Make your own free website on Tripod.com

BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM
9 SEPTEMBER 1998

PETIKAN BERITA;

BERITA HARIAN
UTUSAN MALAYSIA


BISIK-BISIK

KHABARNYA Anwar Ibrahim telah membatalkan bagi kali kedua rancangannya untuk mengadakan road-show bagi
mencanangkan apa yang beliau panggil gerakan reformasi.

Ia sepatutnya bermula minggu lalu di Permatang Pauh, tapi dibatalkan kerana khuatir ditahan. Nampaknya beliau sendiri
tidak begitu yakin dengan rancangan tersebut.

Mengenang apa yang hendak dibuat Anwar, teringat Awang kepada kenyataan Nik Aziz tempoh hari. Kata Menteri
Besar Kelantan itu, Pas sudah lama melakukan apa yang Anwar baru hendak cuba mulakan.

Dan kata Nik Aziz lagi, lebih mudah dan elok jika reformasi itu dibuat melalui Pas.

Tetapi tentulah Anwar tidak akan melakukannya bersama Pas kerana beliau sebenarnya sedang mencari satu platform
politik untuk dirinya setelah dipecat daripada UMNO.


Jangan cemarkan wibawa mahasiswa

SEKALI lagi, gelagat dan tindakan mahasiswa dipersoalkan gara-gara perbuatan tidak berhemah sebilangan kecil
mahasiswa tempatan di tengah-tengah isu perlucutan jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Teguran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Yusof Noor yang menasihatkan mahasiswa supaya jangan bertindak di
luar batasan dalam isu Anwar, menggambarkan kebimbangan terhadap kemampuan mahasiswa tempatan menangani isu
tersebut.

Kebimbangan itu sememangnya berasas kerana reaksi dan bentuk tindakan mahasiswa akan memberikan gambaran dan
kesan mendalam terhadap kewibawaan dan imej mahasiswa dalam isu-isu besar negara.

Penyertaan mahasiswa dan dakwaan akan wujudnya satu reformasi gerakan pelajar yang memperjuangkan keadilan sosial
menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan pemimpin dan mahasiswa menterjemahkan tindakan mereka dalam
bentuk yang bijaksana.

Adalah malang sekali, sekiranya, gerakan mahasiswa kini tidak memikirkan kepentingan negara dengan melakukan
gerakan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.

Sepatutnya, mahasiswa tempatan perlu memikirkan cara dan bentuk tindakan yang terbaik yang perlu mereka lakukan
dengan mengelakkan cara dan pendekatan yang kurang bijaksana dalam era perjuangan mahasiswa di era 90-an ini.

Suasana dan zaman menggunakan pendekatan berdemonstrasi dan didalangi oleh tokoh-tokoh politik yang tersingkir dari
jawatan untuk menyatakan landasan perjuangan mereka sebenarnya sudah berakhir.

Zaman sekarang menuntut mahasiswa lebih matang dalam bertindak dengan berdasarkan fakta dan hujahan yang boleh
melambangkan kewibawaan arah perjuangan mahasiswa.

Persoalannya, adakah mahasiswa perlu kembali mengikut arus perjuangan berdasarkan pendekatan yang boleh
mengancam kestabilan dan kemakmuran negara seperti tahun 60-an dan 70-an dahulu?

Idealisme perjuangan mahasiswa sekarang tidak lagi boleh dihantui dengan bayangan silam bentuk gerakan mahasiswa era
60-an dan 70-an yang terkenal dengan pendekatan berdemonstrasi dan agresif yang mengkritik dan menghentam
kerajaan.

Kritikan bahawa mahasiswa tahun 90-an adalah lemah, membisu dan tidak bermaya juga perlu dinilai oleh pemimpin
mahasiswa sekarang sama ada ia diluahkan oleh pemimpin dan golongan yang inginkan mahasiswa bertindak dengan cara
yang radikal dan keras di negara ini demi kepentingan mereka.

Ia penting, kerana mungkin kritikan itu dilemparkan kerana ada pihak-pihak tertentu yang akan menggunakan gerakan
mahasiswa di negara ini demi perjuangan mereka dan untuk melindungi kesilapan dan kesalahan yang telah mereka
lakukan sebelum ini.

Kemungkinan, golongan tersebut boleh menjadikan gerakan pelajar sebagai alat untuk mengancam kestabilan dan
keselamatan negara ini juga boleh berlaku sekiranya mahasiswa tidak berhati-hati.

Kebimbangan menjadikan pelajar sebagai alat boleh menjadi realiti sekiranya para pemimpin dan mahasiswa mudah
diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu ekoran mudahnya mahasiswa menerima kedatangan para pemimpin politik yang
cuba menghasut kebangkitan pelajar.

Seharusnya, pemimpin dan mahasiswa kini perlu menilai sendiri peranan mereka supaya selari dengan kemajuan dan
pencapaian negara sekarang yang terkenal sebagai model negara membangun di abad ke-20 ini.

Mahasiswa kini tidak sepatutnya merasa takut dan bimbang mengenai slogan dan hasutan yang mengatakan mereka kini
tidak bermaya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.

Sekiranya mereka mudah terpengarauh dengan golongan yang sering mempertikaikan kemampuan dan perjuangan
mahasiswa kini, para pemimpin mahasiswa perlu merenungi dan bertindak bijak menangkis serangan golongan yang cuba
menguasai minda pemikiran mahasiswa di universiti tempatan kini.

Janganlah terlalu mudah menerima gesaan untuk mengadakan reformasi dan pendekatan radikal seperti tahun-tahun 60-an
dan 70-an kerana pendekatan itu sebenarnya menghancurkan imej dan kredibiliti mahasiswa di mata masyarakat dan
dunia keseluruhannya.

Kewarasan mahasiswa bertindak dalam isu Anwar ini juga akan menentukan sejauh manakah mereka menilai dan
membezakan antara perjuangan yang bijaksana dan perjuangan yang membuta tuli.

Ini kerana, bilangan masyarakat negara ini yang mendapat pendidikan di peringkat universiti semakin ramai dan mereka
yang terdedah kepada persekitaran peristiwa di luar negara juga begitu ramai.

Perlu diingat, jumlah penduduk tempatan yang boleh mendapatkan sistem pendidikan dan kemudahan infrastruktur di
negara ini adalah tinggi berbanding dengan negara-negara membangun yang lain.

Tentunya, penduduk di negara ini boleh menilai sama ada tindakan mahasiswa kini sesuai dengan zaman dan sosio-politik
dan ekonomi di negara ini.

Sehubungan itu, penduduk di negara ini boleh mengukur tahap pemikiran mahasiswa kini yang dikatakan berjuang untuk
mengadakan reformasi ke atas sistem pemerintahan negara yang dikatakan tidak adil. Para pemimpin mahasiswa kini
perlu ingat, bahawa perkembangan gerakan pelajar yang menumbangkan Presiden Indonesia, Suharto itu belum tentu
akan berjaya di negara ini.

Budaya pemikiran, sistem pendidikan, corak kehidupan masyarakat, latar belakang pemerintahan dan sejarah antara
Malaysia dan Indonesia sebenarnya jauh berbeza antara satu sama lain.

Walaupun, gerakan pelajar di Indonesia cukup berjaya dan dikagumi oleh aktivis pelajar di negara ini, ia tidak akan
berjaya diadakan selagi masyarakat di negara ini tidak akan menemui bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan yang
besar telah benar-benar berlaku. Bolehkah, gerakan mahasiswa kini membuktikan dengan fakta dan bukti yang jelas
kepada masyarakat bahawa ketidakadilan sosial dan penyelewengan telah berlaku di negara ini?

Tambahan pula, perkembangan pemulihan ekonomi negara kini begitu memberangsangkan dengan beberapa indeks
komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) meningkat setelah kerajaan mengenakan langkah-langkah drastik
pemulihan ekonomi.

Begitu juga dengan penetapan kadar tukaran ringgit pada RM3.80 setiap satu dolar Amerika Syarikat (AS) yang kini
dianggap sebagai langkah yang bernas oleh ahli dan pakar ekonomi asing.

Sehubungan itu, adalah lebih baik para mahasiswa yang masih melibatkan diri dalam isu perlucutan jawatan Anwar menilai
diri mereka semula mengenai kesan ke atas nama baik mahasiswa tempatan di negara ini. Berhubung dengan isu Anwar,
sepatutnya, para mahasiswa perlu menunggu perbicaraan kes Anwar di mahkamah kerana ia lebih mencerminkan
kewarasan dalam bertindak berlandaskan kepada undang-undang di negara ini.

Amat ganjil sekali, sekiranya mereka tidak mempercayai sistem perundangan negara sedangkan asas menjatuhkan
hukuman ke atas penduduk di negara ini mestilah berlandaskan kepada bukti yang sahih di mahkamah. Sebagai seorang
pelajar universiti, tentunya mereka mengetahui bahawa seseorang itu bersalah hanya setelah dia menjalani proses
perbicaraan yang adil dan keputusan mahkamah telah dilakukan dengan sempurna.

Justeru, mahasiswa tempatan perlu menggunakan pendekatan dan melahirkan pandangan yang bijaksana supaya mereka
boleh dianggap sebagai mahasiswa yang dinamis dan bertindak sebagai golongan yang intelek dalam menyelesaikan
masalah negara.

Sehubungan itu, adalah lebih baik, semua pemimpin mahasiswa di negara ini menilai semula tindakan mereka supaya
mereka lebih berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Oleh: MIR AZRI SHAHARUDIN


PERKEMBANGAN POSITIF YANG MEYAKINKAN

BEBERAPA perkembangan mutakhir dalam sistem pentadbiran negara dan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang
dilaksanakan oleh kerajaan nampaknya memberi petunjuk positif kepada arah aliran ekonomi kita.

Pengumuman Jabatan Perdana Menteri yang melantik Datuk Mustapa Mohamed sebagai Menteri Kewangan 11 dan
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan 1 semacam menambahkan lagi keyakinan banyak pihak
terutama para pelabur dan pemain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Lonjakan indeks komposit sebanyak 22.4 peratus sekali gus meneruskan aliran dagangan yang meningkat empat hari
terus menerus dengan jumlah dagangan melambung kepada 1.101 bilion bernilai RM1.577 bilion semalam. Lonjakan ini
yang dianggap terbesar sejak Julai tahun lalu diharap berterusan dan kemungkinan pulih dengan selesa.

Perubahan dalam polisi dikatakan menjadi pemangkin atau faktor pencetus kepada pemulihan kegiatan urus niaga di
BSKL. Namun, kejatuhan petang semalam diharap bersifat sementara.

Berdasarkan pemulihan itu mendorong kita membuat andaian bahawa perubahan yang berlaku dalam ekonomi kita
sekarang seakan berada di atas landasan yang betul. Kita berharap perkembangan positif ini akan berterusan dan
dirasakan apa yang berlaku itu merupakan tanda-tanda arus aliran yang menunjukkan hala tuju yang positif.

Berbeza dengan andaian awal orang ramai bahawa perlucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan memberi kesan negatif yang lebih parah kepada ekonomi negara
nampaknya meleset. Sebaliknya tindakan tersebut telah memberi isyarat yang betul dan sebaik saja pengumuman
perlucutan jawatan itu dibuat saham-saham di BSKL mula menunjukkan tanda-tanda kenaikan.

Begitu juga dengan peletakan jawatan dua orang Gabenor Bank Negara dan timbalannya memberi isyarat pemangkin
kepada para pelabur untuk kembali aktif di dalam pasaran BSKL. Jika analisis dilakukan elemen-elemen tersebut
semacam menjadi batu penghalang kepada arus aliran positif dan keyakinan para pelabur untuk kembali aktif.

Dengan terpecahnya batu penghalang itu kita melihat bahawa arus yang tersekat selama ini kembali mengalir lancar
membawa bersamanya sampah-sarap yang menyekat alirannya selama ini.

Langkah pemulihan yang dilaksanakan menerusi cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) seperti
menetapkan nilai ringgit kepada RM3.80 bagi satu dolar Amerika nampaknya merupakan satu tindakan yang betul.
Sebelum ini polisi atau cadangan MTEN semacam dihalang oleh Kementerian Kewangan.

Begitu juga dengan arahan supaya semua saham di BSKL diurusniagakan hanya menerusi Sistem Depositori Pusat
(CDS). Langkah itu telah menyebabkan pasaran Central Limit Order Booking (CLOB) di Singapura terpaksa ditutup
sementara. Pelantikan Gabenor Bank Negara yang baru, Ali Abul Hassan juga dirasakan memberi senario yang kondusif
untuk mengembalikan keyakinan bagi kemasukan modal asing ke dalam ekonomi kita.

Kita tidak mahu menyatakan dengan yakin bahawa formula sebenar atau resipi yang mustajab itu sudah ditemui. Tetapi
perkembangan yang berlaku setakat dua tiga hari ini menunjukkan bahawa tanda-tanda pemulihan itu sedang bermula dan
harapan kita biarlah perkembangan yang menggembirakan ini terus bergerak ke arah pencapaian seperti yang kita nikmati
dua atau tiga tahun sebelum kegawatan menimpa kita.
 


Perjuangan diteruskan

PERLUCUTAN jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO
masih menggegarkan.

Ia menggegarkan UMNO dan menggegarkan kerajaan. Malah kedua-dua peristiwa itu berupa kejutan terbesar semenjak
perbalahan politik UMNO pada tahun 1987. Maklumlah, yang terlibat itu ialah orang nombor dua dalam parti dan
kerajaan.

Walaupun menggegar dan mengejutkan, UMNO dan kerajaan tidak goyang. Kedua-dua entiti itu tampak terus mantap
dan stabil membela rakyat dan negara macam biasa. Keadaannya sebegitu lantaran lunas kuasa dalam parti dan kerajaan
selari dan selaras dengan struktur pentadbiran negara yang telah dibina selama ini.

Apabila seorang pembesar negara seperti Anwar dilucutkan jawatannya tentulah ada kesan besarnya pula. Kesannya
terhadap parti dan kerajaan tidak dapat tidak akan dirasai buat beberapa lamanya.

Malah kesan peletakan jawatan Tan Sri Musa Hitam (1986) dan Tun Ghafar (1993) masih dirasai oleh banyak pihak,
termasuk yang berada dalam UMNO sekarang. Cuma, di peringkat ini perbezaannya sudah diketahui: Musa dan Ghafar
meletakkan jawatan atas sebab-sebab tertentu sedangkan Anwar kena diberhentikan, juga atas sebab-sebab tertentu.

Peletakan jawatan Musa dan Ghafar adalah oleh batang tubuh mereka sendiri tetapi jawatan-jawatan Anwar kena lucut
berikutan keengganannya meletakkan jawatan-jawatannya seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad merangkap Presiden UMNO. Perbedaan kesan dan reaksi antara yang meletakkan jawatan dan
yang kena lucutkan jawatannya tentu agak luas.

Yang tampak 'luka' dan kesakitan kini ialah Anwar dan lukanya itu menimbulkan pelbagai perasaan terbitan di kalangan
sahabat, peminat dan penyokong.

Rata-rata mereka menaruh perasaan dan mungkin pula sudah bersedia, termasuk Anwar sendiri, untuk bertindak balas
dalam konteks perjuangan yang bakal dilangsungkan selepas ini.

Dunia politik Anwar bolehlah dikatakan berkecai sudah. Maklum saja, sesuatu jawatan yang dilucutkan bukan kepalang
sakit himpitannya, terutama kepada diri yang berkenaan. ''Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul''.

Soalnya kini ialah bagaimana perlucutan jawatan itu dapat diterima dan difahamkan oleh rakyat selunak mungkin, terutama
oleh 1.2 juta ahli UMNO di seluruh negara agar penerimaan dan pengertian mereka itu terus menyumbang menegapkan
parti dan kerajaan?

Soal ini tidak semudah yang diutarakan oleh sesetengah pihak kerana inilah kali pertama dalam sejarah negara seorang
Timbalan Presiden UMNO (TPU) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dipecat.

Bagi seseorang yang meletakkan jawatan isu dan reaksinya lebih mudah diperhitungkan. Sekurang-kurangnya ia tidak
melibatkan perhitungan undang-undang. Kini Anwar berhadapan bukan sahaja dengan undang-undang tetapi juga soal
kewibawaannya.

Yang jelas ialah soal ini perlu perhatian dan tindakan yang kemas lagi berkesan. Sebagaimana tangkas dan berkesannya
perlucutan jawatan itu begitu jugalah hendaknya penerimaan dan pengertian di kalangan rakyat. Hal ini, perlu diakui,
bukan suatu kerja yang mudah. Para pemimpin parti dan kerajaan harus membuat penelitian dan muncul segera dengan
versi penerangan yang seragam dan meyakinkan, terutama bagi mereka yang dipertanggungjawabkan menebarkan
maklumat parti dan kerajaan.

Soalan biasa yang sudah kedengaran ialah: Apakah alasan-alasan atau sebab musabab yang menyebabkan Anwar
dilucutkan kedua-dua jawatannya sekali?

Perlucutan jawatan selaku TPM tidak perlu sangat ditimbulkan kerana semua Menteri memegang jawatan masing-masing
atas budi bicara Perdana Menteri asalkan beliau memaklumkan tindakan melucutkan jawatan itu kepada Seri Paduka
Yang Di Pertuan Agong. Peristiwa 1987 menampilkan sebilangan menteri dan timbalan menteri yang dilucutkan jawatan
mereka. Perdana Menteri tidak perlu memberi apa-apa sebab bagi tindakannya itu.

Ini hak perdananya. Sepertimana juga halnya di negara-negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Westminster, tiada
undang-undang boleh mencampuri atau menggugat hak dan kuasa tersebut.

Sebagai TPU keadaannya agak berlainan sedikit kerana jawatan itu dimandatkan oleh Perhimpunan Agung UMNO.
Lazimnya, Majlis Tertinggi UMNO - setelah menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin tentang mana-mana
perbuatan ''salahlaku'' seseorang ahli (termasuk mana-mana memegang jawatan parti) boleh memutuskan sama ada (a)
anggota itu diberi amaran, atau (b) digantung hak-haknya dalam parti, atau (c) digantung daripada bertanding bagi
mana-mana jawatan dalam parti, atau (d) dipecat daripada parti, atau (e) dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan
wajar.

Dengan hukuman pemecatan di bawah peruntukan Fasal 18(6)(d) Perlembagaan UMNO yang dikenakan ke atas Anwar
oleh MT pada 3 September lalu, bererti beliau telah menerima hukuman yang paling berat.

Bahawa ini adalah keputusan MT sebulat suara bermakna tiada seorang pun yang melahirkan pandangan yang berlainan
sekalipun daripada pemimpin-pemimpin yang diduga menyokong Anwar. Jelaslah ini menunjukkan bahawa para
pemimpin tertinggi UMNO yang bersidang dengan Presiden Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sejak awal malam hingga
ke dini hari itu benar-benar mendapati 'kesalahan' atau 'kesalahan-kesalahan' Anwar tidak dapat dimaafkan lagi sekalipun
setelah mendengar penjelasan dari pada Anwar sendiri.

Dapatlah diduga bahawa 'kesalahan-kesalahan' itu tidak mewajarkan MT memberi cuti dalam jawatan kepada Anwar
seperti mana halnya dengan Tan Sri Rahim Tamby Chik dahulu dan Tan Sri Muhammad Taib yang kini masih bercuti
dalam jawatan Naib Presiden.

Tentulah MT telah membuat perhitungan paling teliti dalam hal ini dan seterusnya menerima pendedahan alasan-alasan
yang kukuh bersabit dengan 'kesalahan-kesalahan' itu.

Umum telah mengetahui setakat ini beberapa dakwaan berkaitan 'kesalahan-kesalahan' atau perlakuan Anwar yang
menyebabkan perlucutan jawatannya. Beberapa kandungan afidavit yang difailkan di mahkamah menyebut dakwaan
meliwat, rasuah berjuta ringgit, dan hubungan seks yang berleluasa. Kes menjejaskan keselamatan negara juga disebut.

Kepada para penyokong dan peminat Anwar ini semua tampaknya berupa ''fabrikasi'' atau cerita-cerita yang direka-reka
belaka oleh ''orang-orang atasan''. Beliau sendiri telah dilaporkan sebagai berkata sedemikian. Tetapi kepada Perdana
Menteri yang lebih tahu akan segala intisari siasatan yang menyusul penerbitan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak
Boleh Jadi PM tentulah jalan lain tiada melainkan menyisihkan Anwar daripada kerajaan dan parti sebelum mudarat
kenegaraan berlaku.

Langkah yang diambil Perdana Menteri tentu dibuat setelah pengamatan yang amat teliti. Dunia tahu beliaulah yang
merestui setiap tahap kenaikan bintang dan karier politik Anwar semenjak 16 tahun lalu.

Tidak salah jika dikatakan kenaikan Anwar adalah kerana ditatang oleh Perdana Menteri yang punya penuh harapan
kepadanya. Pada Anwar diletakkannya sepenuh kepercayaan. Malah para pemimpin dan anggota UMNO faham akan
kasih dan harapan Perdana Menteri terhadap timbalannya yang berkarisma itu. Lantas berkali-kali diumumkannya
''Anwar pengganti saya....''

Setahu penulis, bukan senang hendak mendapatkan penentuan itu daripada Datuk Seri Dr. Mahathir. Dan bila Perdana
Menteri sendiri mengakui pada akhir wawancara TV pada malam 3 September bahawa Anwar ''tidak sesuai'' (not
suitable) dengan air muka yang sebak dan sedih jelaslah 'kesalahan' Anwar sudah berada di tahap luar biasa. Apa yang
diperhatikan ialah api sudah naik ke bumbung. Jika tidak dipadamkan rumah akan terbakar. Menjadi tanggungjawab
Perdana Menteri yang utama menyelamatkan negara dan parti yang lebih dikasihinya.

Ahli UMNO tidak ada pilihan kecuali menyokong keputusan MT dan berdiri teguh bersama Perdana Menteri yang kini
mempunyai beban yang kian berat, apatah lagi dengan ekonomi negara yang terus mencabar. Sementara itu Anwar harus
menyerahkan nasibnya kepada dakapan keadilan sebelum melangkah jauh menentang sistem yang turut diketuainya
dahulu. Pantun setia Anwar sebagai imbasan kesetiaannya kepada Perdana Menteri masih terngiang-ngiang.

Angkut-angkut terbang ke langit

Sampai di langit dimakan merbah

Biar tertangkup bumi dan langit

Setia saya takkan berubah.

Pantun itu tentunya begitu bererti semasa dipantunkan di Perhimpunan Agung UMNO dahulu. Hendaknya pantun itu
harus dikotakan mesejnya walaupun dalam keadaan kini.

Walaupun pada masa ini ramai yang menasihatkan Datuk Seri Anwar supaya bertindak melalui gerakan reformasi, nasihat
itu perlu dipadankan dengan kata hati yang sebenar, iaitu kebenaran dan keadilan.

Gelanggang terbaik mendapatkan kedua-dua ini ialah mahkamah. Itupun jika proses pembersihan nama sedang dicari.
Sementara itu wadah perjuangan UMNO harus diteruskan. Takkan 'tak berkokok ayam seekor hari tak siang'.

Oleh: DR. RAIS YATIM
 


Pulau Pinang ikrar setia

        KUALA LUMPUR, Selasa - Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang petang ini memutuskan
        pendirian akan terus setia dan menyokong kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
        sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

        Bagaimanapun, sembilan daripada 11 bahagian, kecuali Pemuda Umno bahagian Kepala Batas,
        merayu supaya bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima semula sebagai
        ahli parti.

        Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas Pemuda Umno negeri di sini yang dihadiri 10 Ketua
        Pemuda bahagian kecuali Ketua Pemuda Umno bahagian Tasik Gelugor, Nor Azman Othman, yang
        tidak hadir kerana urusan peribadi.

        Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Pemuda Umno negeri, Dr Rahim Ghouse, khusus
        membincangkan isu pemecatan Anwar dan pendirian Pemuda Umno negeri terhadap perkara itu.

        Antara yang hadir ialah Naib Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Ismail Mohd Othman; Ketua
        Penerangan, Raja Munir Shah; Bendahari, Roslan Saidin dan Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan,
        Norhaili Che Dan.

        Dr Rahim berkata, Pemuda Umno negeri mengambil ketetapan itu selepas menimbangkan pelbagai
        faktor terutama membabitkan perpaduan parti, negara dan bangsa berikutan isu berkenaan.

        "Mesyuarat tadi mengambil ketetapan sebulat suara menyokong kepimpinan Datuk Seri Dr Mahathir
        sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

        "Cuma Pemuda Umno bahagian Kepala Batas tidak mahu dimasukkan ke dalam keputusan untuk
        merayu menerima semula Anwar sebagai ahli Umno kerana itu adalah keputusan bahagiannya,"
        katanya.


Umno Bukit Bendera sokong Mahathir, Anwar

        GEORGETOWN, Selasa - Umno Bahagian Bukit Bendera bersama Pergerakan Pemuda dan
        Wanitanya sebulat suara melahirkan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai
        Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

        Keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas bahagian, Pemuda dan Wanita yang diadakan pada 7
        September lalu. Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atas
        alasan kedua-dua mereka adalah tokoh dan pemimpin yang sukar dicari ganti.

        Ketiga-tiga jawatankuasa Umno Bahagian Bukit Bendera itu juga memutuskan merayu kepada Dr
        Mahathir untuk menerima semula Anwar sebagai ahli Umno.

        Mereka juga mahu Anwar diberikan kembali jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno dan
        Timbalan Perdana Menteri atas alasan, Dr Mahathir sendiri pernah berkata, kita tidak seharusnya
        menuduh seseorang itu bersalah sehingga mahkamah mendapatinya bersalah.

        Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Senator Datuk Ahmad
        Ismail; Ketua Pergerakan Pemudanya, Mohd Ismail Mohd Othman; dan Ketua Pergerakan
        Wanitanya, Haslinda Mohd Hashim; serta timbalan dan naib ketua masing-masing dihantar ke
        pejabat Berita Harian, hari ini.

        Umno Bahagian Bukit Bendera, Pergerakan Wanita dan Pemudanya memohon Anwar dibicara
        seadil-adilnya.

        "Beliau harus diberi peluang memberikan penjelasan kepada rakyat semoga rakyat terus tenang dan
        keamanan negara dipelihara. Jika tidak, rakyat akan berasa suatu ketidakadilan sudah berlaku,"
        tegas mereka.

        Umno Bahagian Bukit Bendera dan Bagan tidak diwakili ketika Badan Perhubungan Umno Pulau
        Pinang mengadakan mesyuarat khas, Ahad lalu. Ia dipengerusikan Timbalan Ketuanya, Datuk Mohd
        Shariff Omar.


Pemuda Kangar tunggu amanat

        KANGAR, Selasa - Pemuda Umno bahagian Kangar akan menjelaskan kepada ahli parti di
        peringkat akar umbi berhubung perkembangan terkini politik tanah air berikutan pemecatan Datuk
        Seri Anwar Ibrahim.

        Ketuanya, Jamil Saad, berkata ahli jawatankuasa Pemuda bahagian akan dikerahkan 'turun padang'
        bagi menjelaskan perkara itu selepas mendengar amanat Presiden, Datuk Seri Dr Mahathir
        Mohamad, petang ini.

        "Kami berdiri teguh di belakang Dr Mahathir bagi menghadapi sebarang perkembangan drastik
        berikutan pemecatan Anwar.

        "Bagi kami, Presiden lebih mengutamakan parti dan negara ketika membuat keputusan dan Pemuda
        bahagian Kangar akan menjelaskan kepada ahli parti berhubung pemecatan itu," katanya sebelum
        bertolak ke Kuala Lumpur, pagi ini.

        Anwar dilucut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Rabu lalu, dan Timbalan
        Presiden serta ahli Umno, sehari kemudian.

        Menurut Jamil, Pemuda bahagian sudah menghantar telegram bagi menyatakan sokongan dan berdiri
        teguh di belakang Perdana Menteri, kelmarin.

        Beliau tidak menolak kemungkinan ramai ahli parti di peringkat akar umbi berbelah bagi dan
        terkeliru dalam menghadapi isu pemecatan Anwar selepas disogok pelbagai surat layang berhubung
        perkara itu.

        Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerja Pemuda Umno bahagian itu, Rosli Ngah,
        meminta Ketua Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, segera mengadakan mesyuarat Exco
        Pemuda bagi menetapkan pendirian berhubung pemecatan Anwar.

        Katanya, kedudukan Pemuda Umno negeri di ambang pepecahan berikutan kenyataan yang
        berbeza berhubung perkara itu dan ramai ahli keliru berhubung pendirian Pemuda.

        "Zahid tidak boleh terus bersembunyi dan berdiam diri berhubung isu pemecatan Anwar kerana
        boleh mendatangkan kesan terhadap keutuhan serta perpaduan pergerakan," katanya.

        Beliau juga mahu Anwar berhenti mempengaruhi orang ramai, termasuk pelajar, sebaliknya
        bertindak secara profesional bagi menghadapi tuduhan dan tindakan terhadap beliau.

        Rosli menyarankan Anwar menyaman penulis dan semua dakwaan yang terkandung dalam buku 50
        Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri bagi membuktikan kepalsuan buku
        itu.


Kekuatan Umno bukan bertunjangkan seorang pemimpin

        PENGKALAN CHEPA, Selasa - Ahli Umno diminta memberi perhatian serius terhadap agenda
        memantapkan kekuatan parti kerana kekuatan Umno bukan lahir daripada hanya seorang pemimpin,
        tetapi daripada gabungan dan permuafakatan seluruh ahli.

        Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tan Sri Hussein Ahmad, berkata setiap ahli perlu ingat sejarah
        Umno tidak pernah sunyi daripada menghadapi pemimpin yang silih berganti.

        Menurutnya, perkara itu sudah menjadi lumrah bagi memastikan Umno lebih padu dan utuh.

        "Malah, sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn hingga sekarang, pemimpin kita silih
        berganti. Tidak bermakna pemergian seseorang pemimpin akan menyebabkan Umno terus runtuh,"
        katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini petang ini.

        Beliau diminta mengulas mengenai pelucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
        Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta pemecatan keahliannya dalam Umno.

        Menurutnya, walaupun Anwar tidak lagi berada dalam Kabinet dan Umno, ini tidak bermakna parti
        itu akan lemah.

        "Bagaimanapun, kita tidak menafikan mungkin ada sedikit perpecahan, namun semua ahli perlu ingat
        setiap kali berlaku perpecahan dalam parti, Umno akan menjadi lebih kuat selepas itu," katanya.

        Hussein berkata, soal percanggahan pendapat tidak seharusnya timbul, khususnya di kalangan
        Pemuda, kerana setiap ahli patut menjadikan perpaduan sebagai wadah perjuangan.

        Ditanya sama ada Anwar perlu kembali ke pangkuan Umno jika mahu meneruskan perjuangannya,
        beliau berkata: "Ini terpulang kepada beliau (Anwar) sendiri."

        Bagaimanapun, katanya, setiap orang mempunyai hak untuk memohon masuk semula sesebuah
        parti, walaupun pernah keluar parti itu.

        Beliau turut menegaskan, pemecatan Anwar dalam kerajaan dan parti tidak akan menjejaskan
        keyakinan Umno untuk merampas semula Kelantan daripada Pas dalam pilihan raya umum akan
        datang.
 


Gerakan "tidak manis": Mustapa

        KUALA LUMPUR, Selasa - Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan
        tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengerakkan reformasi
        sebagai 'tidak manis'.

        Beliau yang juga Menteri Kewangan II berkata, Anwar yang pernah bersama dalam kerajaan tidak
        sepatutnya mempertikaikan kewibawaan kerajaan sekarang dengan membawa gerakan reformasi.

        "Tidak manis mempertikaikan apa yang selama ini kita sokong dan dukung," katanya mengulas
        mengenai Gerakan Reformasi yang digerakkan oleh Anwar.

        Anwar sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk mengerakkan reformasi dengan menjelajah
        seluruh negara bagi menjelaskan kedudukannya sekarang, bermula esok.

        Bagaimanapun, hasrat itu dibatalkan sendiri oleh Anwar selepas mendapat nasihat beberapa
        rakannya, terutama bagi menjamin keselamatan beliau.

        Mustapa yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata, penjelasan Presiden Umno, Datuk
        Seri Dr Mahathir Mohamad petang ini memberi kefahaman baru kepada ahli Umno.

        "Di peringkat Umno Kelantan, kita sudah mendapatkan penjelasan daripada Dr Mahathir sendiri di
        Jabatan Perdana Menteri, Sabtu lalu," katanya.

        Menurutnya, walaupun semua ahli mungkin tidak memahami semuanya, tetapi sebahagian besar
        daripada mereka akan faham.


NGO usah sertai reformasi: Zaleha

        KUALA LUMPUR, Selasa - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinasihatkan supaya tidak
        membabitkan diri dalam kumpulan yang menamakan diri mereka Gerakan Reformasi.

        Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Zaleha Ismail, berkata
        NGO tidak sepatutnya membabitkan diri terutama jika ia membabitkan kepentingan individu.

        "NGO ditubuhkan untuk kebajikan kumpulan sasarnya," katanya ketika ditemui selepas majlis
        penyampaian cek anjuran Kelab Diraja Selangor kepada tujuh badan amal dan kebajikan di sini,
        hari ini.

        Sehingga kini, sekurang-kurangnya tujuh pertubuhan sudah bergabung dalam kumpulan yang mereka
        namakan Gerakan Reformasi, kononnya bertujuan membangkitkan kesedaran umum mengenai
        'ketidakadilan' terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

        Gerakan yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu antara lain turut dianggotai Jemaah
        Islah Malaysia (JIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains
        Islam Malaysia (Asasi).

        Zaleha berkata, apabila diwujudkan sebuah pertubuhan, kumpulan sasarnya bukanlah individu.

        Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum ada NGO di bawah Kementerian Perpaduan
        Negara dan Pembangunan Masyarakat yang terbabit.

        Pada majlis yang sama, beliau yang juga Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO)
        menjelaskan majlis berkenaan tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat atau membuat
        keputusan menghantar wakil untuk menemui Anwar.

        Katanya, aktivis wanita yang dikatakan mewakili NCWO untuk menemui Anwar adalah pegawai
        majlis itu, tetapi mereka ke sana atas sifat peribadi bukan arahan beliau atau kepemimpinan NCWO.

        "Mereka adalah pegawai NCWO tetapi mereka pergi atas urusan peribadi. NCWO tidak pernah
        mengadakan mesyuarat atau membuat keputusan menghantar wakil. Saya harap semua pihak jelas.

        "Saya juga harap persatuan dan gabungan NCWO supaya memahami. Jangan kata saya atau
        pimpinan NCWO mengarahkan. Siapa yang pergi adalah atas urusan peribadi," katanya.


Wanita Umno sokong kepemimpinan Dr Mahathir

        KUALA LUMPUR, Selasa - Pergerakan Wanita Umno sekali lagi menyatakan sokongan mereka
        kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mahathir Mohamad berhubung isu pelucutan
        jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Ketuanya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, berkata pihaknya bersama pemimpin lain juga akan
        menjalankan penerangan di peringkat bawahan bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

        Menurutnya, mesyuarat khas pergerakan itu hari ini bertujuan menyatakan sokongan tidak berbelah
        bahagi kepada Perdana Menteri.

        "Kita mengutamakan kepentingan dan perpaduan parti yang menentukan kestabilan negara dan
        sokongan kami tidak berbelah bahagi," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas itu.

        Dr Siti Zaharah berkata, walaupun bukan semua Exco pergerakan itu sudah mendapat penjelasan
        namun Wanita Umno akur dan yakin dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan
        Majlis Tertinggi Umno.

        Menurutnya, pihaknya yakin Perdana Menteri mempunyai alasan dan maklumat yang kukuh untuk
        mengambil keputusan itu.

        "Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini bukan Presiden saja yang memberi
        penjelasan tetapi Anwar juga diberi peluang memberi penjelasan beliau. Ini tidak pernah berlaku
        sebelum ini," katanya.

        Bagaimanapun katanya, Wanita Umno tidak menolak kepada proses undang-undang di negara ini.

        Sebenarnya, apa yang berlaku sekarang menggambarkan proses atau prosedur kepada setiap
        pemimpin kerajaan atau Umno tidak kira apa peringkatnya yang sedang menghadapi masalah.

        "Itu adalah prosedur yang perlu dipatuhi oleh semua pemimpin tanpa terkecuali sesiapa juga. Proses
        itulah yang berlaku sekarang," katanya.

        Mengenai Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang diminta meletakkan jawatan, Dr Siti Zaharah
        tidak mahu memberi sebarang komen.

        "Biarlah Pemuda menyelesaikan masalah mereka sendiri," katanya.


Senator sokong tindakan PM

        KUALA LUMPUR, Selasa - Ahli Dewan Negara dan Kelab Senator Malaysia hari ini menyatakan
        sokongan padu terhadap tindakan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad melucutkan jawatan Datuk
        Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        Presidennya, Senator Datuk Rahim Baba, berkata sokongan padu 63 Ahli Dewan Negara dan
        Kelab Senator (kecuali dua daripada Pas) itu dibuat bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi
        negara.

        Beliau berkata, Ahli Dewan Negara dan Kelab Senator juga menyokong tindakan Perdana Menteri
        yang juga Presiden Umno memecat keahlian Anwar daripada parti itu.

        "Ahli Dewan Negara dan Kelab Senator berikrar menyokong penuh tindakan Perdana Menteri serta
        percaya ia dibuat secara adil dan saksama dengan alasan yang kukuh.

        "Ahli Dewan Negara yang mewakili Umno juga menyokong penuh pendirian dan tindakan Majlis
        Tertinggi (MT) memecat Anwar sebagai ahli Umno. Sokongan padu kepada Dr Mahathir itu dicapai
        selepas mengambil kira kestabilan politik dan kekukuhan ekonomi negara," katanya.

        Beliau berkata, Ahli Dewan Negara dan Kelab Senator yakin terhadap kepemimpinan Perdana
        Menteri yang sudah membuat reformasi besar dan dilaksanakan secara adil dan bijaksana.

        Seramai 40 Ahli Dewan Negara dan Kelab Senator Malaysia hadir pada perjumpaan khas itu,
        termasuk timbalan presidennya, Senator Datuk Mohd Zuki Kamaludin serta setiausaha agungnya,
        Senator Rosli Mat Hassan. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Mohamad Yaacob.

        Di IPOH, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak menyatakan sokongan sepenuhnya
        terhadap usaha Dr Mahathir mengatasi masalah politik dan kegawatan ekonomi negara kini.

        Setiausaha Kehormatnya, Hasan Md Hod, berkata keputusan sebulat suara itu dicapai pada
        mesyuarat agung tahunan persatuan itu, Ahad lalu.

        "MAYC Perak menyokong sepenuhnya kepemimpinan Dr Mahathir kerana kami penuh yakin beliau
        dapat mengatasi masalah kepimpinan serta kegawatan ekonomi yang melanda negara," katanya
        dalam satu kenyataan, hari ini.

        Menurutnya, sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno itu
        bagi memastikan orang Melayu bersatu padu di bawah naungan parti berkenaan.


Pemimpin yakin penjelasan Dr Mahathir redakan
        kekeliruan

        KUALA LUMPUR, Selasa - Pemimpin Umno peringkat bahagian dan cawangan menerima
        penjelasan Presiden parti, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berhubung pelucutan jawatan dalam
        Kabinet dan pemecatan keahlian Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Mereka yang ditemui selepas Majlis Bersama Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di sini, petang ini
        yakin penjelasan itu meredakan kekeliruan di kalangan pemimpin dan ahli parti.

        Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata mesej yang disampaikan Dr Mahathir
        amat jelas dan meyakinkan ahli parti bahawa tindakan itu diambil dengan rasa penuh tanggungjawab.

        "Tindakan itu juga berasaskan fakta yang tidak boleh disangkal dan ia bukan tindakan yang tidak
        memberi peluang kepada Anwar untuk membuat pilihan yang tidak merupakan jalan berduri, tetapi
        lebih mudah," katanya.

        Naib Ketua Pemuda, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, berkata pergerakan itu pada mesyuarat
        hari ini memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir dalam isu pelucutan jawatan
        Anwar.

        Selain itu, katanya, Pemuda akan memerangi habis-habisan gerakan reformasi Anwar.

        "Ketua Pemuda, Datuk Ahmad Zahid Hamidi juga mengumumkan akan mengadakan mesyuarat
        khas Exco Pemuda, Khamis ini berhubung isu kedudukan Ketua Pemuda dan perkara berbangkit
        lain," katanya.

        Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, berkata penjelasan yang dibuat
        membuktikan Dr Mahathir tahu apa yang dilakukannya.

        "Pergerakan tetap dengan pendirian bersatu dan memberi sokongan padu kepada Presiden,"
        katanya.

        Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata Dr Mahathir memberi
        penjelasan lengkap berhubung isu pelucutan jawatan Anwar yang tidak boleh dipertikaikan.

        "Bagaimanapun, mungkin ada menganggap tuduhan itu sukar dipercayai.

        "Inilah ironi kes berkenaan, ia sukar diterima pada mulanya kerana membabitkan tokoh yang selama
        ini menggambarkan imej baik," katanya.

        Ahli MT, Datuk Kadir Sheikh Fadzir, berkata penjelasan Dr Mahathir kepada pemimpin parti
        cukup meyakinkan kerana beliau membuktikan keikhlasannya sepanjang ucapan beliau.

        "Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad juga dapat membuktikan hubungan erat beliau
        dengan Anwar dan sepanjang masa ingin menolong bekas timbalannya," katanya.

        Menurutnya, penerangan yang diberi boleh menjelaskan keraguan serta kekeliruan pemimpin dan
        anggota Umno.

        Naib Ketua Pemuda Umno Kedah, Abdul Wahab Din, berkata pihaknya akur dengan keputusan
        yang dibuat malah penjelasan yang diberi menambah keyakinan ahli terhadap kepimpinanan Dr
        Mahathir.

        Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Mohd Radzi Ayob, berkata penjelasan Dr Mahathir
        padat serta memuaskan ahli yang selama ini keliru dengan perkembangan yang berlaku.

        "Kami yakin Presiden bertindak atas landasan yang benar dan terbukti tindakan yang diambil tepat,"
        katanya.


Exco ada kuasa pecat Zahid

        KLANG, Selasa - Exco Pemuda Umno perlu tegas jika mereka mahu ketua pergerakan itu, Datuk
        Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kerana didakwa menyokong gerakan reformasi bekas
        Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Ketua Pemuda Umno Selangor, Jaya Kusuma Rusman, berkata ini kerana Exco mempunyai kuasa
        untuk memecat Zahid pada mesyuarat Exco pergerakan itu seperti dilakukan Majlis Tertinggi (MT)
        Umno ketika memecat keahlian Anwar.

        "Hanya Exco Pemuda Umno boleh berbuat demikian melalui undi tidak percaya kepada ketuanya
        jika masih enggan meletakkan jawatan atau mengundur diri pada mesyuarat Exco pergerakan itu.

        "Oleh itu, Exco Pemuda Umno melalui naib ketuanya perlu memanggil mesyuarat Exco segera untuk
        memutuskan pendirian yang dilakukan kerajaan dan MT terhadap Anwar.

        "Sehingga kini, Pemuda Umno Selangor masih belum menerima jemputan untuk menghadiri
        mesyuarat Exco itu," katanya di sini, hari ini.

        Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar mengenai tiga lagi Exco Pemuda Umno
        menyatakan rasa kecewa terhadap ketua pergerakan itu yang dilaporkan menyokong gerakan
        reformasi Anwar.

        Mereka ialah Zulkifli Alwi yang juga Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Zein Isma Ismail
        dan Mohd Supardi Md Noor yang turut menyokong kenyataan beberapa ketua pemuda negeri yang
        kecewa kerana Zahid belum memanggil mesyuarat Exco pergerakan itu bagi menetapkan pendirian
        berhubung isu Anwar.

        Jaya Kusuma mengakui atas sifat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid sudah menyatakan
        pendirian BN berhubung tindakan MT memecat Anwar.

        Bagaimanapun, katanya, Pemuda Umno Selangor dan beberapa Pemuda Umno negeri hanya ingin
        kepastian pendirian ketuanya itu sama ada mempertahankan Anwar atau keputusan MT.

        "Jika Zahid mempertahankan keputusan MT, itu yang kami kehendaki tetapi jika tindakannya
        menyokong Anwar, dia harus melepaskan jawatan dalam parti.

        "Pemuda Umno Selangor tahu apa yang akan dilakukannya jika Zahid masih enggan berbuat
        demikian dan terus bersekongkol dengan Anwar," katanya.

        Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tindakan yang akan dilakukan itu dan hanya mengakui
        Pemuda Umno Selangor kurang gembira dengan tindakan Zahid yang dilihat cuba memecahbelahkan
        perpaduan parti.


Tidak wajar guna masjid

        KUALA LUMPUR, Selasa - Pusat Islam mengarahkan majlis agama Islam negeri memastikan
        masjid dan tempat ibadat tidak disalahguna bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
        Ibrahim, bagi menagih simpati serta menyebar apa didakwa konsep reformasi.

        Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman, berkata semua menteri besar
        dan ketua menteri sudah mengarahkan pihak berkuasa agama memastikan masjid tidak menjadi
        medan mencabar kerajaan sehingga menaikkan semangat serta merosakkan perpaduan umat Islam.

        "Kerajaan akan menguatkuasakan peraturan sedia ada iaitu masjid mesti digunakan sewajarnya bagi
        menjaga keharmonian dan perpaduan umat Islam," katanya selepas merasmikan Pameran Kreativiti
        Seni dan Masyarakat Islam Dalam Negara Komanwel, di sini hari ini.

        Dr Abdul Hamid berkata, tindakan Anwar menggunakan masjid sebagai tempat pembelaan
        terhadap keputusan kerajaan memecatnya daripada jawatan nombor dua dan menteri kewangan itu
        adalah tidak tepat.

        "Sangat tidak tepat menggunakan tempat ibadat untuk perjuangan peribadi kerana ia bukan
        perjuangan berteraskan Islam, bangsa dan negara.

        "Anwar sepatutnya cukup faham selepas berbelas-belas tahun dalam kerajaan.

        "Kita membina tempat ibadat khusus untuk tujuan ibadat dan membina akhlak serta semangat umat
        Islam ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.

        "Masjid bukan untuk perjuangan atau kepentingan diri sendiri," katanya.

        Dr Abdul Hamid berkata, beliau berharap umat Islam tidak melihat pemecatan Anwar itu sebagai
        sesuatu yang berpunca daripada rasa benci, sakit hati atau marah, tetapi keputusan yang dibuat oleh
        Presiden Umno dan Majlis Tertinggi (MT).

        "Ada 50 orang dalam MT yang membuat keputusan itu, ia bukan emosi, benci atau apa-apa tetapi
        untuk menjaga parti," katanya.

        Beliau berkata, reformasi yang cuba dibawa Anwar tidak kena tempat.

        "Umno sudah lama bercakap mengenai reformasi, malah Umno juga parti yang sentiasa membuat
        reformasi.

        "Dari segi pendidikan misalnya, dulu budak sekolah pakai seluar pendek sekarang keadaan sudah
        berubah. Dulu susah bercakap pasal Islam, tetapi alhamdulillah, melalui pendidikan orang sudah
        terima," katanya.

        Dr Abdul Hamid berkata, Anwar wajar mengemukakan konsep reformasi itu dalam suatu
        musyawarah bukan dalam bentuk mencabar kerajaan seperti yang dilakukan sekarang.

        "Kumpulan manapun tidak boleh kata dia cerdik, orang lain pun pandai juga berfikir dan orang yang
        diam bukan tidak mengerti, dia buat reformasi secara senyap dan teratur.

        "Bukan yang jerit sahaja kata dia bersemangat, orang lain pun bersemangat tapi pendekatannya
        berbeza antara kumpulan, puak dan dari semasa ke semasa," katanya.

        Beliau berkata, matlamat Umno ialah membuat reformasi sederhana dan harmoni yang boleh
        mendatangkan kejayaan, bukan membawa kekacauan atau pergaduhan yang mengakibatkan kuasa
        politik goyah.


Kerajaan akan putuskan jawatan Anwar sebagai Presiden
        UIA

        SEREMBAN, Selasa - Kedudukan bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Anwar
        Ibrahim sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan diputuskan selepas kerajaan
        mengenal pasti prosedur yang perlu dipatuhi.

        Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd Najib Razak, berkata berdasarkan kenyataan Jabatan
        Perdana Menteri Rabu lalu bahawa Anwar dilucutkan jawatannya sebagai TPM dan Menteri
        Kewangan serta semua jawatan lain berkaitan dengan kedua-dua jawatan itu, kerajaan akan
        mengambil tindakan berdasarkan prosedur tertentu kerana UIA ditubuhkan di bawah Pendaftar
        Syarikat dengan kerajaan sebagai pemilik saham.

        Katanya, jawatan itu sekarang secara de facto (pada hakikatnya) tidak lagi berasaskan kenyataan
        yang dibuat oleh JPM itu.

        "Cuma dari segi prosedur, nama dia masih ada melainkan kita mengambil tindakan melalui
        Undang-Undang Syarikat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Nadwah
        Kepemimpinan Islam Sekolah Berasrama Penuh (SBP), di SM Agama Persekutuan (SMAP) Labu,
        di sini, hari ini.

        Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral; Mohd
        Alwi Yusoff, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Sudin Kamari; Ketua Penolong Pengarah, Unit
        SBP, Abdul Adzis Abas dan Pengetua SMAP, Labu, Paiman Jemo.

        UIA ditubuhkan pada 1983 oleh kerajaan Malaysia di bawah Akta Syrikat tetapi menerima
        peruntukan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan dari negara Islam.

        Ditanya bentuk tindakan berkenaan, beliau berkata itu termasuk menggantikan Anwar dengan orang
        lain.

        "Pemilik saham perlu memberi notis mengganti ... kita akan berbincang dengan penasihat
        undang-undang berkenaan perkara itu dan saya juga perlu berunding dengan Perdana Menteri
        Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebab kalau nak ganti kita perlu tentukan pengganti," katanya.
 


Sebab PM tidak lantik Pemangku TPM

        BANGI, Selasa - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak melantik salah
        seorang Naib Presiden Umno sebagai pemangku Timbalan Perdana Menteri kerana tidak mahu
        mengecewakan salah seorang daripada mereka.

        "Jika saya memilih seorang daripada mereka, seorang lagi akan berasa kecil hati," katanya selepas
        merasmikan perhimpunan agung Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan Komanwel di sini,
        hari ini.

        Perdana Menteri ditanya kenapa tidak mengisi kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri
        berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan parti, minggu lalu.

        Umno mempunyai tiga Naib Presiden yang dipilih iaitu Mengeri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun
        Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan
        Sri Muhammad Muhd Taib yang kini 'bercuti' kerana menghadapi tuduhan mahkamah.

        Sambil mengulangi pendiriannya bahawa jawatan nombor dua itu tidak akan diisi sehingga pemilihan
        Umno yang dijadualkan tahun depan, Dr Mahathir berkata jika berlaku sesuatu terhadapnya, Umno
        memutuskan pengganti yang sesuai.

        "Pelbagai perkara boleh berlaku kepada sesiapa pun, ia boleh berlaku kepada saya ... saya
        menyedarinya tetapi (jika ia berlaku), parti akan memutuskannya," katanya.

        Ditanya kemungkinan dengan melepaskan tanggungjawab itu kepada Naib Presiden, akan
        menimbulkan masalah, Dr Mahathir mengakui mungkin akan timbul sedikit 'masalah' pada mulanya.

        "Bagaimanapun, saya yakin akhirnya mereka akan memutuskan salah seorang dari mereka. Dan
        mengikut tradisi Umno, selepas keputusan dibuat, kita kembali berbaik," katanya.

        Beliau yang juga Presiden Umno bagaimanapun menolak kemungkinan pemilihan parti itu diadakan
        lebih awal untuk melantik Timbalan Presiden baru.

        Mengenai permintaan pemimpin Umno supaya Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Ahmad
        Zahid Hamidi dikenakan tindakan disiplin kerana memberi sokongan kepada Anwar, Perdana
        Menteri berkata: "Setakat ini kita tidak ada rancangan untuk mengambil apa apa tindakan, tetapi
        terpulang kepada ahli."


Pemuda tolak gerakan reformasi

                KUALA LUMPUR, Selasa - Seramai 16 ahli exco Pergerakan Pemuda Umno hari ini
                memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad serta menolak
                gerakan reformasi yang dilaungkan bekas timbalan presiden parti, Datuk Seri Anwar
        Ibrahim.

        Pendirian itu dibuat selepas mesyuarat khas exco pergerakan itu, yang dipengerusikan oleh Naib
        Ketuanya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein di sini.

        Bagaimanapun, ketuanya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, tidak menghadiri perjumpaan itu, yang
        diadakan khusus bagi mendapatkan pandangan anggota exco mengenai pemecatan Anwar daripada
        Kabinet dan parti.

        Lima lagi anggota exco yang tidak menghadiri perbincangan itu, menyatakan pendirian untuk
        bersama 16 rakan mereka, manakala pendirian empat orang lagi termasuk Zahid, tidak belum
        diketahui. Pemuda Umno mempunyai 25 anggota exco.

        Memberitahu sidang akhbar selepas pertemuan kira-kira empat jam petang ini, Hishammuddin
        berkata pertemuan itu bertujuan mendapatkan pendirian di kalangan anggota exco berikutan
        kenyataan peringkat akar umbi pergerakan itu mengenai isu pemecatan Anwar.

        Malam ini, mereka mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pemuda peringkat negeri di sini, untuk
        menjelaskan pendirian menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MT) berhubung pemecatan Anwar
        daripada parti.

        "Kami mengutuk sekeras-kerasnya pemimpin Umno khususnya dari kalangan Pemuda yang terbabit
        secara langsung menyokong, sama ada secara prinsip atau fizikal, kepada sebarang usaha Anwar
        dalam gerakan reformasinya yang jelas menentang parti dan kerajaan," kata Hishammuddin.

        Hishammuddin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Utama berkata, beliau telah memaklumkan
        keputusan perbincangan itu kepada Zahid melalui telefon petang ini.

        Zahid, yang sebelum ini didesak supaya menyatakan pendirian pergerakan itu, menetapkan
        mesyuarat khas exco Pemuda, Khamis ini.

        Mengenai kedudukan Zahid yang didesak Pemuda beberapa negeri supaya berundur kerana
        dikatakan gagal menyatakan pendiriannya berhubung isu itu, Hishammuddin berkata perkara itu
        akan dibincangkan pada mesyuarat Khamis ini.

        Ditanya sama ada pertemuan petang ini membuat cadangan mengenai kedudukan Zahid, beliau
        berkata: "Yang penting Datuk Zahid telah memanggil untuk mesyuarat khas ... kita buat keputusan
        untuk tunggu mesyuarat itu".

        Mengenai kemungkinan undi tidak percaya akan dikemukakan ke atas Zahid, beliau berkata soal itu
        terlalu awal untuk diputuskan.

        "Kami memohon seluruh anggota Pemuda akar umbi dan pemimpin Pemuda pelbagai peringkat
        supaya bertenang dan memberikan kepercayaan kepada Exco Pemuda yang akan bermesyuarat
        Khamis ini," katanya.


PM ada bukti kukuh

                SELAMAT DATANG... Presiden Persatuan Sukan Komanwel, Putera Edward
                (kiri) mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk
                merasmikan Perhimpunan Agung Persekutuan Sukan Komanwel 98 di Palace Of
        Golden Horses, semalam.

        KUALA LUMPUR, Selasa - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau mempunyai
        bukti yang kukuh mengenai salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga dipecat daripada Kabinet
        dan Umno, minggu lalu.

        Menurut Perdana Menteri, tindakan memecat Anwar itu diambil semata-mata kerana faktor moral,
        bukannya perselisihan faham mereka mengenai ekonomi negara atau politik.

        "Mengenai apa yang beliau percaya, iaitu dia dipecat kerana berhasrat menentang saya, saya berasa
        bahawa saya boleh mempertahankan diri saya.

        "Dalam isu perbezaan mengenai ekonomi, saya menerima sokongan jelas dan saya yakin boleh
        memujuk beliau menerima pandangan saya, dan cara saya melaksanakannya.

        "Tetapi dakwaan terhadap perkara yang lagi satu itu, saya tidak boleh terima...parti tidak boleh
        terima, negara ini tidak boleh terima," katanya dalam sidang akhbar selepas memberi penjelasan
        kepada perwakilan Umno bahagian, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
        petang ini.

        Anwar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Rabu lalu serta
        dipecat daripada Umno keesokannya.

        Satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini Khamis lalu, antara lain mendakwa beliau
        melakukan hubungan homoseksual, seks dengan wanita pelbagai bangsa dan cuba memikat isteri
        orang.

        Ditanya sama ada beliau amat yakin dengan bukti itu, Dr Mahathir yang juga Presiden Umno
        menegaskan, cukup baginya untuk menjelaskan bahawa Anwar tidak lagi sesuai dan ia tidak
        membabitkan isu politik langsung.

        Mengenai kemungkinan beliau menjelaskan perkara itu kepada rakyat, Dr Mahathir berkata ia tidak
        perlu kerana masyarakat akan menerimanya dalam tempoh masa tertentu.

        "Saya tidak berbuat demikian (memecat) kepada seseorang yang saya bawa naik untuk
        menggantikan saya sendiri. Mengapa harus saya lakukan perkara ini kepada beliau.

        "Tetapi dakwaan berkenaan amat sukar untuk dijelaskan dan amat sukar bagi orang ramai
        menerimanya. Latar belakang Anwar sebagai seorang yang warak, amat baik. Saya seharusnya
        mencari alasan lain, tetapi malangnya tidak ada penjelasan lain," katanya.

        Menurut Perdana Menteri, beliau kecewa dengan perkara yang berlaku itu kerana sudah merancang
        untuk bersara tahun ini, dan mahu melepaskan jawatan itu kepada Anwar.

        "Tahun lalu saya pergi bercuti untuk memberi peluang kepada Anwar mengetuai negara, dan jika
        tidak kerana masalah ekonomi, saya sudah melepaskan jawatan itu.

        "Malangnya, saya terpaksa kekal untuk memberikan pengalaman saya bagi mencari penyelesaian
        terhadap masalah itu," katanya.

        Sebelum itu, menjawab soalan pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan
        Dwitahunan Persatuan Pengurusan dan Pentadbiran Awam Komanwel di Bangi pagi ini, Dr
        Mahathir menjelaskan, keputusan memecat Anwar daripada Kabinet dan Umno dibuat kerana
        masalah peribadi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

        "Saya tak fikir rakyat Malaysia mahu seseorang yang mempunyai moral begitu rendah, yang terbabit
        dengan kegiatan yang tidak sepatutnya membabitkan seorang pemimpin di peringkat itu," katanya.

        Sambil menegaskan Anwar tidak dihalang untuk bergerak dan bebas melakukan apa sahaja,
        Perdana Menteri bagaimanapun mempersoalkan hasrat bekas timbalannya itu untuk menjelajah ke
        seluruh negara bagi menjelaskan isu pemecatan berkenaan.

        Kepada soalan daripada wartawan Taiwan sama ada pemecatan itu memberi kesan kepada
        keselamatan, Perdana Menteri yakin ia tidak akan menimbulkan kekacauan di negara ini.

        Menurutnya, rakyat negara ini berdisiplin dan sukakan keamanan. Malah, selepas pemecatan
        Anwar, pasaran saham mencatat pertumbuhan yang menggalakkan.

        Dr Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan akan mengkaji kesan daripada
        gerakan reformasi itu sebelum bertindak.

        Menurut Perdana Menteri, Anwar sedang cuba sedaya upaya untuk memaksa pihak berkuasa
        menahannya supaya beliau boleh menjadi wira rakyat.

        "Dengan menahan beliau, media asing akan menyiarkan macam-macam mengenai kerajaan
        autoritarian di Malaysia," katanya.

        Dr Mahathir turut membidas Anwar kerana cuba menarik penyertaan pelajar universiti dalam
        gerakan reformasinya.

        "Anda boleh membawa masuk pelajar ini dan memaksa mereka melakukan pelbagai perkara, tetapi
        mereka bukan mewakili masyarakat umum. Rakyat mesti memberi sokongan secara sukarela.
        Apabila anda pergi dan mengambil pelajar universiti, saya fikir anda sudah bankrap," katanya.

        Mengenai pembabitan pertubuhan bukan kerajaan dalam gerakan itu, Perdana Menteri berkata:
        "Kerja dia macam tu, tak ada apa."


Politik tiada pelajar UTM terbabit

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) memberi jaminan. Pelajarnya tidak akan terlibat dengan sebarang bentuk
penentangan terhadap kerajaan mahupun bersekongkol dengan mana-mana parti politik yang akan menganggu kestabilan
negara.

Menurut Timbalan Naib Canselor universiti berkenaan, Prof. Dr. Mohd. Zulkifli Tan Sri Ghazali, ini kerana pihaknya
yakin pelajarnya mempunyai kematangan yang tinggi serta berwibawa untuk menentukan tindakan yang akan mereka
lakukan.

''Sehingga kini, mereka sendiri sebenarnya bercelaru dengan apa yang berlaku. Jjadi tidak adil bagi mereka untuk
melibatkan diri dengan perkara-perkara yang mereka sendiri tidak faham,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur,
baru-baru ini.

Katanya lagi, UTM juga sehingga kini telahpun memberikan penerangan kepada pelajar supaya tidak terlibat dengan
sebarang bentuk aktiviti yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka sebagai seorang pelajar.

Katanya lagi, pelajar juga diingatkan supaya mengambil kira Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang
sama sekali mereka terlibat dengan sebarang bentuk kegiatan politik atau mana-mana kesatuan sekerja.

Menurut Dr. Mohd. Zulkifli sebagai pelajar mereka juga, dilarang mengadakan sebarang bentuk demonstrasi untuk
menunjuk perasaan.

''Bagaimanapun pelajar bebas berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai perkara ini secara ilmiah,'' jelasnya.

Dr. Mohd. Zulkifli mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Yusof Noor dan juga Menteri
Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Zaleha Ismail baru-baru ini yang menegur pelajar
supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk penentangan terhadap kerajaan.

Oleh: ZALINA YAHAYA


Pemuda sokong penuh Dr. M

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Exco Pergerakan Pemuda UMNO hari ini memberikan sokongan penuh kepada presiden
parti, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan menolak gerakan reformasi yang dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar
Ibrahim.

Pendirian itu dicapai dalam perbincangan yang dihadiri oleh 16 Exco yang dipengerusikan oleh Naib Ketua Pergerakan
Pemuda, Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn.

Lima Exco tidak hadir tetapi menyatakan pendirian untuk bersama-sama mereka. Pemuda UMNO mempunyai 25 ahli
Exco.

Naib Ketua Pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, perbincangan tersebut turut membidas
sokongan mana-mana pemimpin UMNO dan Pemuda ke atas gerakan reformasi berkenaan kerana ia jelas menentang
parti dan kerajaan.

''Keputusan perbincangan Exco hari ini, berdiri teguh di bawah kepimpinan Dr. Mahathir secara nyata dan juga dalam
tindak-tanduk kita,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perbincangan selama hampir empat jam itu dihadiri oleh Hishammuddin Tun Hussein Onn, Abdul Azim Mohd. Zabidi,
Mohd. Supardi Mohd. Noor, Abdul Wahab Din, Ahmad Jazlan, Zulkifli Ali, Zein Isma, Kadir Daud, Abdul Fattah
Abdullah.

Abdul Fatah Iskandar, Abdul Aziz Sheikh Fadil, Nordin Mohd. Noor, Jema Khan Abdul Majid, Zaiyadi Awang Noh,
Azizan Yaacob dan Abdul Rahim Said.

Mereka yang tidak hadir tetapi menyatakan persetujuan ke atas keputusan perbincangan itu adalah Mokhzani Mahathir,
Jamal Nasir Rasdi, Samli Joasih, Khalid Nordin dan Suhaimi Abdul Rahman.

Exco yang tidak hadir pula adalah Ketua Pemuda, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Ruslan Kassim, Saifuddin Nasution dan
Dr. Abdul Rahim Mohd. Ghouse.

Menurut Hishammuddin, beliau telah memaklumkan kepada Ahmad Zahid tentang keputusan tegas, berani dan jelas
barisan 21 Exco (termasuk lima yang tidak hadir tetapi menyatakan persetujuan) berhubung isu berkenaan.

Justeru, kata beliau, Exco Pemuda menyatakan kepercayaan mutlaknya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan iaitu
Majlis Tertinggi (MT) di atas pemecatan Anwar dalam parti dan juga kerajaan.

Mengulas tentang kemungkinan Exco Pemuda yang menyokong gerakan reformasi Anwar secara terang-terangan
dikenakan tindakan disiplin, Hishammudin berkata:

''Adalah terlalu awal untuk menyatakannya, tetapi Pemuda akan membincang dan memutuskan tindakan mutlaknya dalam
mesyuarat khas Exco pada Khamis ini yang dipanggil oleh Datuk Ahmad Zahid sendiri, termasuk tentang kedudukan
beliau sebagai Ketua Pemuda.''

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh anggota Pemuda termasuk dari peringkat akar umbi dan juga pemimpin-pemimpin
pemuda pelbagai peringkat untuk bertenang dan memberi kepercayaan penuh kepada perwakilan Pemuda UMNO untuk
membuat keputusan sehingga mesyuarat khas Khamis ini.

''Sebarang tindakan melulu akan hanya menjejaskan kepentingan dan masa depan parti. Apa jua pendirian kita mestilah
bersandarkan kepada pandangan dan pendirian ahli-ahli kita dari peringkat akar umbi,'' katanya.


ABIM jadi benteng tragedi peribadi Anwar

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menunjukkan belang sebenar sejak seminggu
lalu apabila presidennya sekarang, Ahmad Azam Abdul Rahman membawa pertubuhan itu mempertahankan Datuk Seri
Anwar Ibrahim daripada tuduhan-tuduhan perlakuan sumbang dan dipergunakan oleh anasir jahat luar negara.

ABIM pergi lebih jauh daripada sekadar memberi sokongan. Dalam menjawab tuduhan-tuduhan tersebut, pertubuhan itu
menyahut laungan Anwar untuk mengadakan reformasi di negara ini, iaitu pembaharuan yang dianggap penyelesaian
kepada kemelut peribadi Anwar.

Anwar, 51, ialah bekas Presiden ABIM yang ketiga sebelum beliau menyertai UMNO pada tahun 1982.

Hubungan beliau dengan ABIM yang ditubuhkan pada awal tahun 70-an tidak pernah terputus rupanya sungguhpun
bekas ahli UMNO itu telah berada dalam kerajaan selama lebih 16 tahun.

Pada bulan September tahun 1991, Dr. Muhammad Nur Manuty, ilmuwan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) baru
dipilih sebagai Presiden ABIM menggantikan Dr. Siddiq Fadhil.

Utusan Malaysia ketika itu yang menerbitkan temuramah dengan Dr. Muhammad bertanya kepada beliau, adakah
ABIM masih berada di bawah pengaruh Anwar. Temu ramah itu disiarkan selama dua hari berturut-turut dengan tajuk
ABIM Masuk Kocek Kerajaan?

Jawapan Dr. Muhammad ialah: ''Semua orang boleh membuat tanggapan sendiri kerana ini merupakan satu persoalan
subjektif. Bagi kami, pimpinan dan ahli-ahli ABIM, kita merasakan kita tidak perlu berada di bawah bayangan
seseorang.''

Apa yang beliau cuba tegaskan ialah ABIM tidak duduk lagi di bawah bayangan Anwar.

Dr. Muhammad memimpin ABIM selama enam tahun sebelum digantikan oleh Ahmad Azam pada Muktamar Sanawi
ABIM yang diadakan di Kedah pada bulan September tahun lalu.

Ahmad Azam, 38, ialah seorang pengurus di Institut Kajian Dasar (IKD), sebuah kumpulan pemikir yang dikuasai oleh
ahli-ahli ABIM dan intelektual muda Islam yang menyediakan Anwar dengan input-input kecendekiawanan.

Pengerusi IKD ialah Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Setiausaha Agung ABIM yang kini telah menjadi tokoh korporat
besar di Malaysia.

Selepas Anwar menyertai kerajaan, ABIM sebenarnya kuat dan kukuh kerana kesedaran keislaman anak-anak muda
Melayu di Malaysia yang berpunca daripada faktor yang lebih kompleks daripada isu personaliti.

Untuk mendakwa bahawa pertubuhan belia Islam itu berkembang semata-mata kerana Anwar adalah tidak realistik. Ini
akan menidakkan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh ahli-ahli ABIM lain selama ini.

Dalam tempoh dua dekad lalu, belia yang aktif di dalam ABIM kemudian bergiat di dalam UMNO, meresapi parti itu ke
akar umbi, hingga ada yang menjadi ketua pemuda bahagian dan pemimpin-pemimpin popular dalam UMNO.

Mereka yang berada di luar UMNO pula kekal sebagai non-partisan, dan ABIM telah dianggap berjaya menjadi
gerakan massa yang memperjuangkan pembinaan masyarakat bermoral.

Ahli-ahli ABIM ini telah memberi sumbangan yang signifikan kepada Islamisasi di Malaysia dengan sokongan
institusi-institusi agama, pendidikan dan kewangan yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad.

Bekas-bekas pemimpin ABIM seperti Dr. Muhammad dan Dr. Sidek Baba misalnya menjadi tokoh penting di UIA.
Orang seperti Kamaruddin pula menjadi peniaga ternama. Adakah mereka naik kerana Anwar atau disebabkan kekuatan
mereka sendiri atau kerana keprihatinan kerajaan kepada Islam?

Apabila Anwar dilucutkan jawatannya dalam kerajaan dan UMNO minggu lalu, ABIM di bawah pimpinan Ahmad Azam
bercadang untuk mengadakan gerakan reformasi bagi menimbulkan kesedaran umum mengenai imej Anwar Ibrahim.

Sangat jelas bahawa idea itu akan bertembung dan bertentangan dengan UMNO yang bersatu di belakang tindakan
pemecatan Anwar kerana kini timbul keraguan moral mendalam terhadap bekas ahli UMNO itu.

Hampir semua pemimpin UMNO percaya bahawa tidak ada seorang pemimpin UMNO, hatta Anwar Ibrahim sendiri,
boleh dianggap lebih besar daripada parti itu. Parti itu kukuh bukan kerana aura seorang.

Tetapi di dalam ABIM, pemimpin pertubuhan belia Islam itu melihat hal sebaliknya. Mereka membariskan mahasiswa
universiti dan memberi segenap tenaga untuk menjadi benteng kepada tragedi peribadi yang menimpa Anwar.

ABIM, jika idealisme pertubuhan itu melampaui kepentingan dan sanjungan terhadap seseorang pemimpin, perlu yakin
bahawa ia lebih besar daripada sesiapa.

Sumbangan aktivis-aktivis ABIM kepada program-program Islamisasi kerajaan selama dua dekad lalu tidak wajar
diluputkan oleh ketaksuban kepada seorang pemimpin. Dalam banyak hal, simpati tanpa asas akan membawa kerugian.

Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi sekali pengaruh ABIM dalam kerajaan yang ada sekarang hilang dan diragui,
suara sederhana, rasional dan progresif pertubuhan Islam itu akan lenyap dalam teriakan-teriakan emosional.

Oleh: BAHAROM MAHUSIN


PM pernah rancang bersara tahun ini

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau pernah merancang untuk bersara pada
tahun ini dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malangnya, kata Perdana Menteri, disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda, beliau terpaksa menangguhkan buat
sementara hasrat itu, lebih-lebih lagi selepas apa yang berlaku ke atas Anwar.

''Saya sedih keadaan menjadi begini. Saya sudah berfikir-fikir untuk bersara tahun ini. Saya bercuti tahun lepas (selama
dua bulan) untuk memberi peluang kepada Anwar memimpin negara.''

Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap kepada lebih 2,000 ahli UMNO pada satu
perjumpaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

''Kalaulah tidak kerana masalah ekonomi, saya sudah mengundurkan diri. Malangnya, saya rasa saya perlu meneruskan
tugas saya, memberi khidmat melalui pengalaman saya bagi mencari penyelesaian kepada sesetengah masalah ini,''
katanya.

Ketika ditanya siapakah yang akan dilantik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan cara mengatasi masalah
yang mungkin timbul selepas itu, beliau berkata: ''Kita akan cari jalan dan atasi kegawatan ini dengan baik.''

Semua ahli Majlis Tertinggi (MT) hadir pada majlis penjelasan Perdana Menteri kecuali Ketua Pergerakan Pemuda
UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang dirawat di hospital kerana sakit.


Anwar batal lagi jelajah ke seluruh negara

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membatalkan rancangan untuk menjelajah ke seluruh
negara esok bagi melancarkan gerakan reformasi.

''Atas permintaan para penyokong, saya batalkan rancangan itu,'' katanya.

Anwar menyatakan perkara itu kepada para pengunjung di ruang tamu kediamannya di Bukit Damansara di sini, petang
ini.

Beliau dijadualkan memulakan road show di kawasan pilihan raya dan bahagiannya UMNO Permatang Pauh sebelum ke
kawasan-kawasan lain di seluruh negara.

Ini adalah pembatalan kali kedua selepas penangguhan rancangan itu yang mulanya dijadualkan Sabtu lalu.

Sebaliknya, beliau dinasihatkan oleh para penyokongnya supaya berada di rumahnya dan mereka akan mengunjunginya
beramai-ramai.

Sementara itu, kediaman Anwar terus dikunjungi oleh penyokongnya sejak dipecat daripada kerajaan Rabu lalu dan
UMNO keesokannya.

Rata-rata datang dengan tujuan memberikan sokongan selain untuk mendengar penjelasan Anwar sendiri setelah dia turut
dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral dan aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Bagi memuaskan hati para penyokong, Anwar telah mengadakan siri ceramah untuk 'menangkis segala tuduhan ke atas
beliau.'

Malam tadi, menerusi siri ceramahnya, beliau dengan lantang dan bersemangat meneruskan segala penafian dan meminta
supaya lebih ramai yang tampil menyatakan sokongan dalam menuntut keadilan.

Beliau mempertahankan dakwaan kononnya pemecatannya dicetuskan oleh satu konspirasi politik peringkat tertinggi.

Majlis ucapannya malam tadi dikendalikan oleh penceramah motivasi, Datuk Dr. Hassan Ali. Turut memberi ucapan ialah
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Saifuddin Nasution.

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI


Road show Anwar untuk mengabui mata rakyat

BANGI 8 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini untuk
mengadakan road show di seluruh negara bagi menggerakkan reformasi sebenarnya bertujuan mengabui mata
masyarakat terhadap masalah perilakunya.

Perdana Menteri berkata, Anwar tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian kerana beliau dipecat atas alasan
peribadi dan bukannya melibatkan soal politik.

Katanya, Anwar cuba mengalih perhatian rakyat terhadap masalah peribadinya dengan menubuhkan gerakan reformasi
rakyat yang 'direka-rekanya'.

''Beliau (Anwar) cuba nak alih perhatian rakyat kepada perkara-perkara lain dan bukan masalah peribadi yang
sebenarnya menjadi punca pemecatan beliau dari parti dan kerajaan,'' tegasnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama pada persidangan dwitahunan
Persatuan Pengurusan dan Pentadbiran Awam Komanwel (CAPAM) di sini, hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas mengenai tindakan Anwar untuk mengadakan road show di seluruh negara bagi
menjelaskan kedudukannya yang disifatkannya seba- gai mangsa konspirasi pihak atasan.

Ditanya sama ada perlucutan jawatan Anwar akan menjejaskan ketenteraman awam di negara ini, Perdana Menteri
menegaskan beliau tidak fikir begitu sebaliknya apa yang berlaku juga tidak memberi kesan kepada pasaran saham.

''Pasaran saham melonjak naik di Malaysia dan rakyat yang secara umumnya lebih berdisiplin menyebabkan kita yakin
tidak akan timbul masalah seumpama itu,'' katanya.

Mengenai sama ada kerajaan menyekat pergerakan Anwar, katanya, sehingga kini bekas Timbalan Perdana Menteri itu
bebas bergerak.

''Saya yakin Anwar sedang melakukan yang terbaik untuk memaksa dan mencabar kerajaan menahannya sekarang
supaya boleh menjadi wira rakyat,'' katanya.

Katanya, dengan penahanan itu juga media asing akan melaporkan pelbagai perkara mengenai kerajaan yang berkuasa
(authoritarian) di negara ini.

Perdana Menteri turut ditanya pengganti beliau jika terjadi sesuatu ke atas dirinya kerana jawatan Timbalan Perdana
Menteri masih dikosongkan.

Kata Presiden UMNO itu, jika berlaku sesuatu, parti akan memutuskan pengganti beliau dengan memilih salah seorang
daripada Naib Presiden yang sedia ada.

Tiga Naib Presiden sekarang ialah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Bagaimanapun Muhammad sedang
bercuti kerana menghadapi tuduhan di mahkamah kerana kegagalan mengisytiharkan hartanya.

''Parti akan memutuskan. Kita mempunyai Naib Presiden, mereka akan putuskan siapa yang akan menjadi pengganti saya
jika saya tiada,'' ujarnya sambil tidak menolak segala-galanya boleh berlaku terhadapnya.

Beliau juga mengulangi pendirian tidak akan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri sehingga pemilihan UMNO yang
dijadualkan tahun depan.

Katanya, jika beliau memilih seorang daripada Naib Presiden menjadi timbalannya, seorang lagi akan merasa kecil hati
dan keadaan itu juga tidak akan memungkinkannya mengadakan pelantikan lebih awal.

Ditanya sama ada tindakannya itu akan menimbulkan masalah kepada parti di kemudian hari, katanya, masalah akan tetap
timbul pada peringkat permulaan tetapi ia akan berjaya diatasi.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai gesaan beberapa Pergerakan Pemuda UMNO bahagian supaya Ketua mereka,
Datuk Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

''Setakat ini kita tidak ada rancangan untuk mengambil apa-apa tindakan, terpulang kepada keadaan,'' ujarnya.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK


Punca Anwar dipecat -- Bukti perangai tidak bermoral terlalu kukuh - PM

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat kerana melakukan perbuatan-perbuatan tidak bermoral
yang tidak layak dilakukan oleh pemimpin negara, kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, selama ini Anwar sengaja menonjolkan imej warak dan berpegang kepada ajaran agama,
misalnya dengan menjadi imam dan berkhutbah, tetapi salah laku seks sumbang yang dilakukannya bertentangan dengan
imej tersebut.

Dr. Mahathir berkata, bukti-bukti mengenai perangai tidak bermoral Anwar terlalu kukuh dan ia merupakan punca bekas
Timbalan Perdana Menteri itu dipecat daripada kerajaan dan UMNO.

Dalam satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, Anwar dikaitkan dengan perbuatan
meliwat seorang lelaki dan mempunyai hubungan seks dengan beberapa pelacur.

Di samping itu, Anwar juga dikatakan rapat dengan seorang pengarah syarikat, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai yang
didakwa telah mempergunakannya untuk membocorkan maklumat-maklumat sulit negara.

Dr. Mahathir menegaskan: ''Saya menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal
politik, pertentangan pendapat dengan saya atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya yang rendah.

''Perbuatan yang dilakukan oleh Anwar tidak dapat diterima oleh saya, tidak dapat diterima oleh parti saya dan tidak
dapat diterima oleh negara ini.''

Presiden UMNO itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberi penjelasan kepada para pemimpin UMNO
di peringkat akar umbi mengenai pemecatan Anwar daripada kerajaan dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini, petang ini.

Antara yang turut hadir pada majlis penerangan itu ialah isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Naib Presiden,
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk
Sabbaruddin Chik.

Pada majlis itu, beliau menjelaskan bahawa tiada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar seperti yang didakwa. Perdana
Menteri juga menerangkan bagaimana beliau membuat keputusan untuk memecat Anwar, orang yang diasuh untuk
menggantikannya memimpin Malaysia.

Menurut Dr. Mahathir, selain penyiasatan polis, beliau sendiri membuat siasatan mengenai tuduhan-tuduhan seks terhadap
Anwar dan mendapati bukti-buktinya tidak dapat ditolak lagi.

''Apa yang saya tahu ialah Anwar tidak layak dan saya tak fikir ada sebab lain. Dia tidak lagi dilihat boleh diyakini untuk
menjadi pemimpin negara.

''Saya amat yakin dengan semua bukti yang ada dan apa yang telah dibuat.''

Bagaimanapun, Dr. Mahathir enggan mendedahkan bukti-bukti yang beliau peroleh. Ditanya apakah alasannya untuk
tidak mendedahkan bukti itu, beliau berkata: ''Sebab saya tidak mahu menyakiti orang lain kerana apa yang berlaku amat
memalukan.''

Perdana Menteri secara peribadi bertanggungjawab membawa Anwar, bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM), masuk UMNO pada tahun 1982 dan mendidiknya sehingga menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan
Perdana Menteri.

''Saya sepatutnya memilih memecat musuh saya, bukan seorang kawan.''

Katanya, dalam kegawatan ekonomi sekarang dan menjelang temasya Sukan Komanwel XVI, beliau cuba mengelak
krisis politik tetapi ''apa yang berlaku sudah di luar kawalan''.

Pada sidang akhbar itu, beliau beberapa kali berkata ''Anwar adalah kawan saya, tetapi tindakan memecatnya daripada
kerajaan dan parti terpaksa dilakukan.''

Selepas dipecat, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menafikan tuduhan-tuduhan ke atasnya yang dibangkitkan dalam
afidavit di Mahkamah Tinggi minggu lalu.

Menurut Dr. Mahathir, perlakuan tidak bermoral membabitkan Anwar sebenarnya telah lama dilakukan. ''Sudah lama,
tetapi saya baru tahu,'' katanya.

Ketika diberitahu oleh pemberita bahawa Anwar menafikan semua tuduhan itu, Perdana Menteri segera mencelah:
''Semua dia nafikan. Siapa yang mahu cerita kejahatan yang dia buat. Bill Clinton juga menafikannya.''

Perdana Menteri berkata, pada tahun lalu apabila terdapat tuduhan mengenai salah laku Anwar, beliau tidak
mempercayainya.

''Saya kata ini fitnah untuk menjatuhkan Timbalan saya. Saya tolak sama sekali. Saya tak baca (surat mengenai tuduhan
itu). Tetapi sekarang sudah terlangsung jelas.''

Ditanya adakah Anwar membuat pengakuan mengenai perlakuan sumbang seks yang dilakukan, beliau berkata, Anwar
cuma mengaku dia juga seperti manusia biasa.

Ditanya adakah Anwar akan ditangkap, katanya, itu bukanlah urusannya. Beliau berkata, soal itu terserah kepada pihak
berkuasa.

Mengenai majlis penjelasan kepada para pemimpin UMNO petang ini, Dr. Mahathir memberitahu, beliau nampak mereka
menerima penjelasan tersebut.

''Saya harap dengan penjelasan ini orang ramai tidak akan keliru dan memahami apa yang berlaku,'' katanya.

Ditanya mengenai sesetengah pemimpin UMNO yang menyokong beliau tetapi dilihat berada di rumah Anwar selepas
pemecatannya, Dr. Mahathir menjawab ringkas, beliau ''tidak boleh baca apa ada dalam hati orang.''

Menurut Perdana Menteri, Anwar telah diberi peluang untuk membela diri tidak seperti apa yang terjadi pada pemimpin
dan ahli UMNO lain yang dikenakan tindakan ketika Anwar menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO.

''Mereka yang dikenakan tindakan disiplin itu tidak mendapat peluang seperti diberi kepada Anwar,'' kata beliau.

Oleh: BAHAROM MAHUSIN dan MAZLIN ZANI


Perihal Syaarli Al-Mongkong dan ubat pening kepala

        Tun Teja

        SELAMAT pagi. Dinihari tadi hamba mendapat khabar yang sangat mengharukan. Kata yang
        empunya cerita, mantan bendahara sudah sangat 'pening' macam gajah naik minyak.

        Di laman masjid pun mantan bendahara sudah mencaci mamanda Wazir dengan amat lantang. Pada
        hemat hamba, ini adalah 'alamat' yang sangat tidak baik.

        Waktu menjadi bendahara dulu, mantan dihormati oleh masyarakat masjid kerana dianggap seorang
        'ulama' yang tidak memperalat agama untuk mencapai cita-cita peribadi.

        Tetapi, setelah terpecat, jelaslah mantan bendahara juga bukanlah seorang ulama tulen. Masakan
        seorang ulama boleh berdusta kepada saudara-saudara seagama di pekarangan masjid yang mulia?

        Dalam tilikan hamba, agak jelas bahawa mantan bendahara tidak ingin, malah tidak sanggup berkata
        benar. Mantan sengaja memilih kata-kata gagah seperti 'perjuangan' untuk membakar semangat
        lantas sekali gus mengabui mata dan fikiran para pendengar.

        Dengan itu mantan bendahara berharap akan terlindunglah masalah sebenar yakni masalah peribadi
        daripada diketahui oleh rakyat jelata. Tambahan lagi bila 'perjuangan' itu diarahkan untuk memerangi
        kononnya 'pakatan sulit' di kalangan sida-sida bentara yang telah menyebabkan tersingkirnya
        bendahara.

        Tidak dapatlah hamba bernala secara mendalam akan soal pakatan sulit di kalangan sida-sida itu
        kerana sangat sukar hendak hamba cari buktinya.

        Lapipun jawatan bendahara itu bukan calang-calang kedudukan kerana ia orang paling kanan
        kepada mamanda Wazir.

        Jikalau bendahara sendiri tidak sedar adanya pakatan sehingga sudah terlewat dan kecundang
        kerananya, maka bukan kerana pakatan itu terlalu sulit atau pandai. Hanya sanya mungkin kerana
        mantan bendahara sendiri terlalu cuai dan bebal.

        Kini jika mantan bendahara benar-benar yakin bahawa "manusia hanya merencana, Allah yang
        menentukannya", tak perlulah mantan pening kepala hendak mengatur 'perjuangan'.

        Allah tahu 'perjuangan' apa yang mulia dan diberkati-Nya dan yang mana pula hina dan dicela-Nya.

        Kata yang empunya cerita lagi, mantan bendahara juga sudah sanggup berurusan dengan penghulu
        Alim Berakit Siang yang memang sejak lama menderhaka terhadap Wazir dan ia bukan golongan
        orang-orang masjid.

        Hamba sunguh-sungguh runsing bila terlintas kemungkinan mantan bendahara mengeluarkan 'fatwa'
        baru bagi menghalalkan apa saja cara supaya tercapai impian peribadi.

        Tidak syak lagi, mengikut 'alamat' yang jelas, bahawa mantan sedang mengidap penyakit 'pening
        kepala' yang amat teruk.

        Hamba kenal seorang dukun urut yang bergelar Syaarli al-Mongkong yang memang masyhur kerana
        urutnya yang luar biasa.

        Cara urut yang dinamakan al-Sedap Balakong dijamin mujarab.


Keganasan bukan perjuangan Islam

        Oleh Usman Syihab
        (Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa)

        ISTILAH fundamentalisme berasal dari kata fundamental yang bererti bersifat dasar, sangat penting
        atau asas. Fundamentalis bererti individu atau kumpulan, biasanya pergerakan yang berjuang
        mengembalikan cara hidup yang asal menurut dasar agama yang diyakini atau ideologi yang diikuti.
        Dari sini, fundamentalisme bererti keakuran yang kuat terhadap suatu ajaran agama atau ideologi.
        Fundamentalisme dalam pengertian ini adalah positif.

        Menurut Barat, fundamentalisme lebih dikaitkan dengan ekstremisme dan pengganasan. Bagi orang
        Barat, gerakan Islam adalah gerakan fundamentalis yang melakukan pelbagai jenayah, kekerasan,
        dan pengganasan antarabangsa. Mereka juga menganggap di dunia ini hanya ada satu
        fundamentalisme, iaitu fundamentalisme Islam dan tidak ada fundamentalisme lain. Maka tidak hairan
        setiap ada letupan bom yang dirasakan merugikan kepentingan Barat, mereka dengan cepat
        mengaitkan, malah menganggap tindakan itu dilakukan gerakan fundamentalis Islam walaupun belum
        ada bukti kukuh.

        Di dunia ini, fundamentalisme - dalam pengertian Barat yang negatif itu sebenarnya banyak sekali,
        bukan hanya fundamentalisme Islam. Ada fundamentalisme Fasis, fundamentalisme Nazi,
        fundamentalisme Katolik, fundamentalisme Protestan, fundamentalisme Zionis, dan yang paling besar
        adalah fundamentalisme Sekular Kapitalis.

        Pada abad ke-17 Giordano Bruno di bakar hidup-hidup, Galileo Galilei dihukum, dan banyak lagi
        ilmuan yang mengalami nasib yang sama, kerana menentang pendapat gereja. Pada masa
        penjajahan, gereja adalah tempat penggantungan kaum terjajah dan tempat pemaksaan pekerja kulit
        hitam Afrika. Sekarang, gereja Anglikan dan beberapa mazhab Kristian Katolik Amerika, selepas
        kongres Vatikan ke-2 dan mengikuti Pope John Paul, bersikap keras menentang perancang keluarga
        dan pemakaian alat pencegah kehamilan. Ucapan Pope John Paul suci harus ditaati, dan sesiapa
        melanggar dianggap kafir. Ini adalah contoh fundamentalisme gereja Vatikan.

        Peristiwa pembunuhan besar-besaran terhadap 950,000 orang Yahudi di dalam bilik gas beracun
        oleh Hitler atau yang dilakukan Musolini dan Stalin dalam perang dunia II mengingatkan pada bentuk
        fundamentalisme Nazi. Fundamentalisme ini muncul kembali pada 1992 di Roestook, Jerman.
        Mereka menentang orang asing dengan membakar gedung dan rumah mereka.

        Baru-baru ini gerila Real IRA (Tentera Merah Ireland) melakukan serangan bom di Omagh yang
        mengorbankan 28 orang, iaitu serangan paling buruk pernah dilakukan oleh gerila itu. Konflik yang
        sudah lama terjadi di Ireland Utara adalah konflik antara puak fundamentalis iaitu fundamentalis
        Protestan dan fundamentalis Katolik yang melahirkan pelbagai kekerasan, pengganasan, letupan
        bom dan mengorbankan banyak nyawa.

        Berbeza dengan fundamentalisme Zionis, fundamentalisme ini adalah proses fitnah dan permusuhan
        sejarah. Fail yang diletakkan Teodor Hartzel di depan pemimpin Eropah menjanjikan jaminan
        dengan terbentuknya Israel, dapat menjamin segala kepentingan Eropah dan Barat secara
        keseluruhan dan Israel akan tetap menjadi benteng peradaban Barat bagi menghadapi bangsa
        'Barbar Timur'. Kewujudan Israel di bumi Palestin, pembinaan kawasan perumahan Israel di wilayah
        Palestin, dan serangan Israel ke Lebanon Selatan adalah tindakan melampau fundamentalisme Zionis
        Yahudi.

        Fundamentalisme yang terkuat sekarang adalah fundamentalisme Kapitalis Barat yang melampau
        diketuai Amerika Syarikat. Fundamentalisme Kapitalis mengunggulkan bangsa Barat sebagai bangsa
        yang menguasai dan mengeksploitasi bangsa lain dengan topeng faedah pinjaman dan Tabung Mata
        Wang Antarabangsa (IMF), dan menghukum negara lemah.

        Fundamentalisme Kapitalis bertambah sombong dan angkuh selepas tumbangnya Komunisme.
        Fundamentalisme Kapitalis berasa dirinya sebagai satu-satunya polis dunia, mampu mengadili dan
        menghukum sesiapa saja dan pada bila-bila masa. Apa yang terjadi sejak Julai tahun lalu hingga kini
        adalah akibat perlakuan fundamentalisme kapitalis. Fundamentalisme ini berjaya melumpuhkan
        ekonomi negara Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Thailand dan Malaysia, yang sebelumnya
        muncul sebagai 'Singa Asia.'

        Tindakan paling kontroversi oleh fundamentalisme Kapitalis adalah serangan Amerika terhadap
        Sudan dan Afghanistan pada 20 Ogos lalu. Dengan alasan menggempur sarang pengganas, peluru
        berpandu Tomahawk dari kapal induk Amerika menghujani dua negara Islam yang tidak berdosa
        itu. Akibat tindakan ketenteraan 'polis dunia' itu begitu dahsyat.

        Di Afghanistan, 26 orang terbunuh dan 40 orang cedera, sementara di Sudan 10 orang cedera
        termasuk empat parah dan menghancurkan kilang farmasi Al-Shifaa. Perdana Menteri, Datuk Seri
        Dr Mahathir membuat ulasan "negara yang menyerang orang ramai dengan mengebom negara
        mereka dengan alasan ingin membalas dendam terhadap kematian rakyatnya adalah bacul dan
        pengecut.

        "Mereka adalah orang yang sama dari negara sama tetapi begitu pintar dan menguasai media serta
        akhbar antarabangsa sehingga boleh ditafsir sebagai satu kebaikan kononnya untuk menghapuskan
        keganasan.

        "Inilah manusia yang bercakap mengenai hak asasi manusia. Inilah juga orang yang melancarkan
        serangan terhadap ekonomi negara di Asia Tenggara dan Asia Timur."

        Isu fundamentalisme Islam ditimbulkan Barat dan medianya secara besar-besaran ketika lahirnya
        revolusi Iran. Sebelum terjadinya revolusi Iran kerajaan Syah Iran didukung penuh Amerika secara
        ketenteraan. Bagi Amerika, Syah Iran adalah pengawal telaga minyak di Teluk. Ketika itu ulamak
        dan Mulah hanya mampu bernafas dalam masjid sambil berzikir dan membaca al-Quran. Apabila
        revolusi Islam pimpinan Imam Khomaini meletus dengan dahsyat hingga mampu menggulingkan Syah
        Iran yang mempunyai kekuatan tentera kelima terkuat di dunia, dunia terkejut.

        Kemenangan Khomaini mendapat perhatian ahli politik Barat. Mereka takut apabila revolusi ini
        mampu mengilhamkan peristiwa yang sama di negara majoriti Muslim, ia banyak merugikan
        kepentingan Barat. Iraq kemudian didorong untuk berperang dengan Iran, maka terjadilah perang
        Iraq-Iran selama lapan tahun. Dalam perang ini Soviet, Britain dan Perancis membantu Iraq
        menyalurkan senjata moden, sementara Arab Saudi memberi bantuan makanan dan kewangan. Iran
        tersepit dari semua sisi yang akhirnya menyemarakkan lagi kebangkitan semangat fundamentalisme
        Islam-Iran.

        Sejak lahirnya revolusi Iran, Barat dan medianya terus-menerus merujuk istilah fundamentalisme
        Islam kepada gerakan Islam yang menurut Barat sebagai sarang pengganasan, kekerasan, dan
        segala tindakan melampau lain. Sejak itu setiap kali berlakunya kekerasan dan keganasan
        antarabangsa, Barat selalu menuduh fundamentalisme Islam yang bersarang di negara Islam sebagai
        pelakunya. Ketika terjadi letupan pesawat Pan Am 103 di Lockerbie, Scotland pada 1988, Libya
        dituduh.

        Ketika peristiwa letupan bom di bangunan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di New York pada
        1993, Syaikh Omar Abdurrahman dan beberapa 'Muslim radikal' di Amerika dituduh dan
        ditangkap. Ketika terjadi peletupan bom di bangunan Federal Oklahoma City pada 1995 yang
        dituduh juga orang Islam.

        Dan ketika terjadi serangan letupan bom di kedutaan Amerika di Nairobi, Kenya dan Dar es
        Salaam, Tanzania 17 Ogos lalu, Osama bin Laden dituduh. Semuanya hanya tuduhan yang tidak
        berasas dan belum terbukti kebenarannya. Hanya dalam peristiwa di bangunan Federal Oklahoma
        City yang sudah terbukti, tetapi justeru pelakunya adalah orang mereka sendiri, orang Amerika, dan
        bukan orang Islam.

        Islam adalah jalan tengah dalam segala hal baik konsep akidah, ibadah, perilaku hubungan sesama
        manusia atau dalam perundangan. Inilah yang disebut Allah sebagai al-shirat al-mustaqim, jalan yang
        lurus.

        Nas Islam, sama ada mengikut al-Quran atau hadis, selalu menyeru kepada i'tidal, jalan tengah dan
        melarang segala kekerasan melampaui batas. Etika seperti ini tetap menjadi prinsip umat Islam dan
        gerakan fundamentalisme Islam yang ada. Kita yakin, kalau kita tawarkan kepada semua gerakan
        Islam dan pendukungnya kerangka kerja bersama, secara terang-terangan, malah kepada mereka
        yang menganggap revolusi sebagai satu-satunya jalan menuju jalan kebaikan, mereka tidak akan
        memilih dan mendukung keganasan.

        Sikap melampau yang melahirkan perkara emosional seperti kekerasan dan pengganasan di negara
        Islam seringkali menjadi gejala sosial yang selalunya bersifat individu, yang cepat timbul dan cepat
        hilang.

        Di sebahagian negara Arab seperti di Mesir dan Algeria umpamanya, kita sering mendengar adanya
        pengganasan dan kekerasan dikaitkan dengan sebahagian gerakan Islam setempat. Fenomena
        ektremisme di negara Muslim itu hanyalah gejala sosial yang banyak disebabkan masalah demokrasi.
        Kalau peluang demokrasi semakin luas, ruang kekerasan kian mengecut.

        Oleh itu, tidak benar jika gerakan fundamentalime Islam selalu dianggap kumpulan jahat, penyamun
        dan pengganas yang turun dari langit melakukan rompakan antarabangsa dan segala tindakan
        sadisme. Semua perbuatan melampau harus dinilai secara bijaksana.


Mustapa minta diberi masa

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Datuk Mustapa Mohamed hari ini meminta diberi masa untuk mempelajari dan memahami
tugas beliau sebagai Menteri Kewangan Kedua yang baru kerana terlalu banyak perubahan di dalam ekonomi negara.

''Saya masih baru, banyak benda yang perlu dipelajari... pengetahuan amat penting sebelum membuat keputusan.

''Saya bertuah kerana dibimbing oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Menteri
Kewangan Pertama,'' kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Restoran Beverlyhills Pizza di sini
hari ini.

Tambahnya, tugas beliau akan menjadi lebih mudah memandangkan Dr. Mahathir sendiri akan mengetuai kementerian itu.

Kata beliau, Dr. Mahathir seorang yang cekap dalam soal pengurusan ekonomi negara berdasarkan langkah dan strategi
yang diambil selama ini.

Menteri Kewangan Dua itu menjelaskan tarikh pembentangan belanjawan telah ditetapkan.

Selain itu, Mustapa berkata bidang kewangan telah lama ditinggalkan sejak tiga tahun lalu.

Beliau juga diminta mengulas tentang langkah Bank Negara Malaysia semalam yang mengurangkan Keperluan Rizab
Berkanun (SRR) dan pemberian pinjaman bagi pembinaan atau pembelian perumahan yang bernilai RM250,000 dan ke
bawah akan dikecualikan daripada had 20 peratus ke atas pemberian pinjaman.

Katanya: ''Saya masih baru dan tidak ada kuasa untuk mengulas.''

Tetapi beliau menjelaskan, kerajaan memutuskan untuk melonggarkan polisi kewangan dengan membuat beberapa
pengumuman bagi meningkatkan belanjawan atau mengkaji semula beberapa projek pada awalnya.

Pada majlis yang sama juga beliau mengulas tindakan Anwar yang ingin melaksanakan reformasi sebagai satu tindakan
yang 'kurang manis.'

''Sebagai bekas orang nombor dua negara dan mendukung dasar kerajaan... tidak manis untuk berbuat demikian,'' kata
beliau lagi.


Pelantikan Mustapa, Ali Abul Hassan tepat

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini mengalu-alukan pelantikan Datuk
Mustapa Mohamed sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman sebagai Gabenor Bank
Negara.

''Kerajaan telah membuat pilihan tepat kerana mereka berdua berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran kewangan
negara serta dapat membantu negara keluar dari belenggu kemelesetan ekonomi,'' kata Naib Presiden DPMM, Syed
Amin Aljeffri.

Beliau berkata pelantikan Mustapa, yang mengekalkan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan, akan menyemarakkan
usaha membantu usahawan khususnya di kalangan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terjejas teruk
akibat kegawatan ekonomi.

Beliau berharap Mustapa kini mempunyai bidang kuasa untuk memastikan segala dana yang diwujudkan bagi membantu
usahawan terutama usahawan bumiputera yang terjejas akan dapat digerakkan dengan lebih cepat.

''Pengalaman Mustapa sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan kini sebagai Menteri Kewangan Kedua serta Menteri
Pembangunan Usahawan melengkapi dirinya sebagai seorang yang dapat memastikan usahawan tidak terus dibelenggu
oleh dasar-dasar kewangan yang membebankan,'' katanya.

Mengenai pelantikan Gabenor Bank Negara pula, Syed Amin berkata Ali Abul Hassan merupakan seorang yang
berpengalaman luas mengenai sistem kewangan negara dan mampu melaksanakan dasar yang pragmatik dan berkesan
dalam usaha membawa negara keluar dari kegawatan ekonomi.

Syed Amin berkata beliau berharap Ali Abul Hassan akan dapat ''turun ke padang'' untuk melihat serta mendengar sendiri
masalah yang dihadapi oleh pelbagai pihak ekoran kemelesetan ekonomi agar sebarang dasar kewangan yang digubal
akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.

Beliau juga berharap Ali Abul Hassan akan memberi perhatian terhadap pengurusan dana luar Malaysia bagi menentukan
ia sentiasa dijalankan dengan cekap dan berada pada tahap yang memuaskan.


BALIK