Make your own free website on Tripod.com

MADZANI MENULIS (3)

 

Assalamualaikum rakan-rakan dan adik-adik PKPMS semua.

Setelah menghantar Artikle yang pertama ke Ruangan Forum Utusan Malaysia, Saya merasakan bahawa artikle itu tak akan keluar kerana Ketua Pengarang Utusan sekarang adalah berbeza dengan Ketua Pengarang terdahulu. Saya juga merasakan Utusan dan Berita Harian serta beberapa lagi surat Khabar yang lain telah mula dipengaruhi oleh golongan politik dan ia telah hilang kebebasan untuk bersuara. Jangan nak pandai-pandai buat hal tentang pemimpin negara sebab kalau tulispun pastinya tak keluar.

tapi itu bukanlah alasan supaya saya tak akan menulis lagi. Baru-baru ini Sabtu 12 September 1998 saya menghantar lagi Artikle kepada Utusan. Harap-harap kali ini akan keluar. Kalau tak pun, apa boleh buatkan? dah mereka punya surat khabar, kita sebagai pembaca dan pemberi cadangan jea...

lihatlah petikan yang saya berikan pada Utusan Malaysia.


"DR. SIDEK PUNYA HAK UNTUK BERDIAM DIRI"

Saudara Pengarang,
Pada 31 Ogos 1998 baru-baru ini kita baru saja menyambut Hari Kemerdekaan kali yang ke-41. Kita berasa bangga kerana negara kita terus aman berbanding dengan negara yang lain. Sebagai sebuah negara Demokrasi Berperlembagaan pastinya kita akan melihat sesuatu perkara itu berdasarkan perlembagaan yang ada. Hak kebebasan adalah amat penting sekali di negara ini. Selain kebebasan untuk bersuara malah rasanya tidak salah sekiranya seseorang itu mendiamkan diri kerana ia telah menjadi haknya. Merujuk surat kepada Pengarang Utusan Malaysia 11 September 1998, " Hairan Dr. Sidek Enggan Komen Penglibatan Pelajar", oleh Rakyat Prihatin, Melaka. Penulis surat ini menyatakan kehairanannya apabila Dr. Sidek iaitu Timbalan Rektor Hal Ehwal, Pelajar Universiti Islam Antarabangsa tidak mahu menjawab tentang penglibatan pelajar UIA yang dikeluarkan di dalam akhbar pada 8 September baru-baru ini yang bertajuk "Dr. Sidek Baba enggan komen". Surat ini seperti dikeluarkan oleh 'Rakyat Tidak Prihatin' kerana ia mahukan Dr. Sidek menyatakan tindakan yang harus diambil terhadap pelajar UIA yang terlibat menyokong Anwar Ibrahim iaitu Presiden Universiti Islam Antarabangsa (tidak lama lagi berkemungkinan digugurkan). Sekiranya penulis adalah 'Rakyat Prihatin', ia seharusnya tidak memperbesar-besarkan hal ini kerana yang turut terlibat sama adalah anak bangsa Malaysia walaupun UIA menempatkan juga pelajar Islam negara asing.

Pada pandangan saya, adalah tidak wajar pihak media dan masyarakat yang bersikap seperti 'Rakyat Prihatin' seolah-olah memaksa Dr. Sidek Bab untuk menjelaskan pendiriannya terhadap penglibatan pelajar UIA sepertimana universiti-universiti yang lain. Ini adalah kerana, Dr. Sidek mempunyai hak untuk tidak bersuara atau membuat kenyataan tentang penglibatan pelajar lebih-lebih lagi hal yang berkaitan dengan tindakan tatatertib terhadap pelajar. Juga beliau punya hak untuk memikirkan terlebih dahulu apa yang wajar dijawab dalam hal penglibatan pelajar UIA. Walaupun saya bukanlah pelajar UIA tetapi apa juga hal yang melibatkan UIA ia akan melibatkan juga masyarakat terutamanya ibubapa pelajar UIA dan rakan-rakan mereka. Juga adalah mustahil soalan yang mengejut yang dikemukakan oleh wartawan kepada Dr. Sidek dijawab tanpa pertimbangan yang lebih terperinci, dan bukan saja Dr. Sidek berada di UIA malah pensyarah dan pegawai tadbir lain juga terdapat di UIA. Lantaran itu, wajar bagi Dr. Sidek untuk berdiam diri seketika sehingga kakitangan UIA lain menyatakan pendirian mereka sama ada melalui mesyuarat mahupun cara yang lain dan tepat terhadap pelajar UIA yang terlibat dan berbincang dengan wakil-wakil persatuan agar keadilan dapat ditegakkan. Selain itu, berilah kepada Dr. Sidek untuk menyelidiki hal ini dengan lebih mendalam kerana sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal pelajar UIA, Dr. Sidek juga mempunyai tugasan yang lain yang lebih memerlukan keutamaan dan pastinya Dr. Sidek tidak mahu terlibat dalam hal yang akan membawa dirinya ke kancah ketidakadilan kerana tanpa penyelidikan dan perbincangan yang mendalam dengan pihak lain.

HAK ASASI

Saudara Pengarang,
Isu Anwar Ibrahim begitu hangat diperkatakan sekarang apatah lagi ia melibatkan tentang hal peribadi Anwar dan keadilan. Ramai yang menyatakan bahawa hal Anwar adalah hal peribadinya dan tidak mempunyai kaitan dengan orang lain dan pihak lain ini diminta agar jangan campur tangan. Tetapi hal ini telah menjadi besar apabila pihak yang pada mulanya tidak terlibat langsung turut sama terlibat kerana pihak lain yang mahu 'Meneguk di Air Keruh'. Kes ketua Pemuda UMNO diminta meletak Jawatan kerana mengunjungi rumah Anwar Ibrahim untuk menunjukkan simpatinya dan dalam hal ini pula, Timbalan Rektor UIA juga dipersalahkan apabila tidak mahu mengulas dan memberi jawapan terhadap soalan wartawan tentang tindakan yang wajar diambil terhadap penglibatan pelajar UIA yang menyokong Anwar Ibrahim. Daripada pihak yang tidak mahu campur tangan akhirnya seolah-olah dipaksa menyatakan pendiriannya oleh masyarakat yang bersikap 'Rakyat prihatin'. Apakah faedahnya memaksa orang yang tak mahu terlibat sama?. Inikah yang kita nyatakan HAK ASASI PERLEMBAGAAN MALAYSIA. Janganlah kita bersikap ampu sana ampu sini semata-mata mahu menarik perhatian orang lain dan menyebabkan orang lain merasa tertekan.


Sekian. Wassalam.

MADZANI @ SAIDIE NUSA
Kota Belud
Sabah.