAT, Isnin - Pergerakan Pemuda Umno Johor petang ini meminta Datuk Ahmad Zahid
        Hamidi menyerahkan tugasnya sebagai Ketua Pemuda kepada naib ketua pergerakan itu, Datuk
        Hishamuddin Tun Hussein dan barisan Exconya.

        Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas Pemuda Umno negeri di sini atas dasar Zahid gagal
        melaksanakan tugasnya dalam isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno.

        Mesyuarat yang dihadiri semua 20 ketua Pemuda Umno bahagian itu dipengerusikan Ketua Pemuda
        Umno negeri, Hasni Mohamad, khusus membincangkan isu berkenaan dan kedudukan Zahid.

        Hasni berkata, Pemuda Umno negeri membuat pendirian itu selepas mendapati Zahid tidak
        menterjemahkan keputusan Majlis Tertingi (MT) memecat Anwar dalam bentuk arahan.

        "Menyedari Zahid sudah bersetuju pada mesyuarat MT yang memutuskan pemecatan Anwar, tetapi
        tidak diterjemahkan kepada arahan, maka beliau gagal sebagai Ketua Pemuda Umno.

        "Kmi secara bersama mengambil ketetapan meminta Ketua Pemuda Umno yang dari kaca mata
        Pemuda Umno Johor gagal jalankan tugas berdasarkan prinsip parti supaya menyerahkan tugas itu
        kepada Naib Ketua Pemuda dan Exco yang bersedia jalankan tanggungjawab itu," katanya.

        Hasni menjelaskan, Pemuda Umno negeri membuat penilaian itu berasaskan penjelasan Presiden
        Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa pemecatan Anwar diputuskan sebulat suara oleh
        MT.

        "Ini bermakna keputusan itu dibuat sebulat suara termasuk Zahid.

        "Jadi, memikirkan isu ini memerlukan keutamaan, kita rasa Ketua Pemuda telah gagal apabila tidak
        mengeluarkan sebarang arahan," katanya.

        Sebelum ini, dua pergerakan pemuda Umno negeri, Wilayah Persekutuan dan Kelantan sudah
        membuat keputusan agar Zahid berundur secara terhormat daripada jawatannya.

        Hasni ditanya sama ada Pemuda Umno Johor meminta Zahid meletakkan jawatan, berkata:" Kami
        tidak boleh berbuat demikian kerana Ketua Pemuda dipilih melalui perhimpunan agung.

        "Saya rasa Pemuda Umno memahami hasrat kami."

        Mesyuarat khas itu turut memutuskan tindakan tegas diambil terhadap Exco pergerakan itu yang
        gagal atau ingkar menjalankan arahan berkenaan.



Dr Affifuddin tidak boleh pangku jawatan: Sabbaruddin

        KUALA LUMPUR, Isnin - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Affifuddin Omar, tidak boleh
        memangku jawatan Menteri Kewangan kerana negara mengamalkan sistem pentadbiran yang tidak
        membenarkan jawatan itu dipangku oleh seorang timbalan menteri dalam portfolio yang sama.

        Sambil menyambut baik pelantikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed
        sebagai Menteri Kewangan Kedua, Setiausaha Agung Umno, Datuk Sabbaruddin Chik berkata,
        jawatan menteri hanya boleh dipangku oleh tokoh setaraf dengannya.

        "Dalam sistem kita, timbalan menteri tidak boleh memangku jawatan menteri.

        "Katalah seorang menteri tidak ada, timbalannya tidak boleh memangku jawatan itu.

        "Jawatan itu perlu dipangku menteri lain," katanya selepas melancarkan buku Panduan Kuala
        Lumpur Dan Lembah Klang terbitan Kumpulan Sime Darby Berhad, di sini hari ini.

        Buku itu diterbitkan sempena penganjuran Kuala Lumpur '98-Sukan Komanwel XVI (KL'98)
        minggu depan.

        Ia juga memperkenalkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan menarik.

        Ditanya mengapa negara memerlukan ramai menteri menangani soal kewangan, termasuk Menteri
        Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin dan Timbalan Menteri Kewangan sekarang, beliau berkata:

        "Itu saya tidak tahu, mengapa tidak boleh? Di tempat lain pernah ada."

        Sabbaruddin berkata Mustapa adalah tokoh paling layak menduduki jawatan Menteri Kewangan
        Kedua berdasarkan pengalaman dan kelayakan akademiknya.

        "Pelantikan itu amat sesuai. Mustapa pernah menjadi pegawai di Kementerian Kewangan dan
        Setiausaha Politik kepada Daim.

        "Sudah tentu beliau layak menduduki jawatan itu," katanya.

        Sementara iut, mengulas mengenai gesaan supaya Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Ahmad
        Zahid Hamidi berundur daripada jawatan yang disandangnya, beliau berkata:

        "Itu soal dialah....tak boleh saya, tak reti saya. Terpulanglah kepada dia."

        Sabbaruddin berkata, MT tidak pernah membincangkan kedudukan Ahmad Zahid, malah tidak ada
        aduan diterima daripada mana-mana bahagian yang menggesa pemimpin itu meletak jawatan.

        "Saya tidak jumpa lagi surat yang membawa maksud menyuruh Ahmad Zahid berhenti..belum ada
        lagi," katanya.

        Mengenai pertemuan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersama ketua
        perhubungan negeri dan wakil bahagian yang dijangka berlangsung esok, beliau berkata ia dijangka
        dihadiri lebih 1,000 orang.

        "Bagaimanapun, saya tidak tahu apa yang akan disampaikan oleh Presiden dan bagaimana sesi itu
        akan dikendalikan," katanya.


Marina keluar Umno

        KUALA LUMPUR, Isnin - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Marina Yusoff, mengisytiharkan
        keluar daripada Umno hari ini kerana kesal dengan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri,
        Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada parti dan kerajaan.

        Marina, 57, wanita Melayu yang kedua mendapat ijazah undang-undang di negara ini dalam
        kenyataannya, menyifatkan tindakan itu 'zalim kerana tidak mengikut proses keadilan dan
        Perlembagaan Umno serta hak asasi manusia.'

        Beliau yang juga bekas pemimpin wanita Semangat 46, menceburi politik sejak 1962 sebagai ahli
        Umno, menyertai Semangat 46 pada 1980 dan kembali menyertai Umno pada 1992.


Anwar nafi pakatan dengan pembangkang

                Anwar menerima kunjungan aktivis NGO, Fan Yew Teng di
                kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

        KUALA LUMPUR, Isnin - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh
        keyakinan penuh terhadap Umno sebagai parti politik yang menjadi tunjang keamanan serta dapat
        menilai dan memberi pertimbangan adil terhadap dirinya.

        Menurutnya, beliau tidak pernah mengadakan sebarang pakatan dengan parti pembangkang
        walaupun pernah menemui mereka.

        "Benar saya ada menemui Presiden Pas, Ustaz Fadzil Noor, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang
        dan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Husin Ali.

        "Saya masih percaya Umno dapat menilai dan mampu memberi pertimbangan adil. Saya tidak
        terbabit dalam mempertikaikan peranan Umno menstabilkan politik negara ini," katanya kepada
        pemberita di kediamannya, petang ini.

        Mengenai adik angkatnya, Sukma Darmawan yang ditahan polis semalam, Anwar berkata, sehingga
        kini beliau tidak diberi penjelasan oleh mana-mana pihak.

        "Saya tidak tahu di mana dia berada... apa sebab dia ditahan. Kita tidak terima apa-apa maklumat.

        "Lebih dua minggu lalu, dia (Sukma) ada dipanggil untuk disoal siasat dan ibu bapanya merayu untuk
        bertemu Perdana Menteri tetapi saya larang.

        "Saya minta urusan itu diserahkan kepada saya," katanya.

        Beliau meminta pihak tertentu tidak mengganggu keluarganya dan mengulangi kesediaannya untuk
        ditahan.

        "Kalau nak tahan saya, soal saya... saya sedia," katanya.

        Ditanya mengenai perkembangan terkini, Anwar berkata beliau mendapat maklumat Pengarah
        Eksekutif Perhubungan Awam Magnum Corporation Bhd, Datuk S Nallakaruppan menafikan
        afidavit polis dan dipaksa menandatangani tiga fail yang disediakan.

        "Saya agak ia membabitkan saya dengan perempuan yang berkenaan.

        "Saya harap bila ada penafian oleh Nalla, ia akan dimuatkan dalam media tempatan," katanya.

        Anwar berkata, beliau tidak pernah meminta sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar
        universiti atau parti politik untuk menjelaskan hal sebenar mengenai dirinya.


Umno Johor awasi bahagian

        JOHOR BAHRU, Isnin - Badan Perhubungan Umno Johor mula melaksanakan sistem pemantauan
        di semua 20 bahagian di negeri ini bagi memastikan keutuhan di kalangan ahli masih terpelihara.

        Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pemantauan menyeluruh itu perlu dilakukan bagi
        memastikan ahli parti tidak terkeliru terhadap isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada
        Kabinet dan Umno.

        Beliau berkata, melalui pemantauan itu, Badan Perhubungan Umno akan melihat dulu mana-mana
        bahagian, cawangan atau ahlinya di negeri ini yang memberi sokongan terhadap bekas Timbalan
        Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu sebelum menyerahkan laporan lengkap kepada
        Jawatankuasa Disiplin Majlis Tertinggi (MT) untuk tindakan susulan.

        Menurutnya, Umno Johor tidak mahu ahli parti berpecah belah akibat mendengar pelbagai andaian
        yang boleh merosakkan perpaduan dan keutuhan yang dibina selama ini.

        "Perlu diingatkan Johor adalah kubu terkuat parti Umno. Oleh itu, jangan rosakkan benteng kuat ini
        begitu mudah.

        "Buat masa ini, semua ahli diingatkan supaya menunggu dan melihat dulu setiap perkembangan dari
        semasa ke semasa dan jangan terpengaruh oleh pihak tertentu.

        "Pucuk pimpinan tahu apa yang dilakukan demi kebaikan ahli, parti serta negara," katanya kepada
        pemberita selepas merasmikan seminar sehari Forum Perniagaan Johor-Queensland mengenai
        peluang perniagaan di sini, hari ini.

        Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor mengulas tindakan empat pertubuhan Islam membentuk
        apa yang dinamakan 'Gerakan Reformasi' bagi membangkitkan kesedaran umum mengenai
        'ketidakadilan' terhadap Anwar.

        Empat pertubuhan Islam itu ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah Malaysia
        (JIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains Islam Malaysia
        (Asasi).

        Sehubungan itu, Abdul Ghani berkata, beliau bersama pemimpin lain akan pergi di setiap Bahagian
        Umno untuk memperjelaskan isu berhubung pemecatan Anwar.

        "Dari peringkat bahagian pula, pemimpin pada lapisan itu akan melaksanakan perkara yang sama
        menerangkan isu itu di peringkat cawangan dan seterusnya.

        "Seboleh-bolehnya Umno Johor mahu semua orang berfikiran terbuka dan memahami perkara
        sekeliling yang berlaku sekarang ini," katanya.

        Serentak itu, Abdul Ghani sekali lagi mengulangi pendirian Umno Johor yang menyokong setiap
        tindakan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung
        isu itu.

        "Kita berpendapat inilah masa paling tepat untuk memperkukuhkan Umno kerana sudah ada unsur
        perpecahan.

        "Ahli Umno perlu berwaspada terhadap setiap tindakan masing-masing bagi mengelak pihak asing
        terutama golongan media menggunakan sesuatu isu sebagai senjata untuk mengecam negara pada
        masa ini," katanya.
 


Anwar kena reformasi diri dulu

        MELAKA, Isnin - Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri
        Anwar Ibrahim, sepatutnya berusaha 'membersihkan' dirinya daripada masalah peribadi dan bukan
        mengajak penyokong beliau mewujudkan Gerakan Reformasi.

        Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata adalah tidak wajar
        Anwar menggunakan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang supaya menyertai
        gerakan berkenaan.

        Beliau berkata, sebagai bekas pemimpin yang berpengalaman, Anwar sepatutnya menyelesaikan
        'kegawatan peribadinya' daripada cuba mengalihkan tumpuan masyarakat dengan menggesa
        diadakan reformasi dalam kerajaan.

        "Anwar perlu terlebih dulu menafikan segala dakwaan yang dibuat terhadapnya kerana jika segala
        dakwaan itu didapati benar, ia akan menjatuhkan lagi imejnya di kalangan penyokong," katanya di
        sini, hari ini.

        Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian tilawah al-Quran, pertandingan nasyid dan
        syarahan anak yatim (Peyatim) peringkat kebangsaan kali ke-6, oleh Ketua Menteri Datuk Seri Abu
        Zahar Isnin di Auditorium Al-Azim, di sini, pagi ini.

        Beliau mengulas mengenai tindakan empat pertubuhan Islam, iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia
        (Abim), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan
        Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) membentuk Gerakan Reformasi semalam.

        Tengku Mahmud yang juga Timbalan Menteri Pertanian, berkata adalah penting untuk Anwar
        'membetulkan' dirinya dulu sebelum meminta diadakan sebarang reformasi terhadap kerajaan.

        Katanya, taktik yang sama pernah dilakukan oleh Allahyarham Presiden Soekarno untuk
        mengalihkan masalah ekonomi yang dihadapi Indonesia dengan menyerang Tanah Melayu pada
        1963 sehingga berlaku konfrontasi.

        Bagaimanapun, beliau berkata usaha itu gagal dan perkara yang sama mungkin juga akan berlaku
        terhadap Anwar.

        "Tindakan MT memecat Anwar daripada Umno bertujuan memberi Anwar kebebasan untuk
        membuktikan dirinya tidak terbabit dalam sebarang skandal dan bukannya mengalihkan perhatian
        kepada reformasi.

        "Oleh itu, Anwar janganlah mengheret sama parti Umno dan kerajaan untuk menyelesaikan masalah
        peribadinya," katanya.


Penubuhan Gerakan Reformasi sia-sia

        KUALA LUMPUR, Isnin - Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan menyifatkan tindakan
        empat pertubuhan Islam yang membentuk badan yang mereka namakan sebagai 'Gerakan
        Reformasi' bagi membangkitkan kesedaran umum mengenai ketidakadilan terhadap Datuk Seri
        Anwar Ibrahim, sebagai kerja sia-sia.

        Pengerusinya, Datuk Suleiman Mohamed, berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
        mereka tidak seharusnya mencampuri urusan politik negara, lebih-lebih lagi tindakan yang boleh
        menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

        "Mereka membuang masa saja. Janganlah campur hal ehwal politik. Kalau nak buat reformasi, kita
        sudah lama buat," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.

        Semalam, empat pertubuhan Islam membentuk apa yang mereka namakan 'Gerakan Reformasi',
        bertujuan membangkitkan kesedaran umum mengenai 'ketidakadilan' terhadap Anwar.

        Gerakan yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu, disertai Jemaah Islah Malaysia
        (JIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains Islam Malaysia
        (Asasi).

        Suleiman yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata, Umno Wilayah Persekutuan sedang
        meneliti perkembangan berkaitan pelucutan jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

        "Saya ingin menegaskan Umno Wilayah Persekutuan yang mempunyai keanggotaan lebih 100,000
        ahli, sedang memantau setiap perkembangan yang berlaku.

        "Kita tidak akan teragak-agak bertindak jika usaha menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad masih diteruskan oleh golongan tidak bertanggungjawab.

        "Kesabaran kita juga ada batasan dan jangan paksa kita bertindak. Kita tak boleh menduga apa
        tindakan balas ahli jika mereka (penyokong Anwar) terus-terusan menggugat kepemimpinan Dr
        Mahathir," katanya.

        Menurut Suleiman, semua bahagian Umno Wilayah Persekutuan kini padu menyokong
        kepemimpinan Perdana Menteri.

        Sebagai contoh, katanya, pada malam pelucutan jawatan Anwar, semua ketua bahagian berkumpul
        di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Hishammuddin Tun Hussein.

        "Pemuda yang berkumpul di rumah Hishammuddin dan orang bahagian serta Wanita di rumah Najib
        malam itu semua bersiap sedia menunggu arahan untuk mempertahankan Dr Mahathir.

        "Kita juga malam itu bersiap kalau-kalau penyokong Anwar menyerang Seri Perdana, kita akan ke
        sana," katanya.
 


PM restui pelantikan: Abu Zahar

        MELAKA, Isnin - Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin, berkata pelantikan beliau sebagai
        Ketua Menteri pada Jun tahun lalu, adalah selepas dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad.

        Bagaimanapun, katanya, disebabkan Dr Mahathir ketika itu di luar negara, surat pelantikannya
        diserahkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        "Saya ingin menegaskan pelantikan saya adalah dengan restu Perdana Menteri walaupun surat
        pelantikan diserahkan oleh Anwar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat khas
        mengenai isu Anwar kepada semua ahli Badan Perhubungan Umno negeri, termasuk wakil rakyat
        Umno di Auditorium Al-Azim di sini, hari ini.

        Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata demikian sewaktu ditanya
        mengenai pendiriannya terhadap Anwar selepas dipecat daripada jemaah menteri dan ahli Umno
        minggu lalu.

        Menurut Abu Zahar, beliau percaya pelucutan jawatan Anwar tidak menyebabkan keretakan di
        kalangan pemimpin dan ahli Umno di negeri ini kerana beliau yakin ahli Umno sudah matang dan
        mampu menerima berita itu dengan terbuka.

        Katanya, Badan Perhubungan Umno negeri menyokong penuh tindakan Dr Mahathir berhubung
        pelucutan jawatan Anwar daripada jemaah menteri dan pemecatan keanggotaan parti oleh Majlis
        Tertinggi (MT).

        Beliau berkata, kemelut utama yang dihadapi membabitkan soal perilaku moral terhadap Anwar dan
        masalah itu perlu ditangani dengan bijak dan halus.

        "Kami yakin Presiden parti tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengambil tindakan drastik bagi
        membersih dan menyelamatkan parti.

        "Sehubungan itu, Badan Perhubungan Umno negeri menyeru Anwar supaya bertenang, tidak
        beremosi dan tidak sama sekali melakukan tindakan yang mendatangkan aspirasi perjuangan yang
        didukungnya selama ini," katanya.

        Menurut Abu Zahar, Umno negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada pemimpin Umno di
        peringkat akar umbi bagi memberikan penjelasan yang adil kepada mereka.


Umno Perlis mula perjelas keadaan

        KANGAR, Isnin - Ketiga-tiga Umno bahagian di negeri ini mula memberi penerangan kepada
        ahlinya berhubung pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan Umno.

        Usaha lebih menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi akan dijalankan sebaik semua
        Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri, Pemuda dan Wanita mendapat penjelasan
        daripada Perdana Menteri berhubung perkara itu.

        Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Bahari Taib, berkata Umno bahagian
        memainkan fungsi masing-masing sejajar sokongan kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
        memimpin parti dan memulihkan ekonomi negara.

        "Usaha penerangan yang lebih meluas, termasuk ke peringkat akar umbi akan dijalankan sebaik
        anggota yang berkenaan mendapat penjelasan daripada Perdana Menteri," katanya.

        Menjawab soalan, Bahari berkata, pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang usaha oleh
        penyokong Anwar untuk cuba mendapatkan simpati rakyat negeri ini.

        "Kita tidak membenarkan dewan orang ramai, masjid dan surau di negeri ini digunakan oleh
        golongan terbabit untuk tujuan itu bagi mengelak memecah belah perpaduan sehingga memburukkan
        lagi keadaan.

        "Jika perkara itu berlaku, kita akan mengenal pasti mereka yang menghadiri pertemuan itu,
        khususnya jika membabitkan ahli Umno," katanya.

        Semalam, empat pertubuhan Islam membentuk 'Gerakan Reformasi' bertujuan membangkitkan
        kesedaran umum mengenai 'ketidakadilan' terhadap Anwar.

        Pergerakan yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu, disertai Jemaah Islah Malaysia
        (Jim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains Islam Malaysia
        (Asasi).


DAP minta orang ramai bertenang

                Anwar menerima kunjungan aktivis NGO, Fan Yew Teng di
                kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

        KUALA LUMPUR, Isnin - DAP meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak mencetuskan
        sebarang huru-hara berikutan keputusan kerajaan dan Umno memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim
        daripada Kabinet dan ahli parti itu.

        Naib Presidennya, Dr Tan Seng Giaw, berkata, partinya yakin kerajaan akan terus mengutuhkan
        sistem demokrasi berparlimen dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

        "Kami harap orang ramai akan terus bertenang bagi membolehkan kerajaan menjalankan proses
        undang-undang (ke atas Anwar). Seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibukti sebaliknya,"
        katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

        Menurutnya, beberapa siri kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini memeranjatkan seluruh
        negara, bermula dengan dengan keputusan mahkamah memenjarakan Ahli Parlimen Kota Melaka,
        Lim Guan Eng, di bawah Akta Hasutan.

        "Ketika kerajaan terus menegaskan ia masih mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan
        mematuhi peraturan undang-undang, orang ramai berharap sistem kehakiman negara ini adalah
        bebas (daripada sebarang pengaruh)," katanya.
 


BALIK