SATU KRITIKAN TERHADAP ARTIKEL "EKONOMI MELAYU KURUN KE-19: SARA DIRI ATAU KOMERSIAL?" YANG DITULIS OLEH A. AZMI KHALID.

 

Dalam artikel ini memperlihatkan akan ekonomi masyarakat Melayu dalam kurun ke-19 sama ada ia berasaskan masyarakat sara diri atau ekonomi komersial. Dalam artikel ini juga telah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian satu yang membincangkan tentang pertanian masyarakat Melayu yang berbentuk sara diri dan bahagian kedua, yang membincangkan aspek ekonomi komersial dalam masyarakat Melayu. Manakala bagi bahagian ketiga, ia memaparkan keadaan kewujudan bersama antara ekonomi sara diri dan komersial di kalangan masyarakat Melayu dalam kurun ke-19 ini. Pelbagai kritikan dapat dikemukakan melalui artikel ini sama ada ia berbentuk positif mahupun negatif.

Artikel ini ada menyentuh mengenai pembabitan orang Melayu dalam ekonomi komersial. Tidak dapat dinafikan orang Melayu menjalankan aktiviti ini sebagai kegiatan kedua selain daripada pertanian. Contohnya seperti dalam perlombongan bijih timah. Tanah Melayu merupakan pengeluar bijih timah tersebar di dunia. Malah menjelang kurun ke-19, pengeluaran tahunannya berjumlah kira-kira 38 000 tan. Sebelumnya lagi iaitu dalam kurun ke-9, pedagang Arab telah membeli bijih timah dari Kedah. Malah ia disebut sebagai barang dagangan pada pertengahan kurun ke-13 oleh pedagang Cina dan ia dihasilkan di Pahang dan Kelantan. Pada abad ke-15 pula, bijih timah menjadi bahan eksport penting bagi negeri Melaka.

Buktinya, ia dapat dilihat dalam buku Kesultanan Melayu Melaka yang ada mengatakan eksport Melaka pada masa itu ialah bijih timah yang telah cair dan dijadikan kepingan jongkong. Selain bijih timah yang diperolehi secara melombong di kawasan pedalaman, Melaka turut mengumpulkan bijih timah dari kawasan yang menjadi jajahan
takluknya seperti Kelang, Selangor, Bernam, Manjung, Beruas dan Kedah.

Sebelum abad ke 19 juga, bijih timah diusahakan oleh orang Melayu dan secara umumnya dengan cara melampan dan mendulang. Namun, bagi orang Melayu, ia hanyalah satu kerja sambilan untuk mengisi masa lapang. Mereka lebih menumpukan kepada kerja pertanian seperti menanam padi dan sayur-sayuran. Cara begini hanya dapat mengeluarkan hasil yang sedikit dan tidak sesuai apabila permintaan terhadap bijih timah meningkat. Oleh sebab itu kemudiannya pembesar-pembesar Melayu mula mengupah buruh Cina untuk mengusahakan lombong bijih timah mereka seperti yang dilakukan oleh Long Jaafar di Larut dan Raja Jumaat di Lukut.

Pada masa ini masyarakat Melayu masih terikat dengan sistem tradisional iaitu rakyat mestilah taat dan menumpahkan segala kesetiaanya kepada raja yang memerintah. Sikap yang dikekalkan oleh kolonial dalam akhir abad ke-19 ini telah menjauhkan masyarakat Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang ekonomi komersial yang menguntungkan bersama-sama dengan pelabur-pelabur asing ini. Masyarakat Melayu hanya terlibat dalam ekonomi yang mengekalkan kedudukan mereka tanpa berlaku perubahan yang memberangsangkan dari segi taraf hidup. Malah kebanyakan masyarakat Melayu pada masa tersebut tergolong dalam kemiskinan.

Jelas ekonomi masyarakat Melayu sudahpun memasuki ekonomi komersial sejak beratus-ratus tahun dahulu tetapi di sini boleh dipersoalkan. Adakah semua masyarakat Melayu terlibat dalam ekonomi komersial ini dan sejauhmanakah keterlibatan mereka dalam ekonomi komersial ini? Abad ke 19 merupakan satu tempoh yang mula menonjolkan kuasa British dan juga peringkat masuknya buruh-buruh Cina dan India ke dalam Tanah melayu serta mula memperlihatkan akan pengabaian masyarakat Melayu dengan ekonomi tradisi serta penyisihannya dari pembangunan yang dilakukan.

Dalam artikel ini, ia cuba membuktikan akan keterlibatan masyarakat Melayu dalam ekonomi komersial. Namun, apa yang perlu dibangkitkan di sini ialah adakah semua orang Melayu terlibat dalam ekonomi komersial? Ekonomi komersial dalam abad ini memerlukan modal yang tinggi serta buruh yang ramai. Hanya golongan kaya seperti golongan Raja dan pembesar sahaja yang dapat menjalankan ekonomi ini berbanding petani biasa yang bekerja mengambil upah sahaja.

Boleh dikatakan di sini yang masyarakat Melayu secara umumnya gagal dalam mengambil bahagian dalam ekonomi komersial. Ini dapat kita fahami menerusi aspek perbezaan sistem ekonomi baru yang diwujudkan. Sistem ekonomi kapitalis baru yang diperkenalkan secara mendadak membawa bersama-sama beberapa ciri asas iaitu dari segi modal, buruh dan pengusaha yang begitu berbeza dan asing berbanding dengan apa yang terdapat dalam ekonomi tradisional bumiputera.

Contohnya, Long Jaafar dan Ngah Ibrahim. Long Jaafar telah berjaya mengekploitasi bijih timah di Larut. Malah dia berjaya menarik ramai orang datang ke Larut terutamanya selepas banyak bijih timah dijumpai di tempat ini berbanding semasa Long Jaafar sampai di Larut, hanya terdapat tiga orang Cina sahaja di situ. Pada tahun 1850, Long Jaafar telah diberi gelaran pertama di Larut oleh Raja Muda Ngah Ali dan pembesar-pembesar utama di Perak. Dalam dokumen pemberian gekaran kepadanya dinyatakan;

Che' Long Jafar has opened up one of the provinces of Perak called Larut and its rivers to make tin-mines; this he has done by his own diligence and at his own expense. We express our entire approval of the diligence he has be bestowed and the expense he has incurred in Larut. And his children shall receive the district asmah their own property…What is written is this deed can never be annulled by anyone'.

Selepas kematiannya, kawasannya diserahkan kepada anaknya, Ngah Ibrahim dan ini bertepatan dengan dokumen di atas. Malah kedudukannya diterima oleh Sultan dan pembesar-pembesar lain serta mempunyai kuasa dalam segala urusannya dengan pihak asing tanpa merujuk kepada Sultan, Raja Muda dan bendahara.

Contoh yang diberikan ini dapat menggambarkan akan ekonomi komersial yang diperkatakan yang telah diamalkan oleh masyarakat Melayu. Jelas, hanya golongan pembesar sahaja yang banyak terlibat dalam mengeksploitasi bidang ekonomi ini manakala masyarakat Melayu golongan bawahan terus terpinggir dengan ekonomi tradisionalnya. Penglibatan orang Melayu dalam ekonomi komersial tidak secara menyeluruh atau melibatkan semua pihak dan hanya pihak tertentu sahaja yang mendapat keuntungan manakala sebelah pihak lagi tetap kekal tanpa berubah.

Artikel ini ada menyentuh mengenai penglibatan orang Melayu dalam penanaman padi dan banyak ditekankan dalam tahun-tahun 1970-an dan 1890-an. Sememangnya tanaman padi menjadi tanaman utama bagi masyarakat Melayu. Malah pertanian ini merupakan sumber ekonomi masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu ini menggunakan cara yang primitif dalam menjalankan aktiviti pertanian ini. Hugh Clifford pernah menulis tentang perkara ini dan mengatakan yang cara penanaman padi di Pahang adalah tidak efisien dan terlalu primitif.

Di samping itu, ada dilaporkan yang pengeluaran padi terus berkembang dan menggalakkan ramai peneroka dan penanam padi melabur di kawasan Krian iaitu kawasan yang besar untuk kegiatan penanaman padi. Pada tahun 1886, dianggarkan 53,492 ekar tanah untuk pertanian terutamanya untuk penanaman padi. Ini secara tidak langsung membawa kepada pembangunan pertanian di Krian dan juga telah membawa kemajuan kepada kampung-kampung seperti Kampung Bagan Tiang, Tanjong Piandang, Kurau dan Bagan Serai.

Penekanan terhadap ekonomi kapitalis telah menyebabkan golongan petani yang melibatkan diri dalam pertanian tradisional ini terpinggir. Contohnya, Perak iaitu negeri Melayu yang terkaya di akhir abad-19 telah meminjamkan wang sebanyak 200,000 ringgit kepada Selangor untuk membina jalan keretapi dari Kuala Lumpur ke Kelang tapi mengatakan tidak mampu membiayai projek pertanian di negeri itu sendiri. Akibatnya, dalam tahun 1892 Birch melaporkan pelarian petani-petani dari kawasan pesawahan Krian yang seluas 37,000 ekar kerana masalah pengairan yang buruk. Residen Selangor juga menyuarakan kemelaratan penanam-penanam padi akibat pendapatan yang sangat rendah berbanding tenaga yang dikeluarkan. Inilah juga antara satu sebab mengapa kaum-kaum lain enggan turut serta dalam bidang pertanian ini.

Jelas bahawa pihak kolonial tidak mengambil berat akan masalah yang dihadapi oleh petani-petani Melayu menyebabkan mereka terus hidup dengan penuh kemelaratan. Malah dalam penghujung abad ke-19 ini, masyarakat Melayu terus terperangkap dalam 'kapsul masa' yang sememangnya telah dirancang oleh British dalam tempoh ini dan terus memberi kesan pada tahun-tahun selepasnya.

Penulis ini juga cuba membawa persoalan dalam melihat sejauh mana kesan perdagangan telah menukar sikap orang Melayu yang ketika itu berpaut kepada pertanian yang berasaskan penanaman padi. Ringkasnya penulis cuba melihat perkaitan antara ekonomi pertanian masyarakat Melayu dalm abad 19 dengan ekonomi anatarabangsa. Penghujung abad ke19 ini memperlihatkan pengeksploitasian berlaku di Tanah Melayu. Kaum bumiputera terpinggir manakala kaum pendatang menikmati keuntungan dan kemewahan dari hasil bumi Tanah Melayu.

Petani-petani Melayu adalah miskin dan sumbangan golongan ini kepada pengeluaran tanah melayu tidak signifikan dan hanya kecil sahaja daripada jumlah pengeluaran keseluruhannya. Contohnya dapat dilihat di bawah;

TAHUN JUMLAH HASIL TANAH/PERTANIAN HASIL TIMAH
1876 561 ? ?
1889 5013 190 1750
1890 4840 166 1609
1893 6413 347 2602
1895 8481 468 3379

Di samping itu, berlaku pemindahan kuasa mengumpul hasil ini dari tangan Sultan ke tangan pihak pentadbir British. Berikutan daripada jadual di atas menunjukkan kegiatan pertanian amat sedikit pengeluarannya berbanding dengan pengeluaran timah.

Ekonomi antarabangsa yang berlaku di dalam Negeri-negeri Melayu kebanyakannya tidak melibatkan orang-orang Melayu. Namun, masih ada pihak yang terlibat tapi persoalannya di sini siapakah mereka (orang Melayu) yang menjalankan kegiatan ekonomi komersial ini?

Sebagai rumusannya, abad ke-19 membuktikan kepada kita akan perkembangan ekonomi orang Melayu dalam melihat penglibatan mereka dalam ekonomi sara diri dan komersial. Tanah Melayu yang sememangnya kaya dengan sumber bumi terutamanya bijih timah telah membawa masuk pihak Barat dan kemasukan buruh-buruh luar ke sini. Pengekploitasian pihak kolonial dalam akhir abad ke 19 ini telah banyak merugikan masyarakat tempatan.

Contohnya, dalam tahun 1874, Negeri-negeri Melayu ini telah mengeluarkan 4,200 ton pengeluaran timah daripada 36,400 pengeluaran timah dunia manakala ia terus meningkat iaitu dalam tahun 1895, Negeri-Negeri Melayu bersekutu mengeluarkan 49,592 ton daripada daripada 90,207 ton pengeluaran timah dunia.

Penulis artikel ini walau bagaimanapun, banyak membawa persoalan mengenai kegiatan ekonomi dalam masyarakat Melayu dalam cuba mengutarakan pertimbangan semula tentang persepsi, imej serta tafsiran tentang penglibatan orang Melayu dalam proses perubahan ekonomi Malaysia. Sesungguhnya, persoalan-persoalan inilah yang akan menimbulkan satu penginterpretasian baru dalam sejarah ekonomi Malaysia.


BALIK